Jangkitan Zika biasanya terjadi melalui gigitan nyamuk spesis Aedes sama ada pada waktu siang atau malam. Jika wanita hamil mendapat virus Zika ini, janinnya turut berisiko untuk dijangkiti. Walau bagaimanapun, semakin banyak bukti yang menunjukkan virus ini juga boleh tersebar dari individu ke individu melalui hubungan seks.
Bagaimana Zika merebak melalui seks?
Virus Zika boleh berada dalam air mani, cecair vagina, air liur, air kencing, dan susu ibu. Walau bagaimanapun, terdapat bukti bahawa virus ini boleh kekal lebih lama dalam air mani berbanding cecair badan lain, seperti cecair vagina, air kencing, dan darah.
Seks melalui faraj, dubur dan oral dipercayai cara untuk virus ini tersebar dari individu yang sudah dijangkiti virus Zika kepada pasangan seks mereka. Ini bermakna melakukan hubungan seks dengan seseorang yang didiagnosis dengan virus ini boleh meningkatkan kemungkinan untuk turut dijangkiti. Jika anda berkongsi mainan seks dengan individu lain, anda juga berisiko tinggi untuk dijangkiti.
Walaupun individu yang memiliki jangkitan virus ini tidak menunjukkan apa-apa simptom, namun pasangannya tetap berkemungkinan untuk dijangkiti sebelum simptom mereka muncul, semasa simptom muncul atau selepas simptom virus ini berakhir. Jika seseorang individu didiagnosis untuk mendapat jangkitan virus ini, mereka tetap boleh menyebarkannya kepada individu lain walaupun simptom jangkitan ini tidak pernah berlaku ke atas mereka.
Buti menunjukkan bahawa penyebaran virus Zika melalui hubungan seks boleh berlaku sama ada antara lelaki dan wanita, lelaki dan lelaki mahupun wanita dan wanita. Sekiranya anda pernah melakukan hubungan seks dengan individu yang pernah atau tinggal di kawasan penularan virus Zika ini tanpa menggunakan kondom, anda juga boleh dijangkiti.