Teori pH melanocyte
Satu hipotesis yang turut dicadangkan adalah peranan nilai pH melanocyte dan juga paras cysteine. Menurut hipotesis ini, nilai pH dan juga paras cysteine dikatakan mempengaruhi warna rambut seseorang. Apabila nilai pH menjadi kurang (menjadi lebih bersifat asid) terdapat pengurangan beransur – ansur dalam aktiviti enzim tyrosinase yang akhirnya membawa kepada peningkatan paras kompaun pheomelanin, menjadikan warna rambut lebih ke arah warna merah atau perang muda (blonde).
Faktor genetik
Mutasi pada gen MC1R menyebabkan warna seseorang itu boleh menjadi warna coklat kemerah-merahan atau merah sepenuhnya. Mutasi genetik ini kerap dilihat pada individu-individu berketurunan Eropah Timur di mana pendedahan kepada cahaya matahari sangatlah sedikit. Terdapat juga kajian pada tahun 2012 yang menunjukkan berlakunya mutasi resesif pada protein TYRP1 dalam kalangan mereka yang berambut perang muda (blonde). Selain mutasi genetik, terdapat kewujudan beberapa gen yang berupaya untuk mengahasilkan kesan pemutihan warna rambut juga. Antara gen yang dimaksudkan adalah gen Bcl2 dan juga gen Bcl-w. Kedua-dua peranan gen ini dikenal pasti pada tahun 2016. Terdapat juga satu gen yang turut dikaitkan dengan proses pemutihan warna rambut ini iaitu gen IRF4.
Kekurangan vitamin B12 berupaya untuk menyebabkan penukaran warna rambut menjadi putih. Dikatakan sekitar 55% daripada pesakit yang menghidap pernicious anemia menghidap masalah perubahan warna rambut menjadi warna putih sebelum mencapai usia 50-an.
Kekurangan hormon tiroid
Kekurangan hormon tiroid T3 dan T4 juga salah satu daripada punca yang dikenal pasti berupaya untuk menyebabkan perubahan warna rambut pramatang (PGH), selain masalah keguguran rambut. Hormon tiroid T3 dan T4 bertindak secara langsung terhadap folikel rambut dalam merangsang proses penghasilan melanin (melanongenesis)
Peranan ubat
Sesetengah ubat kemoterapi dan juga ubat antimalaria dikenalpasti berupaya untuk menyebabkan PGH. Ubat-ubat ini dikatakan menghalang reseptor tyrosine kinase c-kit yang terdapat dalam sel-sel melanocyte sekaligus mengganggu proses melanogenesis.
Merokok
Merokok adalah aktiviti yang cukup terkenal sebagai faktor risiko dan punca pelbagai jenis penyakit berbahaya. Maka tidak hairanlah merokok termasuk dalam salah perkara yang menyumbang kepada pemutihan warna rambut. Kajian mendapati merokok mempunyai kaitan yang signifikan dengan PGH. Antara penjelasan yang diberikan untuk mengaitkan kesan rokok kepada pemutihan rambut ini adalah sifar prooksidan rokok yang meningkatkan kerosakan Spesies Reaktif Oksigen (ROS) kepada sel-sel melanocyte pada bahagian folikel rambut.
Penuaan (Acrhomotrichia)
Perubahan warna rambut akibat penuaan atau lebih dikenali sebagai achromotrichia, adalah proses semula jadi yang berlaku dalam semua orang. Proses ini lazimnya bermula pada awal dan pertengahan 20-an dalam lelaki dan hujung 20-an dalam kalangan wanita.
Stres
Peranan stres, baik akut atau kronik dikaitkan dengan cetusan proses achromotrichia pramatang. Walaupun tiada kaitan yang kukuh dapat dihasilkan antara stres dan penghasilan uban, mekanisma yang dicadangkan adalah stres menyebabkan pengumpulan hormon kortisol dalam folikel rambut yang beransur-ansur meningkat.
Keadaan kesihatan tertentu
Albinisma adalah sejenis penyakit keabnormalan genetik di mana sedikit atau tiada langsung pigmen dalam tubuh badan seseorang itu. Ini menyebabkan rambut, mata, bulu kening dan juga kulit mereka menjadi sangat pucat dan putih.
Vitiligo pula adalah sejenis keadaan kesihatan di mana terdapatnya tompok-tompok pelbagai saiz pada permukaan tubuh badan yang menyebabkan keguguran rambut dan/atau perubahan warna kulit dan/atau rambut. Vitiligo ini mempunyai kaitan yang kuat dengan penyakit autoimun.
Adakah terdapat sebarang rawatan untuk PGH?

Sesetengah pengkaji mencadangkan agar ujian paras vitamin B12, asid folik dan juga paras hormon tiroid dilakukan dalam kalangan mereka yang menghidap PGH tetapi tidak mempunyai sejarah keluarga PGH. Ini dilakukan untuk melihat sebarang punca PGH yang disebabkan masalah kesihatan. PGH yang disebabkan oleh masalah kesihatan mempunyai potensi rawatan yang lebih baik. Walaupun ramai pesakit yang berjumpa dengan pakar kulit untuk mendapatkan rawatan, sangat sedikit sahaja daripada mereka yang berjaya untuk mendapatkan rawatan yang memuaskan. Kekurangan vitamin B12 dan juga penyakit hipotiroid dapat dirawat dengan pemberian vitamin yang mencukupi dan pemberian hormon tiroid. Mencabut uban adalah pilihan yang mudah dan jimat kos untuk dilakukan namun langkah ini hanyalah praktikal jika ia membabitkan sedikit sahaja uban.
Pewarna rambut
Kebanyakan mereka yang menghidap PGH bergantung kepada pewarna rambut untuk mengembalikan semula keseragaman warna rambut mereka. Bahan pewarna rambut yang digunakan ini boleh disediakan menggunakan produk semula jadi atau produk sintetik. Selain itu, bahan pewarna ini juga boleh bertindak secara sementara ataupun kekal. Lazimnya, pewarna semula jadi dihasilkan menggunakan pokok teratai (Zizyphus spina-christi), pokok henna (Lawsonia alba), pokok Indian gooseberry (Emblica officinalis) dan juga pokok spesies Eclipta alba. Kelebihan menggunakan pewarna berteraskan bahan semula jadi ini adalah ia bersifat hipoalergenik dan juga tidak toksik. Bahan pewarna sementara tidak menembusi kutikel dan boleh hilang jika dibasuh dengan penggunaan syampu. Selain memberikan warna rambut yang seragam dan menyorokkan uban di kepala, bahan pewarna juga melindungi uban daripada kerosakan akibat cahaya. Pewarna rambut kekal adalah pewarna rambut yang paling popular dia pasaran komersial. Walau bagaimanapun, terdapat risiko kerosakan rambut akibat daripada proses oksidasi daripada bahan pewarna kekal. Sesetengah individu, mengalami masalah keradangan kulit dan juga keguguran rambut akibat daripada penggunaan bahan pewarna rambut seperti ini.
Komen
Kongsi komen anda
Ayuh jadi yang pertama untuk memberi komen!
Sertai Kami atau Log Masuk untuk menghantar komen