Pernahkah anda mendengar mengenai penyakit sopak? Dalam dunia perubatan, ia dikenali sebagai vitiligo atau penyakit kulit putih. Untuk pengetahuan anda, setiap daripada kita mempunyai tona warna kulit yang berbeza – ada yang sawo matang, ada yang putih kapas dan ada juga yang hitam manis.
Setiap warna kulit mempunyai kecantikan dan faktor penarik yang tersendiri. Di sebalik kepelbagaian warna kulit ini, terdapat juga individu yang memiliki tompok-tompok putih yang lazimnya berkontra jelas dengan warna kulit keseluruhan mereka.
Inilah yang dikenali sebagai vitiligo atau sopak.
Untuk mendapatkan lebih banyak info berkenaan Kesihatan Kulit, anda boleh klik di sini.
Penyakit sopak, penyakit kulit putih
Vitiligo adalah sejenis keadaan kulit yang dicirikan oleh kewujudan tompok-tompok putih pada sebahagian anggota badan.
Tompok-tompok putih ini boleh berlaku pada mana-mana bahagian badan termasuklah pada wajah, kemaluan, tangan, perut dan juga dada.
Untuk sesetengah individu, kegatalan kulit boleh berlaku terlebih dahulu sebelum bahagian kulit tersebut mula berubah menjadi warna putih pucat.
Bermula sebagai tompok-tompok yang kecil, tompok putih vitiligo boleh merebak atau menjadi lebih besar dari masa ke masa.
Ini punca sebenar penyakit sopak
Apa punca penyakit vitiligo?
Vitiligo atau penyakit sopak adalah keadaan kulit yang terbentuk akibat daripada gabungan beberapa faktor persekitaran dan kecenderungan genetik.
Terdapat pelbagai hipotesis yang telah dicadangkan bagi menjelaskan punca penyakit vitiligo.
Kebanyakan kajian bersetuju bahawa sistem imun badan memainkan peranan yang penting dalam pembentukan tompok-tompok putih vitiligo.
Perubahan warna kulit tersebut berlaku akibat daripada sistem imun badan yang menyerang sel-sel melanosit (sel yang menghasilkan melanin atau warna kulit) pada bahagian-bahagian badan tertentu.
Penting untuk orang awam mengetahui bahawa vitiligo dan albino bukanlah masalah kulit yang sama.
Dari segi liputan anggota badan, warna putih pucat yang berlaku dalam albino bersifat menyeluruh, meliputi seluruh kulit dan rambut.
Tambahan lagi, albino berlaku akibat daripada mutasi genetik yang mendorong kepada ketiadaan atau penurunan dalam penghasilan melanin yang signifikan.
Kaitan antara vitiligo dengan penyakit lain
Untuk makluman pembaca, penyakit kulit tompok putih mempunyai kaitan yang kuat dengan pelbagai penyakit autoimun.
Antara penyakit autoimun yang berkait rapat dengan vitiligo termasuklah:
- SLE
- Keradangan Thyroid Hashimoto
- Penyakit Addison
- Psoriasis
- Pernicious Anemia
- Rheumatoid arthritis
- Scleroderma
Bagaimana merawat penyakit kulit putih ini?
Seperti masalah kulit dan penampilan diri yang lain, penyakit sopak berupaya untuk memberikan impak yang negatif kepada keyakinan diri dan kesihatan mental penghidapnya.
Oleh itu, sebilangan penghidap penyakit ini akan mengalami kegelisahan, masalah pergaulan dan juga kemurungan.
Buat masa ini, masih belum ada sebarang penawar yang khusus bagi menangani masalah vitiligo.
Rawatan sedia ada hanya membabitkan penggunaan ubat topikal (sapuan kulit) yang bertindak merencatkan tindak balas imun.
Rawatan menggunakan ubat topikal ini adalah rawatan barisan pertama dalam mengatasi vitiligo. Antara ubat yang diguna pakai termasuklah krim berasaskan glukokortikoid dan juga krim berteraskan perencat kalsineurin.
Rawatan barisan kedua pula dikenali sebagai rawatan fototerapi. Rawatan ini jarang digunakan dan hanya akan dipertimbangkan jika rawatan barisan pertama gagal.
Kaedah rawatan ini melibatkan penggunaan pancaran ultraungu (UV) untuk tempoh waktu tertentu.
Bergantung kepada saiz dan tempoh masa kewujudan vitiligo, protokol rawatan boleh memakan masa beberapa minggu hingga berbulan lamanya.
Sesetengah protokol akan menggabungkan penggunaan krim dengan pancaran UV bagi memaksimumkan keberkesanan rawatan.
Dalam kes vitiligo yang sederhana dan kecil, tompok-tompok putih yang ada boleh ditutup menggunakan teknik solekan tertentu.
Ini merupakan pendekatan yang tidak invasif dan paling mudah dalam membolehkan penghidap vitiligo untuk tampil yakin di khalayak ramai.
Dengan kemajuan kajian dan peningkatan pemahaman terhadap penyakit sopak ini, banyak rawatan-rawatan baru sedang dibangunkan yang menumpukan kepada tiga perkara penting:
- Mengurangkan stres ke atas sel melanosit
- Mengawal tindak balas autoimun
- Merangsang pembentukan semula sel melanosit
Kesimpulan
Walaupun tampak pada kulit sahaja, namun kesan sebenar vitiligo adalah lebih mendalam, sehingga boleh melibatkan aspek psikologi seseorang.