Tidak perlu dihebahkan lagi, rasanya semua orang sudah tahu bahawa minum alkohol adalah salah satu daripada tabiat buruk yang perlu dielakkan.
Ini kerana pengambilannya bukan sahaja akan memabukkan minda malahan juga akan memudaratkan tubuh badan seorang manusia.
Pun begitu, masih ramai yang mengamalkan tabiat ini kerana tidak tahu atau tidak peduli akan kesan minum alkohol terdapat kesihatan.
Pesan kami, berwaspadalah sebelum alkohol merosakkan buah pinggang anda!
Ketagihan alkohol yang wajar dihentikan…
Tahukah anda bahawa lebih daripada 3 juta kematian di dunia adalah disebabkan oleh ketagihan minuman keras atau arak ini?
Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), angka yang sangat menakutkan ini adalah bersamaan dengan 1 daripada 20 kematian!
Laporan Status Global Mengenai Alkohol dan Kesihatan 2018 pula menyatakan bahawa ketagihan alkohol juga adalah punca kepada pelbagai jenis penyakit.
Antara penyakit yang paling banyak dikaitkan dengan tabiat buruk ini adalah kanser dan strok selain turut menjejaskan banyak organ termasuklah buah pinggang.
Persoalannya, bagaimana alkohol akan menjejaskan buah pinggang kita?
Apa kesan minum alkohol terhadap buah pinggang?
Sebelum pergi dengan lebih mendalam, adalah wajar untuk kita mengetahui bahawa terdapat kadar pengambilan alkohol yang akan merosakkan organ ini.
Untuk pengetahuan anda, kadar ini dikenali sebagai ‘binge drinking’ yang bermaksud minum sekitar 4 ke 5 gelas dalam masa 2 jam.
Sekiranya anda mengamalkan pengambilan alkohol dengan kadar ini, maka risiko buah pinggang untuk terjejas adalah lebih tinggi.
Ini kerana ia akan mengakibatkan kadar alkohol dalam darah seseorang menjadi tinggi sekali gus memberi kesan terhadap organ ini.
Bagaimana? Sila teruskan pembacaan anda ya!
Bagaimana alkohol merosakkan buah pinggang?
Menurut Jurnal Internal Medicine, ‘binge drinking’ boleh membawa kepada kecederaan buah pinggang akut di mana ia tidak mampu menghentikan kumbahan daripada berkumpul di dalam darah.
Dalam pada itu, laporan pada tahun 2009 turut menyatakan bahawa ketagihan alkohol boleh menjadi salah satu daripada faktor risiko albuminuria.
Buat anda yang mungkin belum tahu, ia adalah satu kondisi di mana jenis protein yang biasa wujud di dalam darah akan muncul di dalam air kencing.
Kedua-dua kondisi ini kemudiannya akan membawa kepada kerosakan buah pinggang yang lebih kronik dan akan mengakibatkan pelbagai simptom berbahaya seperti:
- Anemia
- Tulang menjadi rapuh
- Kerosakan sistem saraf utama
- Kekurangan tindak balas imun
- Retensi cecair
- Komplikasi kehamilan
- Nafsu syahwat menjadi lemah
- Masalah ketidaksuburan bagi wanita
- Masalah ereksi dan ejakulasi bagi lelaki
Tolong kurangkan atau hentikan tabiat ini segera!
Disebabkan itu, adalah wajar untuk kalian kurangkan atau hentikan tabiat ini dengan kadar segera agar kerosakan buah pinggang ini tidak terjadi.
Selain organ ini, tahap kesihatan mental dan fizikal secara total juga dapat ditingkatkan dengan mengamalkan gaya hidup yang lebih baik.
Buat anda yang mungkin sudah terlalu ketagih dengannya, usah khuatir kerana ada beberapa tip boleh dicuba:
#1. Tetapkan matlamat
Pada permulaan, adalah sukar untuk berhenti minum sepenuhnya maka anda boleh meletakkan had jumlah alkohol yang boleh anda minum.
Had ini tidak boleh melebihi satu minuman sehari untuk seorang individu wanita dan dua minuman sehari bagi individu lelaki.
#2. Jauhi pencetus
Dalam situasi sosial, anda mungkin akan diajak mengambil alkohol sekadar untuk bersosial, berseronok atau sebagai satu kelakukan yang sopan.
Jika anda perlu berdepan dengan individu, tempat atau aktiviti tertentu yang cenderung membuatkan keinginan melampau terhadap alkohol, cuba jauhinya.
#3. Membuat catatan
Setiap kali timbulnya keinginan untuk mengambil minuman keras atau arak, catatkannya untuk pemerhatian anda.
Tujuannya adalah bukan untuk menghilangkan keinginan itu secara terus tetapi untuk mengalami keinginan dengan situasi dan kaedah yang baru.
Dengan ini, anda akan menjadi biasa dengan keinginan yang muncul dan tahu bagaimana untuk menghindarinya sehingga keinginan itu hilang secara semula jadi.
Tip elak alkohol #4. Hobi yang baru
Cari hobi baru, misalnya sebarang aktiviti sukarelawan dengan tujuan yang baik.
Apabila anda melakukan sesuatu yang mendatangkan kepuasan, anda akan merasa lebih baik tentang diri sendiri dan keinginan untuk minum itu akan berkurangan.
Akhir kata, sila hindarkan tabiat ini kerana terdapat banyak kesan minum alkohol sama ada pada buah pinggang atau kesihatan mental dan fizikal secara keseluruhan.