backup og meta

Apa Itu Kencing Kotor? Ini Gejala, Punca & Cara Merawatnya

Apa Itu Kencing Kotor? Ini Gejala, Punca & Cara Merawatnya

Pernah tak terasa seperti sengatan tebuan ketika anda sedang membuang air kecil? Hati-hati ya, itu merupakan salah satu gejala utama untuk penyakit kencing kotor!

Jangkitan saluran kencing berlaku apabila wujudnya mikroorganisma seperti bakteria di dalam sistem urinari anda. 

Saluran kencing terdiri daripada organ penghasilan, penyimpanan dan perkumuhan yang merangkumi buah pinggang, ureter, pundi kencing dan urethra.

Sistem urinari bahagian bawah iaitu pundi kencing dan urethra kerap mendapat jangkitan. Walaupun sistem urinari bahagian atas jarang sekali untuk mendapat jangkitan saluran kencing, keadaan selalunya lebih teruk jika ia berlaku. 

Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Urologi, sila dapatkannya di sini.

Apakah kebarangkalian jangkitan saluran kencing?

Penyakit kencing kotor boleh terjadi kepada semua individu tanpa mengira umur dan jantina. Akan tetapi, wanita lebih cenderung untuk mendapat jangkitan saluran kencing berbanding lelaki kerana faktor anatomi.

Anatomi urethra pada wanita jelas lebih pendek berbanding lelaki. Hal ini mengakibatkan jangkitan saluran kencing lebih mudah mempengaruhi mereka.

Dalam sesetengah kes, jangkitan pada wanita cenderung untuk berulang sendiri selama bertahun-tahun.

Tanda dan gejala penyakit kencing kotor

Tanda dan gejala jangkitan saluran kencing berbeza mengikut jantina, umur dan lokasi jangkitan tersebut.

Walaupun begitu, simptom biasa yang sering dilaporkan termasuklah kerap kencing, sakit semasa kencing, air kencing tidak terkawal, air kencing keruh atau berbau, nanah atau kencing berdarah.

Individu yang terlibat, terutama sekali wanita akan berasa sakit di bahagian pubis. Simptom yang lain akan bergantung kepada organ saluran kencing yang dijangkiti.

  • Jika buah pinggang dijangkiti kuman, individu tersebut akan mengalami demam bersuhu tinggi serta menggigil, loya, muntah dan sakit belakang
  • Dalam kes jangkitan pundi kencing pula, individu akan berasa tekanan di bahagian bawah perut, kerap kencing dan kencing berdarah
  • Jika urethra dijangkiti, individu akan mengalami sensasi terbakar semasa kencing, sakit ketika kencing dan dalam sesetengah kes akan mengeluarkan cecair daripada urethra

Simptom jangkitan saluran kencing untuk kaum lelaki selalunya serupa dengan wanita. Kadangkala, jangkitan pada sistem urinari bahagian bawah boleh mengakibatkan kesakitan di bahagian rektum buat kaum lelaki.

Bilakah saya harus berjumpa doktor?

Anda haruslah berunding dengan doktor jika mempunyai tanda dan gejala yang disenaraikan seperti di atas, terutama sekali sekiranya ia berkait rapat dengan aktiviti kencing anda.

Hubungi doktor anda dengan segera jika demam masih berlarutan selepas 48 jam mengambil antibiotik atau gejala berlaku semula selepas mengambil ubat-ubatan.

[embed-health-tool-bmi]

Punca penyakit kencing kotor

Punca utama di sebalik jangkitan saluran kencing ialah sejenis bakteria bergelar Escherichia coli (E.coli) yang sering ditemui dalam usus. Ia merangkumi 80% hingga 85% daripada jumlah kes. Akan tetapi, kuman lain juga boleh menjadi punca kepada penyakit ini.

Apabila kuman ini berada di permukaan kulit atau berhampiran dengan lubang dubur, kuman ini akan berpindah ke saluran kencing atau bahagian lain. 

Salah satu sebab risiko untuk mendapat jangkitan ini lebih tinggi dalam kalangan wanita adalah kerana jarak antara saluran kencing dan dubur lebih pendek berbanding lelaki.

Bakteria juga boleh masuk ke dalam sistem urinari melalui tiub kencing atau kateter yang digunakan untuk tujuan perubatan, masalah batu karang atau kecacatan sejak lahir yang mengakibatkan saluran kencing tersumbat.

Faktor-faktor risiko jangkitan saluran kencing

kencing kotor

Apa sahaja keadaan yang mengganggu proses pengosongan pundi kencing atau kerengsaan saluran kencing boleh mengakibatkan kencing kotor terjadi. Terdapat pelbagai faktor risiko berkait dengan penyakit ini, seperti:

  • Jantina: Keadaan urethra wanita yang lebih pendek berbanding lelaki memudahkan kuman untuk merebak ke saluran kencing
  • Aktiviti seks: Tekanan pada saluran kencing wanita semasa melakukan hubungan intim boleh memindahkan bakteria daripada sekitar dubur ke saluran kencing. Sebilangan besar wanita mempunyai kuman dalam air kencing selepas seks
  • Menopaus: Hormon estrogen yang turun secara mendadak akan menyebabkan perubahan bakteria normal dalam faraj anda. Ia boleh meningkatkan risiko penyakit kencing kotor
  • Saluran kencing tidak normal: Sesetengah bayi yang mempunyai kecacatan saluran kencing yang mengakibatkan air kencing tidak keluar secara normal atau tertahan dalam urethra
  • Saluran kencing tersumbat: Sesetengah penyakit seperti batu karang atau prostat bengkak boleh menyebabkan air kencing tertahan di dalam pundi kencing
  • Imun badan lemah: Penyakit yang melemahkan sistem imun badan seperti diabetes akan meningkatkan risiko seseorang untuk mendapat jangkitan saluran kencing
  • Penggunaan tiub kencing (catheter): Individu yang mempunyai masalah untuk kencing secara normal seperti masalah saraf, fungsi saluran kencing tidak terkawal atau lumpuh memerlukan tiub kencing untuk jangka masa panjang. Keadaan ini menyenangkan kencing kotor untuk berlaku

Diagnosis dan rawatan

Bagaimana pesakit jangkitan saluran kencing didiagnosis?

1. Ujian air kencing

jangkitan saluran kencing

Sekiranya anda mengesyaki bahawa anda mempunyai simptom kencing kotor, hubungi doktor dengan segera. Doktor akan menyemak tanda dan gejala anda serta melakukan pemeriksaan fizikal.

Untuk mengesahkan penyakit ini, doktor anda perlu menguji kuman dalam air kencing anda. Sampel air kencing yang diberikan haruslah sampel ‘tangkapan bersih’.

Ini bermaksud sampel yang diperlukan ialah aliran tengah air kencing anda, bukannya aliran awal atau penghujung. Hal ini kerana ia boleh mengelakkan pencemaran sampel daripada pengumpulan bakteria dari kulit anda.

Jika anda mengalami jangkitan saluran kencing, pengujian sampel akan mendedahkan sebilangan besar sel darah putih dalam air kencing anda.

Kajian yang lebih terperinci juga akan dijalankan iaitu kultur air kencing untuk menentukan jenis kuman yang menjadi penyebab jangkitan. Ia juga dapat membantu doktor anda untuk memilih rawatan yang paling sesuai.

Sekiranya kencing kotor disebabkan oleh virus, ujian khas mungkin perlu dilakukan. Ia sangat jarang untuk berlaku tetapi boleh dilihat dalam kalangan individu yang telah melakukan pemindahan organ atau sistem imun lemah.

2. Ujian darah

Ujian darah dilakukan sekiranya doktor mengesyaki bahawa anda mempunyai jangkitan saluran kencing bahagian atas.

Ujian yang selalu dijalankan ialah profil darah lengkap dan kultur darah sebagai tambahan kepada ujian air kencing.

Kultur darah dapat memastikan bahawa jangkitan tidak merebak ke dalam aliran darah anda.

3. Pengimejan

Jika anda mempunyai jangkitan yang berulang, doktor juga akan memeriksa sebarang kelainan atau halangan pada saluran kencing anda. Beberapa ujian pengimejan yang sering dijalankan termasuklah:

  • Ultrasonografi sistem urinari
  • Scan CT untuk mendapatkan imej sistem urinari yang lebih terperinci
  • Pyelogram intravena (IVP): Melibatkan suntikan pewarna ke dalam badan yang akan melalui sistem urinari anda. Pewarna tersebut akan muncul terang dalam gambar sinar-X.
  • Sistoskopi: Prosedur ini menggunakan kamera kecil yang dimasukkan melalui urethra untuk melihat pundi kencing anda. Dalam sesetengah kes, doktor akan mengambil sampel tisu untuk menguji sama ada terdapat keradangan atau kanser pundi kencing.

Apakah rawatan penyakit kencing kotor?

Rawatan kencing kotor bergantung kepada penyebabnya. Selepas menjalankan ujian dan prosedur untuk mengesahkan diagnosis, doktor anda dapat menentukan jenis kuman yang terlibat.

Dalam kebanyakan kes, kuman yang paling utama ialah bakteria. Kencing kotor yang disebabkan oleh bakteria boleh dirawat dengan antibiotik selama 7 hari.

Sebilangan kes lain pula, virus atau kulat boleh menjadi penyebabnya. Rawatan seterusnya bergantung kepada doktor untuk menggunakan jenis antivirus atau antikulat yang sesuai untuk anda.

Perubahan gaya hidup bantu mencegah!

Sudah kena sekali, pasti anda serik nak melaluinya lagi. Oleh itu, perubahan gaya hidup penting untuk membantu anda mengatasi penyakit ini seperti :

  • Minum air 6 hingga 8 gelas setiap hari. Jika anda gemar minum jus, tukarkanlah jus kegemaran anda kepada jus kranberi
  • Utamakan kebersihan semasa mengelap alat sulit anda. Bagi wanita, pastikan anda mengelap dari depan ke belakang selepas menggunakan tandas
  • Elakkan meletakkan sebarang cecair atau semburan air ke dalam faraj anda
  • Anda digalakkan untuk memakai pakaian dalam yang diperbuat daripada kapas dan jauhi daripada memakai seluar yang ketat
  • Selepas bersenggama, jadikanlah membuang air kecil dan membersihkan alat sulit anda sebagai rutin. Elakkan daripada menggunakan diafragma atau ubatan untuk membunuh sperma
  • Kencing dengan kerap dan pastikan aktiviti tersebut habis sepenuhnya
  • Maklumkan doktor jika anda sedang mengambil ubat lain seperti pil perancang. Sesetengah ubat berpotensi untuk bertindak balas dengan antibiotik yang diberikan

Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan, sila berunding dengan doktor bagi memahami rawatan terbaik untuk anda.

Penafian

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

  1. https://my.clevelandclinic.org/health/diseases/9135-urinary-tract-infections
  2. https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/urinary-tract-infection/symptoms-causes/syc-20353447
  3. http://www.myhealth.gov.my/jangkitan-saluran-kencing-3/
  4. https://familydoctor.org/condition/urinary-tract-infections/
  5. https://www.niddk.nih.gov/health-information/urologic-diseases/bladder-infection-uti-in-adults
  6. https://www.cdc.gov/antibiotic-use/community/for-patients/common-illnesses/uti.html

Versi Terbaru

17/01/2023

Ditulis oleh Nana Muhammad

Disemak secara perubatan oleh Dr. Ahmad Wazir Aiman

Diperbaharui oleh: Fatin Zahra


Artikel Berkaitan

Mengapa Saya Sering Dijangkiti UTI? Ketahui Punca & Faktor Risiko Penyakit Saluran Kencing

Sakit Ketika Buang Air Kecil? Jaga-Jaga, Ini Mungkin Tanda Penyakit Kencing Kotor!


Disemak secara perubatan oleh

Dr. Ahmad Wazir Aiman

Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Nana Muhammad · Disemak pada 17/01/2023

ad iconIklan

Adakah artikel ini bermanfaat?

ad iconIklan
ad iconIklan