Mempunyai kulit menggeleber selepas kurus boleh mengecewakan dan memberi impak negatif terhadap keyakinan diri serta kualiti hidup!
Benar, menurunkan berat badan adalah suatu pencapaian yang mengagumkan dan harus dibanggakan kerana ia bukanlah 1 perjalanan yang mudah!
Walau bagaimanapun, setelah penat berhempas pulas menurunkan berat, masih ada ‘sisa tertinggal’ pada badan iaitu kesan kekenduran kulit.
Macam mana nak buang kulit yang mengendur di sekitar lengan, paha dan perut ini? Tolong!
Jangan risau okey, jika anda ingin menyingkirkan kulit menggeleber selepas kurus secara semula jadi, jom ikuti artikel ini!
Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kesihatan Kulit, sila dapatkannya di sini.
Kulit menggeleber selepas kurus? Apa puncanya?
Kulit, organ terbesar di dalam badan kita berfungsi sebagai penghadang serta pelindung terhadap persekitaran.
Selain itu, lapisan kulit manusia yang paling dalam terdiri daripada protein, termasuk kolagen dan elastin.
Kolagen, yang merangkumi 80% struktur kulit anda, memberikan kesan ketegangan dan kekuatan. Elastin pula menyumbang kepada keanjalan kulit.
Semasa kenaikan berat badan, kulit badan akan mengembang untuk memberi ruang kepada pertambahan lemak yang meningkat di perut dan bahagian badan yang lain. Faktor kehamilan juga tidak terkecuali.
Pengembangan kulit saat kehamilan berlaku dalam masa beberapa bulan, dan biasanya bakal mengecut beberapa bulan pasca kelahiran bayi.
Walau bagaimanapun, kebanyakan individu yang gemuk atau obes telah ‘membawa’ berat yang berlebihan itu selama bertahun-tahun lamanya, selalunya bermula seawal usia kanak-kanak atau remaja.
Apabila kulit diregangkan untuk jangka masa yang panjang, maka serat kolagen dan elastin menjadi rosak.
Hal ini mengakibatkan kehilangan keupayaan kulit untuk kembali menegang dan memberikan kesan kulit mengendur usai penurunan berat badan.
Antara bahagian badan yang kerap terjejas pula merangkumi kawasan lengan, perut, dada, punggung, dan paha.
Secara umumnya, semakin banyak penurunan berat yang berlaku, semakin jelas kesan kekenduran kulit.
Faktor-faktor yang mempengaruhi keanjalan kulit
- Jangka masa gemuk/obes: Secara amnya, semakin lama seseorang mengalami kegemukan, kulit mereka akan menjadi semakin longgar setelah penurunan berat badan akibat kehilangan elastin dan kolagen.
- Jumlah penurunan berat badan: Penurunan berat badan sebanyak 100 paun (46 kg) atau lebih biasanya menghasilkan kesan kulit menggeleber yang lebih ketara berbanding penurunan berat yang sedikit.
- Faktor umur: Golongan yang berusia mempunyai tahap kolagen yang lebih sedikit berbanding mereka yang lebih muda dan kulit cenderung menjadi lebih longgar berikutan penurunan berat badan yang dialami.
- Genetik: Faktor genetik turut boleh mempengaruhi cara kulit bertindak balas terhadap kenaikan dan penurunan berat badan.
- Pendedahan sinar matahari: Pendedahan sinar matahari yang kronik telah terbukti mengurangkan pengeluaran kolagen dan elastin kulit, yang mungkin menyumbang kepada kekenduran kulit.
- Merokok: Merokok menjejaskan pengeluaran kolagen dan mewujudkan kerosakan pada kolagen yang sedia ada, mengakibatkan kulit kendur dan menggeleber.
Usah risau, ini 4 cara menegangkan kulit secara semula jadi!
Mula-mula, jangan panik! Kulit kita adalah organ hidup, yang secara perlahan-lahan akan kembali ke bentuk yang bersesuaian dengan saiz tubuh baharu.
Tetapi kerana proses itu boleh memakan masa beberapa tahun, berikut adalah langkah-langkah yang boleh anda amalkan untuk membantunya.
#1 Kekal hidrat
Sentiasa pantau keperluan penghidratan anda. Air adalah komponen penting untuk mengekalkan keanjalan kulit.
Kulit kita terdiri daripada sel. Sel kulit, sama seperti semua sel di dalam badan kita, juga terdiri daripada air.
Tanpa air, organ yang sangat besar ini pastinya tidak akan mampu untuk berfungsi dengan baik, kan?
#2 Makan dengan betul!
2 bahan yang diperlukan untuk menjaga kulit yang gebu dan elastik adalah kolagen dan elastin. Pastikan untuk mengamalkan makanan kaya protein!
Keju, susu, kekacang, tauhu, dan ikan semuanya mengandungi komponen pembentuk kolagen dan elastin serta minyak yang bantu mengekalkan kulit sihat.
#3 Jaga kulit anda
Berikan ‘kasih sayang’ dan penjagaan yang diperlukan oleh kulit. Pengelupasan ringan setiap hari dapat bantu menyingkirkan sel kulit mati dan meningkatkan peredaran kulit.
Krim menganjalkan kulit dengan formulasi dan ramuan seperti berikut dapat menghidrat dan meningkatkan pembentukan kolagen serta elastin kulit, antaranya:
- Lidah buaya
- Asid hyaluronik
- Ekstrak yis
- Protein soya
- Vitamin A
- Vitamin C
- Vitamin E
Beberapa perkara yang boleh anda lakukan untuk merawat kulit, termasuk:
- Mengelakkan penggunaan bahan pencuci yang keras (seperti sabun, syampu, dan cecair pencuci pinggan dengan sulfat)
- Mengehadkan pendedahan cahaya matahari
- Tidak merokok dan mengelakkan asap rokok
- Meminimumkan kontak dengan air panas dan berklorin
#4 Tingkatkan jisim otot badan
Seperti yang dikupas di atas, kekenduran kulit terjadi setelah penurunan berat badan dek kehilangan lemak yang menyokong kulit.
Jadi, mengapa tidak mengisi ruang kosong itu dengan jisim otot?
Melibatkan diri dalam beberapa aktiviti hypertrophic (pembinaan otot), terutama di kawasan kulit yang mengendur, dapat memberikan penampilan kulit yang lebih anjal dan tegang!
Benar, kaedah ini tidak mengecilkan saiz kulit, tetapi memberikan kesan kulit tegang dengan mengisi ruang kosong menggunakan otot badan.
Jadi, selamat mencuba!