Apakah tanda-tanda yang memerlukan anda untuk melakukan saringan COVID 19? Apakah jenis ujian saringan yang boleh diambil?
Untuk pengetahuan anda, salah satu cara untuk mengurangkan risiko jangkitan COVID-19 daripada mudah menular adalah melalui ujian saringan.
Apabila lebih ramai individu melakukan saringan COVID 19, maka ia akan menjadi lebih mudah untuk mengenal pasti individu yang telah dijangkiti.
Dengan cara ini, rawatan yang sepatutnya dapat diberikan kepada mereka yang dijangkiti dan kita juga dapat mengasingkan mereka yang menjadi kontak rapat kepada pesakit COVID-19.
Apakah tanda-tanda yang memerlukan anda menjalani saringan COVID 19?
Sehingga ke saat ini, jumlah kes positif COVID-19 di seluruh dunia telah pun melepasi angka 47 juta orang.
Daripada jumlah tersebut, seramai 1.2 juta orang pula telah menjadi korban akibat pandemik ini.
Oleh sebab itu, para penyelidik dari seluruh dunia sedang giat berlumba-lumba mencari ubat atau rawatan yang berpotensi untuk menyembuhkan jangkitan ini.
Sementara kita menunggu kemunculan rawatan terbaik ini, kita masih perlu mematuhi segala langkah pencegahan atau SOP yang telah ditetapkan.
Pihak Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebelum ini telah menggariskan beberapa perkara penting yang perlu diikuti untuk mengurangkan risiko jangkitan COVID-19 dengan berkesan.
Antara langkah pencegahan yang sangat membantu adalah dengan melalui ujian saringan COVID 19.
Ujian saringan dapat membantu pihak berkuasa kesihatan untuk mengasingkan individu yang telah dijangkiti dengan kontak rapat mereka, sekali gus mengurangkan jumlah jangkitan baharu.
Oleh itu, adalah amat penting untuk kita sama-sama mengetahui apakah tanda-tanda yang memerlukan kita untuk menjalani ujian saringan COVID 19.
Jika anda ada mengalami salah satu tanda di bawah ini, anda amat disarankan untuk menjalani ujian saringan COVID 19:
- Demam
- Batuk-batuk
- Berasa sakit pada bahagian dada
- Sukar untuk bernafas
- Sakit-sakit pada badan
- Mengalami selesema
- Hilang deria rasa
- Mengalami sakit tekak
- Mengalami cirit-birit
Jika anda alami salah satu atau lebih tanda-tanda di atas, jangan bertangguh lagi dan segeralah melakukan ujian.
Tindakan awal anda boleh menyekat jangkitan baharu daripada terus menular dalam masyarakat, terutamanya pada mereka yang berisiko tinggi.
Bagaimana pula dengan mereka yang tidak mempunyai sebarang simptom? Adakah masih perlu jalani saringan COVID 19?
Berdasarkan kajian semasa, tempoh purata inkubasi virus COVID-19 ialah selama lima hari.
Namun, ia boleh dikesan antara hari pertama hingga hari ke-14 selepas seseorang itu dijangkiti.
Dalam masa yang sama, terdapat juga beberapa kes di mana ia hanya dikesan pada hari ke-21 selepas jangkitan.
Untuk pengetahuan anda, tempoh inkubasi bermaksud tempoh masa apabila seseorang individu tersebut mula-mula dijangkiti, dan apabila mereka mula menunjukkan simptom-simptom jangkitan.
Mereka yang menunjukkan simptom-simptom jangkitan lebih cenderung untuk menjangkiti individu lain, berbanding mereka yang tidak mempunyai sebarang simptom.
Namun pada masa sekarang, kes-kes jangkitan COVID-19 juga telah banyak berlaku tanpa sebarang simptom.
Oleh itu, untuk memastikan status anda dengan lebih tepat, anda juga boleh melakukan ujian saringan walaupun tidak menunjukkan sebarang simptom.
Jenis ujian saringan yang boleh diambil
Pada masa ini, sudah terdapat banyak kit-kit ujian pantas kendiri yang dikeluarkan dengan harga yang amat murah.
Kit-kit ujian pantas ini merupakan kit RTK (rapid test kit) yang boleh membantu dalam pengesanan awal jangkitan dalam tempoh masa antara 10 hingga 20 minit sahaja.
Ujian RTK menggunakan kaedah yang kurang invasif iaitu pengambilan sampel melalui air liur sahaja.
Bagi mendapatkan status ujian yang lebih meyakinkan, anda boleh menjalani ujian RT-PCR (real-time reverse transcription-polymerase chain reaction) yang menggunakan kaedah yang lebih invasif iaitu pengambilan sampel melalui bahagian dalam hidung dan tekak.
Walaupun hasil ujian RT-PCR memerlukan lebih banyak masa iaitu sekitar dua hingga tiga hari, namun ia lebih tepat dan diyakini berbanding ujian RTK.
Baca juga:
- Sudah Ada Kit Ujian COVID-19 Untuk Kanak-Kanak, Caranya Macam Hisap Lolipop!
- Nak Buat Ujian Saringan Air Liur COVID-19 Di Rumah? Ikut 5 Teknik PENTING Ini!
Lakukan ini jika anda alami sebarang simptom jangkitan COVID-19
Ikut langkah ini jika anda alami sebarang simptom untuk mengurangkan risiko jangkitan kepada individu lain:
Tiada simptom atau simptom yang ringan
Bagi mereka yang tidak mempunyai sebarang tanda jangkitan; menunjukkan simptom jangkitan yang ringan; atau pernah pergi ke kawasan berisiko tinggi, ini yang anda boleh lakukan:
- Kuarantin kendiri di rumah antara tempoh 10 hingga 14 hari dan lakukan ujian saringan sebanyak dua kali
- Kurangkan pergaulan atau pertemuan dengan individu lain sehinggalah keputusan ujian saringan menunjukkan hasil negatif
- Jika anda tinggal serumah dengan individu lain, asingkan bilik tidur anda dengan orang lain
- Minum lebih banyak air dan banyakkan berehat
- Pantau simptom anda setiap masa. Jika ia menjadi semakin teruk, dapatkan bantuan untuk terus ke hospital
- Kerap cuci tangan dan pakai pelitup muka untuk mengurangkan risiko jangkitan kepada individu lain
Simptom yang sederhana
Bagi anda yang mempunyai simptom bersifat sederhana seperti alami demam panas, batuk yang tidak henti-henti atau berasa lemah atau letih, teruskan berjumpa dengan doktor.
Doktor akan menentukan tindakan seterusnya yang bersesuaian dengan keadaan semasa anda.
Anda juga disarankan untuk melakukan saringan COVID 19 awal untuk menentukan risiko anda.
Simptom yang teruk
Jika anda mengalami sebarang simptom jangkitan yang agak teruk seperti sesak nafas, anda perlu meminta bantuan dengan kadar segera untuk ke hospital.
Kes-kes seperti ini biasanya memerlukan anda untuk tinggal di hospital bagi mendapatkan rawatan yang lebih khusus.