backup og meta

3 Jenis Penyakit Lain Berkaitan Saluran Kencing Yang Anda Perlu Tahu

3 Jenis Penyakit Lain Berkaitan Saluran Kencing Yang Anda Perlu Tahu

Selain penyakit saluran urinari seperti jangkitan saluran kencing, masalah kencing tidak lawas dan batu karang, ada juga beberapa penyakit lain seperti hematuria (kencing berdarah), penyakit ureter dan juga glomerulonefritis yang tergolong dalam kumpulan yang sama.

Hematuria atau kencing berdarah merupakan satu kondisi yang selalunya berlaku sebagai simptom kepada penyakit lain.

Walaupun punca di sebalik hematuria merupakan sesuatu yang tidak serius, namun kondisi ini jika dibiarkan tanpa rawatan boleh menjadi masalah yang lebih kronik pada masa hadapan.

Penyakit ureter pula merujuk kepada sebarang halangan pada sebelah ataupun kedua-dua tiub ureter yang bertindak membawa urin dari buah pinggang ke pundi kencing. Masalah ini boleh dirawat namun simptomnya akan menjadi teruk jika perhatian yang sewajarnya tidak diberikan.

Glomerulonefritis adalah penyakit yang berlaku apabila terdapatnya inflamasi pada penapis kecil di dalam buah pinggang. Penapis ini turut dikenali dengan nama glomeruli. Ia berfungsi untuk membuang cecair lebihan, elektrolit dan bahan buangan dari darah ke dalam air kencing.

Ketiga-tiga penyakit ini mempunyai punca, simptom dan cara rawatannya yang tersendiri. Ikuti kupasan kami di bawah untuk ketahui lebih lanjut. 

Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Urologi, sila dapatkannya di sini.

Hematuria atau kencing berdarah

Punca hematuria

Hematuria mempunyai pelbagai punca. Antaranya adalah:

  1. Jangkitan pada pundi kencing, buah pinggang atau prostat.
  2. Senaman yang kuat dan aktif.
  3. Trauma.
  4. Penyakit disebabkan virus seperti hepatitis.
  5. Aktiviti seksual.
  6. Menstruasi.
  7. Endometriosis.

Walau bagaimanapun, bukan semua kes hematuria dapat dikenal pasti.

Simptom kencing berdarah

Mereka yang mengalami hematuria tampak mempunyai urin yang berwarna merah jambu, merah ataupun coklat. Untuk pengetahuan anda, hanya sedikit sahaja darah yang diperlukan untuk menyebabkan sebarang perubahan pada warna urin.

Pesakit yang mengalami hematuria tampak mungkin akan rasa sakit dan pedih ketika membuang air kecil disebabkan darah beku.

Selain itu, pesakit mungkin tidak akan mengalami sebarang tanda atau simptom lain.

Rawatan hematuria

Rawatan bergantung kepada punca sebenar hematuria yang dialami.

Sebagai contoh, jika jangkitan saluran kencing (UTI) menyebabkan kencing berdarah, doktor akan memberikan antibiotik untuk merawat jangkitan tersebut.

Sama jugalah jika anda mempunyai punca lain di sebalik hematuria tersebut. Doktor akan melakukan diagnosis untuk mengetahui penyebabnya dan sama ada anda perlukan rawatan lain untuk merawat hematuria.

Penyakit ureter

kencing berdarah

Saluran ureter yang membawa air kencing dari buah pinggang ke pundi kencing boleh tersumbat disebabkan pelbagai perkara.

Jika berlakunya sebarang halangan pada saluran ureter, air kencing boleh mengalir balik ke dalam buah pinggang dan merosakkannya. Ini boleh menyebabkan kesakitan dan meningkatkan risiko untuk mengalami jangkitan. 

Malah, sebarang halangan pada saluran ureter boleh menyebabkan kegagalan buah pinggang, sepsis atau kematian.

Saluran ureter tersumbat sebenarnya merupakan masalah yang lazim berlaku. Disebabkan keadaan ini boleh dirawat, komplikasi yang serius jarang berlaku.

Punca halangan pada saluran ureter

Halangan pada saluran ureter banyak berlaku kepada lelaki yang berusia 60 tahun ke atas disebabkan pembesaran prostat. Apabila fungsi ureter jadi terbatas, air kencing tidak dapat mengalir dengan baik dan ini akan menyebabkan pelbagai masalah. 

Malah, pembesaran prostat juga boleh menyebabkan air kencing pesakit mengalir kembali ke dalam buah pinggang disebabkan wujudnya halangan.

Banyak perkara yang boleh menyebabkan saluran ureter tersumbat. Antaranya adalah:

  1. Pembentukan batu karang
  2. Parut yang berlaku di dalam saluran air kencing akibat kecederaan atau kecacatan dari lahir.
  3. Tekanan daripada luar.

Simptom masalah ureter

Simptom untuk kondisi ini mungkin berbeza mengikut pesakit. Sebagai contoh, mereka yang menghidap batu karang akan alami sakit perut yang teruk. 

Selain itu, perhatikan juga simptom seperti:

  1. Rasa sakit
  2. Perubahan jumlah urin yang dihasilkan.
  3. Kesukaran membuang air kecil.
  4. Kencing berdarah.
  5. Jangkitan saluran kencing (UTI) yang berulang.
  6. Hipertensi.

Rawatan untuk ureter tersumbat

Simptom yang ditunjukkan oleh ureter tersumbat mungkin serupa dengan gejala kondisi lain seperti dehidrasi dan jangkitan saluran kencing.

Rawatan yang diberikan oleh doktor juga mungkin berbeza mengikut punca sebenar halangan yang berlaku.

Tetapi, rawatan lazim akan diberikan dalam bentuk ubat-ubatan seperti alpha-blocker untuk membantu otot pada bahagian postat lebih relaks. Ini termasuklah pemberian ubat untuk mengecutkan prostat.

Jika kondisi ini berlaku disebabkan kehadiran tumor atau kecacatan yang berlaku sejak lahir, doktor akan melakukan pembedahan untuk membuang halangan tersebut.

Selain itu, doktor juga boleh meletakkan sejenis tiub nipis yang fleksibel (stent) ke dalam ureter untuk membuatkan saluran tersebut sentiasa terbuka untuk memudahkan pengaliran urin.

Glomerulonefritis

kencing berdarah

Glomerulonefritis adalah satu kondisi yang berlaku apabila penapis kecil (glomeruli) pada bahagian buah pinggang rosak atau tercedera. Apabila bahagian ini rosak, sukar untuk badan mengkumuhkan bahan buangan secara normal.

Malah, jika keadaan ini berterusan tanpa sebarang rawatan, buah pinggang mungkin akan berhenti berfungsi sepenuhnya dan mengakibatkan kegagalan buah pinggang.

Walaupun glomerulonefritis yang ringan boleh dirawat secara efektif, namun ada juga beberapa kes yang menunjukkan pesakit mengalami komplikasi jangka panjang.

Punca glomerulonefritis

Sukar untuk menentukan punca sebenar glomerulonefritis. Banyak penyakit dan kondisi yang boleh menyebabkan kecederaan pada glomeruli.

Walaupun begitu, ada juga pesakit yang mengalami glomerulonefritis tanpa menghidap penyakit atau kondisi tersebut. Antara punca glomerulonefritis adalah:

  1. Tekanan darah tinggi.
  2. Diabetes.
  3. Kanser.
  4. Strep throat (Jangkitan tekak)
  5. Pengambilan non-steroidal anti-inflammatory drugs (NSAIDs) secara berleluasa.
  6. Jangkitan virus seperti HIV, hepatitis B dan hepatitis C.
  7. Penyakit imun seperti lupus, sindrom Goodpasture dan IgA nephropathy.
  8. Vasculitis

Simptom glomerulonefritis

Simptom glomerulonefritis bergantung sama ada pesakit mempunyai glomerulonefritis akut atau kronik. Antara tanda glomerulonefritis adalah:

  1. Air kencing berdarah (hematuria) atau berwarna merah jambu/coklat.
  2. Urin berbuih.
  3. Hipertensi.
  4. Bengkak pada kawasan muka, tangan, kaki dan perut (edema).

Jika banyak protein terbocor ke dalam air kencing, pesakit akan mengalami edema atau bengkak pada kawasan kaki. Keadaan ini turut dikenali sebagai sindrom nefrotik.

Ramai pesakit yang menghidap glomerulonefritis turut mempunyai tekanan darah tinggi.

[embed-health-tool-bmi]

Rawatan glomerulonefritis

Rawatan untuk kondisi ini bergantung kepada puncanya. Sebagai contoh, jika glomerulonefritis berlaku disebabkan tekanan darah tinggi, rawatan akan fokus pada pengawalan tekanan darah.

Pesakit glomerulonefritis yang kurang serius mungkin tidak perlukan sebarang rawatan. Namun, mereka perlu lakukan sedikit perubahan dari segi diet seperti ambil makanan kurang garam untuk mengelakkan tekanan pada buah pinggang mereka.

Tidak ada sebarang rawatan spesifik untuk merawat glomerulonefritis. Namun, doktor mungkin akan mencadangkan anda untuk:

  1. Mengurangkan pengambilan garam dan potassium.
  2. Mengawal tekanan darah dengan lebih baik.
  3. Mengambil pil air atau diuretik untuk merawat bengkak.
  4. Makan suplemen kalsium.

Jika penyakit ini berlaku disebabkan masalah dengan sistem imun, doktor mungkin akan menggunakan ubat-ubatan yang dikenali sebagai immunosuppressants untuk merawat glomerulonefritis yang dialami.

Jangan abaikan hematuria, penyakit ureter dan glomerulonephritis

Jika mengalami simptom seperti kencing berdarah (hematuria) atau rasa sakit ketika membuang air, pastikan anda berjumpa doktor untuk pemeriksaan lanjut.

Walaupun kebanyakan kondisi yang dibincangkan di atas mungkin mempunyai punca yang tidak serius, jangan sesekali abaikan simptom tersebut dan tidak biarkan ia berlarutan dalam jangka masa panjang.

Seperti penyakit lain, hematuria, penyakit ureter dan glomerulonefritis hanya akan jadi lebih teruk jika dibiarkan tanpa sebarang rawatan.

Malah, kondisi seperti hematuria boleh berlaku sebagai simptom penyakit lain yang mungkin lebih teruk dan membawa maut.

Oleh sebab itu, jangan ambil mudah jika anda mengalami simptom seperti digariskan di atas. Berjumpalah doktor untuk sesi konsultasi.

Penafian

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

  1. American Kidney Fund. 2020. Blood in urine. June 17. Accessed January 5, 2021. https://www.kidneyfund.org/kidney-disease/kidney-problems/blood-in-urine.html.
  2. American Kindney Fund. n.d. Glomerulonephritis. Accessed January 5, 2021. https://www.kidneyfund.org/kidney-disease/other-kidney-conditions/rare-diseases/glomerulonephritis/#what_causes_glomerulonephritis.
  3. Cleaveland Clinic. 2019. Ureteral Obstruction: Management and Treatment. October 10. Accessed January 5, 2021. https://my.clevelandclinic.org/health/diseases/21155-ureteral-obstruction/management-and-treatment.
  4. Mayo Clinic. 2020. Blood in urine (hematuria). October 15. Accessed January 5, 2021. https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/blood-in-urine/diagnosis-treatment/drc-20353436.
  5. Mayo Clinic. 2020. Glomerulonephritis. February 6. Accessed January 5, 2021. https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/glomerulonephritis/diagnosis-treatment/drc-20355710.
  6. Mayo Clinic. 2020. Ureteral obstruction. May 29. Accessed January 5, 2021. https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/ureteral-obstruction/diagnosis-treatment/drc-20354680.
  7. NIH. 2016. Hematuria (Blood in the Urine). July. Accessed January 5, 2021. https://www.niddk.nih.gov/health-information/urologic-diseases/hematuria-blood-urine.
  8. Urology Care Foundation. n.d. What is Hematuria.Accessed January 5, 2021. https://www.urologyhealth.org/urology-a-z/h/hematuria.

 

Versi Terbaru

17/01/2023

Ditulis oleh Fatin Zahra

Disemak secara perubatan oleh Dr. Ahmad Wazir Aiman

Diperbaharui oleh: Fatin Zahra


Artikel Berkaitan

Kencing Kotor VS UTI VS Pundi Kencing Aktif: Simptom Lebih Kurang Sama, Tapi 3 Benda Ini Bezanya

Masalah Kencing Dan Urologi Boleh Buat LELAKI STRES! Sampai Boleh Depres Kalau Tak Dirawat!


Disemak secara perubatan oleh

Dr. Ahmad Wazir Aiman

Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Fatin Zahra · Disemak pada 17/01/2023

ad iconIklan

Adakah artikel ini bermanfaat?

ad iconIklan
ad iconIklan