
Tarikh puasa semakin hampir dan ramai antara kita mula risau tentang satu perkara penting iaitu waktu tidur yang tidak teratur.
Tidur lewat, bangun lambat dan badan terasa lesu sering menjadi cabaran utama ketika berpuasa. Jika dibiarkan berlarutan, rutin ini boleh menjejaskan fokus, emosi dan ibadah sepanjang Ramadan.
Jadi, apakah cara terbaik untuk betulkan waktu tidur sebelum bulan puasa agar badan lebih bersedia dan bertenaga? Jom ikuti artikel ini untuk ketahuinya dengan lebih lanjut!
Untuk mendapatkan lebih banyak informasi tentang Tidur Berkualiti, klik di sini.
Kenapa penting ubah waktu tidur sebelum tarikh puasa?
Tarikh puasa 2026 dijangka jatuh pada tarikh 19 Februari 2026, iaitu dekat dengan tarikh Tahun Baru Cina. Ketika bulan Ramadan ini, ia akan mengubah rutin harian kita secara drastik seperti waktu makan, waktu tidur dan tenaga. Dengan mempunyai tidur yang cukup dan berkualiti, ia akan membantu anda dalam:
- Mengekalkan tenaga ketika berpuasa
- Meningkatkan fokus semasa bekerja dan beribadah
- Menjaga emosi dan kesihatan mental
- Mengelakkan keletihan melampau
Jika anda tidak mendapatkan waktu tidur yang cukup, puasa akan terasa lebih berat dan badan cepat letih walaupun belum waktu tengah hari.
Masalah tidur yang biasa berlaku sebelum tarikh puasa
Sebelum membetulkan waktu tidur, penting untuk anda mengenal pasti kesan yang sering dialami akibat rutin tidur yang tidak teratur, antaranya:

- Tidur lewat akibat penggunaan telefon atau menonton TV
- Terbiasa bangun lewat pada waktu pagi
- Sukar tidur awal walaupun badan letih
- Waktu tidur yang tidak berkualiti
Masalah ini perlu ditangani lebih awal, sekurang-kurangnya 1–2 minggu sebelum Ramadan bermula.
Cara betulkan waktu tidur sebelum tarikh puasa
1. Tetapkan niat untuk bersahur
Umat Islam percaya bahawa niat yang ikhlas mampu menjadi pemangkin untuk memperoleh reda serta pertolongan Allah dalam mencapai sesuatu tujuan.
Oleh itu, setiap individu Muslim disarankan untuk menetapkan niat dengan penuh keyakinan, diiringi usaha yang konsisten dengan mengubah rutin harian lebih awal sebelum tibanya bulan puasa.
2. Ubah rutin tidur selari dengan solat Subuh
Semasa bulan Ramadan, anda akan bangun seawal 1 jam sebelum waktu Subuh, bergantung kepada individu tersebut.
Justeru, bagi anda yang telah terbiasa bangun awal pagi untuk solat Subuh, ia dapat membantu anda mencipta rutin harian yang baru ketika berpuasa kelak.
Perkara ini dapat membantu anda untuk bangun sahur. Oleh itu, teruskan untuk menjaga solat Subuh di awal waktu, kerana ia akan memudahkan anda untuk bangun awal pagi untuk bersahur.
3. Ubah waktu tidur secara berperingkat
Jika anda ingin mengubah waktu tidur, jangan ubah secara tiba-tiba. Jika biasa tidur jam 1 pagi, cuba untuk tidur 15–30 minit lebih awal setiap hari. Perubahan kecil tetapi konsisten ini lebih berkesan untuk menyesuaikan jam biologi badan anda.
Pastikan anda mematuhi jadual ini setiap hari, termasuk pada hujung minggu. Walaupun tubuh mungkin memerlukan sedikit masa untuk menyesuaikan diri dengan rutin tidur yang baharu, keadaan ini adalah normal dan sebahagian daripada proses penyesuaian.
4. Elakkan minuman berkafein pada waktu malam

Kopi, teh dan minuman berkafein boleh membuatkan anda sukar tidur. Cuba hadkan pengambilan kafein selepas waktu petang, terutamanya selepas anda berbuka puasa di bulan Ramadan. Hal ini kerana, ia boleh membuatkan anda berjaga pada waktu malam.
5. Pastikan suasana bilik tidur selesa
Salah satu cara yang paling berguna untuk mudah bangun pada tarikh puasa kelak, anda perlu berehat awal dan tidur lebih awal.
Pastikan bilik dalam keadaaan gelap, sejuk dan sunyi untuk membantu meningkatkan kualiti tidur. Gunakan lampu yang malap dan elakkan pasang bunyi yang bising atau kuat bagi mendapatkan tidur yang lebih nyenyak.
6. Kurangkan pendedahan skrin sebelum tidur
Cahaya biru daripada telefon bimbit, tablet, televisyen dan komputer boleh mengganggu penghasilan hormon melatonin yang berperanan penting untuk kita tidur. Selain itu, ia juga boleh mengelirukan isyarat semula jadi tubuh yang memberitahu waktu siang dan malam.
Jadi, anda cuba elakkan penggunaan gajet sekurang-kurangnya 30–60 minit sebelum tidur.
Persediaan tidur untuk bangun sahur
Bangun sahur memerlukan badan yang cukup rehat. Oleh itu, anda perlu:
- Tidur lebih awal bagi menggantikan waktu tidur malam yang berkurang
- Tidak minum minuman berkafein selepas makan malam
- Elakkan berjaga tanpa keperluan selepas waktu solat Isyak
- Tetapkan alarm telefon agar dapat membantu anda untuk bangun
Apabila badan sudah biasa, bangun sahur tidak lagi terasa berat atau mengganggu tidur anda.

Kesimpulan
Ramadan 2026 di Malaysia mungkin akan dirasai lebih bermakna jika anda bersedia dari segi fizikal dan mental, salah satunya dengan membetulkan waktu tidur sebelum tarikh puasa bermula.
[embed-health-tool-bmi]














