Pandemik COVID-19 telah mendedahkan kepada kita beberapa perkara dan frasa baharu. Antara istilah yang mungkin belum anda dengari ialah coronasomnia atau masalah susah tidur akibat COVID-19.
Ini maksud coronasomnia dan juga cara untuk mengatasinya.
Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang coronavirus di Malaysia, sila dapatkannya di sini.
Ini dia maksud coronasomnia
Seperti yang kita ketahui, insomnia merupakan antara masalah gangguan tidur yang biasa berlaku.
Namun, sejak pandemik COVID-19 melanda dunia selama hampir dua tahun, kekerapan insomnia ini menjadi semakin meningkat.
Pakar pengkaji tidur menyebut keadaan ini sebagai koronasomnia yang merupakan gabungan perkataan antara COVID-19 dan juga insomnia.
Pakar perubatan ada menyebut bahawa keadaan koronasomnia ini mungkin disebabkan atau menjadi semakin buruk bersama-sama dengan pandemik COVID-19.
Ia berbeza dengan insomnia biasa kerana maksud coronasomnia ini amat berkait rapat dengan pandemik yang melanda dunia sekarang ini.
Baca juga:
- Vaksin COVID-19 Bukan Untuk Kanak-kanak? Ini Sebab Bawah Umur 18 Tahun Tak Disuntik
- 19 Perkara WAJIB Tahu Sebelum, Semasa & Selepas Dapat Vaksin COVID-19
Simptom masalah susah tidur coronasomnia
Bagi mereka yang mengalami masalah susah tidur akibat koronasomnia, anda mungkin akan sukar untuk tidur pada waktu malam.
Selain itu, anda juga mungkin akan lebih kerap terjaga pada waktu malam dan terbangun pada awal pagi serta tidak boleh untuk melelapkan mata semula.
Selain daripada simptom-simptom seperti ini, tahap stres anda juga mungkin akan semakin meningkat.
Apabila ada gangguan tidur pada waktu malam, ia pastinya akan menjejaskan keadaan anda pada keesokan harinya.
Anda mungkin lebih mudah untuk berasa mengantuk pada waktu pagi, sukar memberikan fokus dan mengganggu emosi anda.
Sesiapa sahaja berpotensi untuk mendapat koronasomnia ini.
Namun, terdapat beberapa golongan tertentu yang lebih berisiko untuk mengalami keadaan ini.
Antaranya ialah pesakit COVID-19, pekerja di sektor kesihatan dan mereka yang berhadapan dengan masalah COVID-19 setiap hari.
Punca penyebab masalah gangguan tidur koronasomnia
Terdapat banyak perkara berkaitan pandemik COVID-19 yang boleh menyebabkan seseorang itu mengalami koronasomnia.
Berikut adalah antara beberapa punca yang boleh berlaku:
#1. Jangkitan COVID-19
Gejala atau simptom jangkitan COVID-19 boleh membuatkan seseorang itu ada masalah susah tidur nyenyak selain berasa gelisah pada waktu malam ketika hendak cuba melelapkan mata.
Hal ini boleh berlaku sama ada disebabkan oleh jangkitan virus itu sendiri atau keadaan stres yang dialami kerana perlu menjalani tempoh kuarantin yang agak panjang.
Ini boleh menjejaskan kesihatan mental seseorang yang sekali gus menyebabkan masalah insomnia menjadi lebih buruk.
#2. Peningkatan kadar stres yang dialami
Stres boleh berlaku pada bila-bila masa mengikut keadaan.
Namun, tahap stres akan menjadi semakin meningkat pada pertengahan kemuncak pandemik COVID-19.
Apabila kita sering memikirkan masalah pandemik yang belum tahu bilakah pengakhirannya, maka tahap stres juga akan bertambah.
Pandemik COVID-19 juga menyebabkan ramai individu kehilangan pekerjaan dan kehilangan ahli keluarga akibat dijangkiti virus. Keadaan ini semestinya akan membuatkan seseorang itu menjadi semakin stres.
Stres yang diakibatkan oleh pandemik akan membuatkan paras hormon kortisol tetap menjadi tinggi setiap masa.
Oleh itu, tidak mustahil jika anda boleh mengalami koronasomnia.
#3. Pandemik menyebabkan perubahan rutin harian manusia
Disebabkan kewujudan pandemik COVID-19, rutin atau tabiat kebiasaan kita pastinya akan mengalami perubahan.
Jika sebelum ini kita boleh bersosial sehingga malam hari, namun kini kesemuanya dibataskan.
Kita hanya boleh berada di luar rumah sebelum jam 12 malam dan perlu menjaga jarak sepanjang masa.
Perubahan seperti ini pastinya memberikan kesan negatif terhadap kehidupan sosial kita sebagai manusia.
Perubahan rutin seperti ini boleh mempengaruhi irama sirkadian iaitu kitaran tidur manusia.
Disebabkan perubahan rutin kehidupan kita, ia menjadikan irama sirkadian tidak tetap.
Bukan itu sahaja, fungsi biologi tubuh juga akan turut berubah.
Jika ia berubah ke arah yang lebih buruk, ia sememangnya boleh memicu keadaan insomnia menjadi lebih teruk.
Ini cara untuk mengatasi masalah susah tidur
Berikut ialah beberapa kaedah yang boleh anda ikuti bagi mengatasi masalah susah tidur, koronasomnia:
- Amalkan sleep hygiene. Sleep hygiene bermaksud amalan atau rutin lebih sihat yang boleh meningkatkan kualiti tidur anda. Ia termasuklah tidur malam lebih awal dan bangun pagi pada awal waktu termasuklah pada hujung minggu. Selain itu, anda juga boleh tidur pada siang hari pada tempoh yang singkat sahaja. Elakkan pengambilan minuman beralkohol dan berkafein sebelum tidur.
- Kawal stres. Jangan membiarkan stres yang dialami menguasai diri anda. Antara yang boleh anda lakukan adalah dengan kerap bersukan dan bersenam, lakukan perkara yang anda gemari dan cuba elakkan membaca berita buruk mengenai COVID-19.
- Buat rutin seperti sebelum pandemik. Pandemik bukan penghalang untuk anda terus menjalani kehidupan seperti biasa. Anda masih perlu bangun pagi pada waktu yang sama walaupun anda hanya bekerja dari rumah. Anda juga masih boleh untuk bersenam, tetapi perlu mematuhi SOP semasa yang telah ditetapkan oleh kerajaan.
Kesimpulan
Kini anda telah mengetahui apakah maksud coronasomnia yang sebenar.
Oleh itu, bagi mengelakkan ia berlaku, ikuti tip-tip yang telah kami kongsikan di atas ini agar anda tidak mengalami masalah susah tidur lagi.
[mc4wp_form id=”115319″]
#HelloHealthGroup, #HelloDoktor, #HelloHealthCoronaVirus