Kulit kepala kering yang menyebabkan kegatalan berterusan amat menjengkelkan! Lama-kelamaan, kesihatan kulit kepala dan rambut juga akan mula terjejas.
Dalam beberapa kes, masalah kulit kepala ini mungkin dipicu oleh faktor persekitaran seperti udara kering.
Manakala dalam kes lain, ia turut dikaitkan dengan kondisi seperti kelemumur, ekzema, atau bahkan psoriasis.
Tapi jangan risau dulu! Ternyata remedi berasaskan bahan semula jadi dapat bantu merawat kondisi ini.
Kulit kepala kering, ini 5 remedi semula jadi!
Terdapat beberapa kemungkinan yang menyumbang kepada punca masalah kulit kepala ini.
Penggunaan jenis syampu atau produk rambut tertentu, kurang minum air serta tabiat mencuci rambut terlalu kerap juga tidak terkecuali.
Sekiranya seseorang mempunyai masalah kulit kepala ini, mereka mungkin turut alami:
- Kegatalan
- Kulit kepala berkeruping
- Keguguran
- Kelemumur
Namun, seperti yang penulis sebutkan sebentar tadi, kondisi ini dapat dirawat dengan bantuan remedi yang mudah, antaranya:
#1 Cuka epal
Cuka ini kerap diperkatakan sebagai rawatan semula jadi bagi kondisi kulit kepala kering yang berkaitan dengan kelemumur.
Tambah lagi, cuka epal dikatakan dapat mengembalikan keseimbangan pH kulit kepala dan menghalang pertumbuhan Malassezia furfur (sejenis yis- kulat yang menyumbang kepada pembentukan kelemumur).
Rawatannya melibatkan penggabungan sedikit cuka tersebut ke dalam air.
Setelah larutan itu dituangkan ke dalam botol penyembur, ia kemudian disemburkan ke rambut dan kulit kepala.
Larutan ini akan dibiarkan selama 15 minit hingga 1 jam sebelum dibilas bersih.
Remedi ini turut disaran untuk diamalkan kira-kira sekali atau 2 kali seminggu.
#2 Minyak tea tree
Walaupun penyelidikan mengenai penggunaan rawatan semula jadi untuk kulit kepala yang kering masih belum mencukupi, terdapat beberapa bukti menunjukkan minyak tea tree mungkin bermanfaat dalam merawat kelemumur.
Sebuah laporan yang diterbitkan dalam Journal of the American Academy of Dermatology pada tahun 2002 menunjukkan, syampu yang diperkaya dengan minyak ini dapat membantu mereka dengan masalah kelemumur bertahap ringan hingga sederhana.
Untuk kajian ini, seramai 126 orang (berumur 14 tahun ke atas) menggunakan syampu sama ada berasaskan minyak tea tree 5% atau syampu plasebo setiap hari selama 4 minggu.
Pada akhir kajian, mereka yang diberikan syampu minyak tea tree menunjukkan peningkatan sebanyak 41% pada kulit kepala bagi masalah kegatalan dan berminyak.
Manakala, bagi yang diberi syampu plasebo pula hanya menunjukkan peningkatan sebanyak 11% dalam gejala tersebut.
#3 Asid lemak omega-3
Sesetengah pengamal rawatan alternatif pula mencadangkan pengambilan asid lemak omega-3 untuk merawat kulit kepala kering dengan meningkatkan kesihatan kulit secara menyeluruh.
Ia tersedia dalam pelbagai bentuk seperti suplemen (termasuk suplemen minyak ikan kod dan minyak krill).
Asid lemak omega-3 juga boleh didapati secara semula jadi dalam makanan seperti flaxseeds dan ikan berminyak; salmon, sardin, tuna, makarel, dan hering.
#4 Minyak rambut & kulit kepala
Antara lain remedi yang ringkas, penggunaan minyak rambut boleh bantu merawat masalah kulit kepala ini dengan mengembalikan kelembapan pada kulit anda.
Ini termasuklah minyak-minyak seperti:
- Minyak argan
- Minyak kelapa
- Minyak jojoba
- Minyak daun semambu
Salah satu minyak yang agak kurang dikenali sebagai rawatan untuk kondisi ini adalah minyak Brahmi, ia telah lama digunakan untuk meningkatkan kesihatan kulit dalam perubatan ayurveda.
Minyak ini mengandungi ekstrak herba bacopa (Bacopa monnieri) dan gotu kola (Centella asiatica), yang kebiasaannya digabungkan dengan minyak bijan atau minyak kelapa.
#5 Lidah buaya
Gel lidah buaya sering kita gunakan untuk merawat kesan selaran matahari serta kulit yang kering, kan?
Kajian menunjukkan, kesan kelegaan yang diberikan oleh rawatan berasaskan lidah buaya ini disebabkan oleh elemen anti radang yang terkandung di dalamnya.
Justeru, apabila ia disapukan pada kulit kepala, lidah buaya juga dapat bantu melembapkan serta mengurangkan rasa gatal yang berkaitan dengan kulit kepala yang kering.
Satu kajian lama telah membandingkan penggunaan gel lidah buaya dengan plasebo pada 44 peserta dengan dermatitis seborrheic (kondisi yang menyebabkan kulit bersisik dan berkeruping).
Kajian tersebut mendapati bahawa gel ini lebih berkesan untuk mengurangkan rasa pedih dan gatal.
Apa anda perlu tahu tentang kulit kepala…
Walaupun tiada jaminan yang dapat membuktikan kesemua remedi di atas berupaya mengubati masalah kulit kepala ini, namun penggunaan rawatan berasaskan bahan semula jadi ini secara umumnya selamat untuk dicuba!
Jadi, tidak ada salahnya untuk anda mencuba pilihan rawatan yang telah penulis kongsikan, mana tahu ada yang berkesan, kan?
Untuk makluman pembaca, kebanyakan kes untuk kondisi ini tidak memerlukan rawatan yang serius kerana ia hanyalah sekadar masalah kosmetik.
Namun jangan dipandang enteng pula, kadangkala ia mungkin berpunca daripada kondisi yang memerlukan perhatian perubatan seperti psoriasis (masalah kesihatan kronik yang menyebabkan kegatalan teruk dan, seterusnya meningkatkan risiko jangkitan bakteria kulit akibat kerap menggaru).
Jika isu kulit kepala ini berterusan atau disertai simptom lain seperti sendi, kuku bengkak, dan kulit bersisik berwarna keperakan, pastikan untuk merujuk doktor dengan kadar segera sebelum kondisi bertambah parah!