Anda mungkin sudah sedia maklum, terdapat banyak jenis penyakit jangkitan kelamin (STD). Antara penyakit seks yang mungkin kalian familiar adalah HIV, HPV, herpes dan sebagainya.
Namun, anda mungkin tidak begitu kenal dengan kewujudan STD berbahaya yang boleh hadir tanpa sebarang gejala, iaitu trikomoniasis atau turut dikenali sebagai, trich.
Untuk makluman, penyakit seks trikomoniasis adalah sejenis jangkitan kelamin yang dipicu oleh parasit Trichomonas vaginalis.
Ramai penghidapnya tidak sedar telah dijangkiti kerana ia tidak menimbulkan sebarang simptom.
Tetapi setelah didiagnosis, trikomoniasis sebenarnya cukup mudah dirawat dengan antibiotik.
Pun begitu, mereka yang ragu-ragu dengan rawatan perubatan cenderung beralih ke remedi natural sebagai alternatif, dan ini biasanya bukanlah idea yang baik.
Mengapa remedi natural tidak boleh dipercayai?
Trikomoniasis bukanlah 1 jangkitan STD yang baharu. Sudah ramai pakar menghabiskan masa, bahkan berabad-abad lamanya mencari penawar.
Sehingga kini, antibiotik tetap menjadi rawatan yang paling berkesan!
Antara remedi natural yang dijadikan sebagai rawatan alternatif, merangkumi:
#1 Jus atau ekstrak delima
Buah delima adalah buah merah berperisa yang mempunyai khasiat perubatan tersendiri.
1 kajian tahun 2011 mendapati, ekstrak buah delima (Punica granatum) bantu membunuh parasit yang menyebabkan penyakit seks, trikomoniasis.
Namun, kemampuan untuk menyingkirkan parasit ini bergantung pada pH persekitaran.
Disebabkan pH boleh menjadi berbeza-beza dalam jangkitan, agak sukar untuk mengatakan jika seseorang individu memiliki pH tubuh yang tepat untuk mematikan jangkitan.
Selain itu, remedi ini tidak diuji pada manusia, maka lebih banyak penyelidikan diperlukan untuk membuktikan keberkesanannya sebagai penawar trikomoniasis.
#2 Hidrogen peroksida
Hidrogen peroksida adalah antimikroba semula jadi yang digunakan sesetengah orang untuk mencegah jangkitan.
Di Internet turut mengatakan bahawa hidrogen peroksida mungkin dapat merawat penyakit seks seperti trikomoniasis.
Walau bagaimanapun, sains masih belum membuktikan dakwaan itu, menurut artikel dalam Clinical Microbiology Reviews.
Peserta dalam kajian penyelidikan tersebut telah menggunakan hidrogen peroksida sebagai alternatif rawatan, namun ternyata tidak membuahkan hasil.
Malah, hidrogen peroksida berpotensi merengsakan tisu faraj atau zakar. Ia juga berpotensi membunuh bakteria sihat yang melindungi anda daripada jangkitan lain.
#3 Bawang putih
Kegunaan bawang putih lebih sekadar menambahkan rasa pada makanan. Ia telah digunakan sebagai rawatan herba selama berabad-abad.
Kajian pada tahun 2013 telah memerhatikan kepekatan bawang putih yang berbeza dan kekuatannya untuk membunuh parasit yang memicu penyakit seks, trikomoniasis.
Para penyelidik mendapati, pelbagai kepekatan bawang putih bantu menghentikan pergerakan parasit ini, lantas mematikannya!
Walau bagaimanapun, kajian ini dilakukan di makmal, bukan ke atas manusia.
Justeru, agak sukar untuk memastikan sama ada bawang putih dapat memberikan kesan yang sama sebagai rawatan trich.
Pokoknya, lebih banyak penyelidikan diperlukan untuk mempelajari sama ada ia berkesan ke atas manusia atau sebaliknya.
#4 Cuka epal sider
Cuka epal sider mempunyai sifat antimikroba yang semula jadi.
Bahkan, ia telah digunakan sebagai air mandian, pencuci faraj wanita dan macam-macam lagi untuk mengubati trikomoniasis.
Malangnya, tidak ada bukti yang dapat menyokong cuka tersebut sebagai rawatan alternatif penyakit seks, trikomoniasis.
Tambahan itu, cuka epal sider juga sangat berasid, maka kalian disarankan untuk menjauhkannya daripada tisu kemaluan yang sensitif.
#5 Teh hitam
Penyelidik dalam kajian 2017 menguji kesan teh hitam pada jangkitan trich, termasuk parasit yang menyebabkan trikomoniasis.
Teh hitam juga bukan satu-satunya ramuan berasaskan teh yang dikaji. Mereka juga menggunakan teh hijau dan ekstrak anggur.
Dalam proses ujian, para penyelidik mendedahkan ekstrak teh hitam kepada 3 jenis parasit yang berbeza, termasuk yang memicu penyakit seks trich.
Mereka mendapati, ekstrak teh hitam menghentikan pertumbuhan ketiga-tiga jenis trikomoniasis!
Ia juga bantu menghilangkan strain trikomoniasis yang bersifat rintang terhadap antibiotik.
Namun, hasil kajian diperoleh di makmal dan belum diuji pada penghidap trich.
Oleh itu, lebih banyak kajian diperlukan untuk memahami jumlah teh hitam yang diperlukan dan sama ada ia berkesan pada manusia.
Jadi, apakah rawatan trich yang efektif?
Antibiotik, yang dipreskripsikan oleh doktor bertauliah adalah rawatan trich yang paling berkesan dan boleh dipercayai!
Dalam kebanyakan kes, anda hanya memerlukan 1 dos. Cukup ringkas bukan?
Namun, sebilangan strain lebih sukar hendak dimatikan, jadi doktor mungkin akan meminta anda menjalani ujian susulan untuk mengesahkan jika kalian memerlukan rawatan tambahan atau sebaliknya.
Selain itu, disebabkan trikomoniasis mempunyai kadar jangkitan semula yang tinggi, terutamanya pada wanita, menjalani ujian semula usai rawatan memainkan peranan penting.
Anda juga perlu meminta pasangan untuk turut sama diuji.
Bukan itu sahaja, sebarang aktiviti seksual juga perlu dihindari hingga kalian disahkan bebas jangkitan!
Akhir kata…
Sudah terang lagi bersuluh, antibiotik menjadi satu-satunya rawatan yang terbukti berkesan dalam mengubati trikomoniasis.
Malangnya, tiada remedi natural yang efektif melawan jangkitan parasit trich dan disokong oleh sains. Oleh itu, jangan ambil risiko, okey?
Sebelum nasi menjadi bubur, sentiasa dapatkan khidmat nasihat rawatan penyakit seks dengan doktor bertauliah. Dalam kebanyakan kes, kalian hanya memerlukan preskripsi antibiotik.
[embed-health-tool-ovulation]