Kulit merekah adalah satu masalah biasa yang berlaku akibat kulit kering. Akan tetapi, rekahan kulit juga boleh terjadi disebabkan trauma, kecederaan atau jangkitan. Tidak kira bayi mahupun individu dewasa; semuanya adalah berisiko untuk mengalami masalah kulit ini tetapi dalam kapasiti yang berbeza. Oleh itu, cara yang terbaik adalah untuk mengetahui apa sebenarnya masalah kulit merekah.
Memahami fisiologi kulit merekah
Sebelum membincangkan secara terperinci mengenai kulit merekah, kita perlu lebih memahami konsep kulit brick and mortar. Brick merujuk kepada corneocytes (korneosit – sel kulit), manakala mortar merujuk kepada lipid bilayer di antara korneosit. Kulit yang sihat dan kuat membolehkan kita dilindungi daripada pendedahan alam sekitar yang tidak sihat, seperti sabun, bahan kimia, bahan pengawet, radiasi UV, bahan pencemaran dan microbiome. Jadi, sekiranya struktur brick and mortar kulit terjejas atau rosak dalam apa juga keadaan, ia akan mendedahkan kulit kita kepada kemudaratan.
Pendedahan kepada kesan buruk akan mempengaruhi keupayaan pengekalan air dalam kulit, ini sekali gus akan menyebabkan dehidrasi korneosit. Keadaan ini yang mengakibatkan berlakunya kulit kering dan merekah, sekali gus menjejaskan keupayaan kulit untuk melindungi anda daripada agen-agen alam sekitar. Keadaan ini akhirnya akan menyebabkan wujudnya keradangan pada kulit, seperti ekzema.
Apa yang menyebabkan kulit merekah?
Kulit kering dan merekah sebenarnya berlaku disebabkan banyak faktor dan ia adalah berbeza pada bayi dan individu dewasa. Bagi bayi, kulit kering dan merekah mungkin disebabkan oleh pre-deposisi genetik kepada penyakit atopik (alahan rinitis, ekzema atopik, asma bronkial, alahan konjunktivitis), atau tindak balas tidak normal terhadap organisma komensal, seperti Malassezia furfur.
Ia mungkin juga disebabkan oleh agen-agen alam sekitar seperti pendedahan kepada bahan pencuci yang kuat, kekurangan pelembap, penggunaan tisu basah yang kerap, kerengsaan disebabkan najis dan air kencing kerana jarang menukar lampin.
Manakala bagi individu dewasa pula, golongan ini lebih berpotensi terdedah kepada pelbagai perengsa atau alergen, disebabkan penglibatan fizikal berkaitan pekerjaan atau hobi. Oleh sebab itu, individu yang pernah mengalami masalah ekzema ketika zaman kanak-kanak dan telah stabil, berkemungkinan besar mengalami masalah ekzema yang berulang disebabkan pendedahan kepada agen-agen tersebut.
Kira-kira 40 hingga 50 peratus individu dewasa yang lebih berusia mungkin mengalami sedikit kekeringan dan rekahan kulit yang disebabkan oleh penuaan fisiologi atau terjejas akibat pengumpulan pendedahan sepanjang hidup kepada radiasi UV, pencemaran dan bahan kimia.
Bahagian badan yang berisiko mengalami rekahan
Risiko untuk mengalami kulit merekah adalah bergantung kepada punca yang mendasari, dan ia adalah berbeza bagi setiap individu. Sebagai contoh, bahagian badan seperti tangan dan kaki mungkin akan lebih terdedah kepada rekahan disebabkan geseran akibat melakukan aktiviti harian atau pendedahan kepada kerengsaan atau alergen.
Di samping itu, bayi yang menderita dermatitis atopik akan cenderung mengalami masalah rekahan kulit pada bahagian pipi, ekstensor tangan dan kaki. Walau bagaimanapun, seiring pertambahan usia, bahagian yang mungkin terjejas mungkin lebih setempat seperti di dahi, siku, lutut, belakang paha dan punggung.
Rekahan kulit: Bagaimana untuk mencegahnya?
Pengamalan rutin penjagaan kulit yang tertumpu kepada mencuci dan melembapkan kulit dengan betul adalah penting, untuk mencegah kulit kering dan merekah. Oleh itu, pemahaman mengenai paras pH pencuci dan pelembap sangat penting.
Individu yang mempunyai kulit sensitif dan kering perlu membersihkan kulit mereka menggunakan pencuci ringan yang mengandungi bahan pengawet dan pewangi yang minimum. Paras pH pencuci perlu berada antara 5-7 untuk mengekalkan lapisan asid kulit. Pencuci umumnya dikelaskan kepada tiga jenis asas, iaitu sabun, detergen sintetik dan kombo.
Seterusnya, penggunaan pelembap, digunakan untuk mengurangkan kehilangan air dari kulit. Pelembap yang baik harus mengandungi tiga bahan utama – emollient, occlusive dan humectant.
Emollient berfungsi sebagai pelicin kulit dengan mengisi ruang antara kulit yang merekah. Pelembap occlusive pula bertindak untuk mengatasi kehilangan air dari kulit. Manakala humectant, akan menarik dan mengikat air dari epidermis yang lebih dalam kepada permukaan kulit.
Bagaimana merawat kulit merekah?
Rawatan bagi mengatasi kulit kering dan merekah melibatkan dua langkah utama iaitu kawalan keradangan dan pengekalan fungsi kulit sebagai penghalang kepada kemasukan anasir luar. Pelaksanaan langkah-langkah ini harus memfokuskan kepada mengekalkan fungsi penghalang kulit (skin barrier function). Ia melibatkan prosedur pembersihan dan pelembapan yang betul, yang memainkan peranan utama.
Jika fungsi penghalang kulit ini terjejas, ia akan mengakibatkan keradangan. Oleh sebab itu, pengguna amat disyorkan untuk menggunakan pelembap yang mengandungi bahan-bahan seperti asid glisirrensenik, palmitamide MEA, atau lichochalcone. Ini kerana, bahan-bahan seperti ini dapat membantu mengurangkan keradangan sama seperti penggunaan kortikosteroid potensi rendah. Alternatifnya, penggunaan kortikosteroid topikal atau perencat calcineurin turut boleh membantu mengawal keradangan.
Selain daripada bahan-bahan dalam penyediaan topikal, penting untuk anda memahami komposisi yang berbeza dalam penyediaan topikal. Ia kebiasaannya terdiri daripada air, petrolatum atau gabungan kedua-duanya (lihat gambar rajah di bawah).
Air secara semula jadinya merupakan sumber pelembap yang lemah, kerana ia cenderung untuk menyejat dengan cepat. Pada penghujung spektrum yang lain, petrolatum adalah bahan yang mempunyai keupayaan untuk mencegah 99 peratus kehilangan air dari epidermis. Disebabkan kelikatannya, ia merupakan bahan yang menyekat pertumbuhan bakteria. Maka, ia tidak memerlukan campuran bahan kimia dan bahan pengawet yang tinggi membuatkan kadar keiritasiannya rendah.
Walau bagaimanapun, disebabkan konsistensi berminyak petrolatum, sesetengah individu mungkin tidak dapat bertoleransi terhadap penggunaannya ke atas kulit yang mungkin menyumbang kepada penutupan folikel rambut dan akhirnya menyebabkan keradangan.
Oleh itu, losyen dan krim adalah lebih sesuai untuk digunakan di negara panas dan lembap seperti Malaysia. Walau bagaimanapun, losyen dan krim memerlukan tambahan bahan pengawet untuk memastikan kestabilannya. Keadaan ini sekali gus menyebabkan wujudnya risiko tindak balas yang lebih tinggi berbanding penggunaan salap.
Pada akhirnya, tiada satu produk yang boleh dianggap terbaik. Tetapi memilih produk yang bersesuaian dengan kulit dan akan digunakan secara konsisten, akan dapat memberikan anda tahap keberkesanan yang maksimum.
Untuk mencegah berlakunya sebarang masalah berkaitan kulit, dapatkan nasihat profesional pada peringkat awal. Ini kerana ia dapat membantu anda untuk mengambil dan mengamalkan langkah pencegahan yang betul.
Selain itu, jangan amalkan ubat-ubatan semula jadi sebagai satu kaedah rawatan melainkan ia disarankan oleh profesional perubatan. Ini kerana, kaedah perubatan tanpa kawalan ini mungkin meningkatkan peluang untuk mengakibatkan lebih kerosakan pada kulit berbanding merawatnya.
Hello Health Group tidak menyediakan nasihat perubatan, diagnosis, atau rawatan.