Tahukah anda, bayi baru lahir berisiko mendapat sakit mata akibat jangkitan bakteria.
Sakit mata bayi ini disebut sebagai konjunktivitis bayi yang disebabkan oleh beberapa faktor seperti bakteria gonorea.
Bagaimana hal ini boleh berlaku? Untuk mengetahuinya, teruskan membaca artikel ini.
Simptom dan punca sakit mata bayi
Bayi yang baru lahir dengan jangkitan konjunktivitis akan mengalami pengeluaran air mata dalam tempoh satu hari hingga dua minggu selepas kelahiran.
Kelopak mata mereka menjadi bengkak, merah, dan lembut.
Penyebab konjunktivitis selepas kelahiran ini seringkali sukar ditentukan kerana gejala yang berlaku adalah sama sahaja walaupun disebabkan punca yang berbeza.
Konjunktivitis pada bayi yang baru lahir mungkin disebabkan oleh saluran air mata yang tersumbat, atau kerengsaan yang disebabkan oleh ubat antimikrob yang diberikan semasa kelahiran.
Ia juga boleh disebabkan oleh jangkitan daripada virus atau bakteria yang diturunkan daripada ibu ke bayinya semasa melahirkan.
Malah, ibu hamil tanpa sebarang gejala jangkitan semasa melahirkan bayi, juga boleh menyebarkan bakteria atau virus kepada bayi semasa kelahiran.
Punca-punca penyebab sakit mata bayi
Terdapat beberapa sebab yang boleh memungkinkan berlakunya sakit mata bayi ini. Antaranya ialah:
#1. Konjunktivitis inklusi (klamidia)
Wanita yang mempunyai jangkitan klamidia yang tidak dirawat boleh menyebarkan bakteria kepada bayinya semasa bersalin.
Gejala konjunktivitis inklusi termasuklah kemerahan pada mata, pembengkakan kelopak mata, dan keputihan.
Gejala cenderung untuk muncul dalam tempoh 5 hingga 12 hari selepas kelahiran bayi.
Kira-kira separuh daripada bayi yang baru lahir dengan konjunktivitis klamidia juga mengalami jangkitan pada bahagian lain badan mereka.
Bakteria boleh menjangkiti paru-paru dan nasofaring (bahagian belakang hidung yang berhubung dengan mulut).
#2. Konjunktivitis gonokokus
Bakteria gonorea iaitu Neisseria gonorrhoeae pula menyebabkan konjunktivitis gonokokus, selain jangkitan kelamin yang disebut gonorea.
Wanita dengan jangkitan bakteria gonorea yang tidak dirawat boleh menjangkitkan bakteria kepada bayinya semasa bersalin.
Gejala biasanya merangkumi mata yang merah, nanah yang tebal pada mata, dan pembengkakan kelopak mata.
Konjunktivitis akibat bakteria gonorea ini biasanya bermula kira-kira 2 hingga 4 hari selepas kelahiran.
Ia boleh dikaitkan dengan jangkitan serius aliran darah (bakteremia) dan lapisan otak serta saraf tunjang (meningitis) pada bayi yang baru lahir.
#3. Konjunktivitis kimia
Apabila ubat titisan mata diberikan kepada bayi yang baru lahir untuk membantu mencegah jangkitan bakteria, mata si manja boleh mengalami iritasi.
Ini mungkin didiagnosis sebagai konjunktivitis kimia.
Gejala konjunktivitis kimia biasanya merangkumi mata yang sedikit merah dan pembengkakan kelopak mata.
Gejala cenderung berlarutan hanya dalam tempoh 24 hingga 36 jam.
#4. Konjunktivitis lain
Virus dan bakteria selain Chlamydia trachomatis dan Neisseria gonorrhoeae juga boleh menyebabkan konjunktivitis.
Contohnya, bakteria yang biasanya hidup di dalam faraj wanita dan tidak menular secara seksual boleh menyebabkan konjunktivitis.
Selain itu, virus yang menyebabkan herpes juga boleh menyebabkan konjunktivitis bayi dan kerosakan mata yang teruk.
Ibu hamil mungkin menyebarkan virus seperti itu kepada bayinya ketika bersalin.
Walau bagaimanapun, konjunktivitis herpes kurang kerap berlaku berbanding konjunktivitis yang disebabkan oleh gonorea dan klamidia.
Gejala biasanya merangkumi mata yang merah dan kelopak mata bayi yang bengkak dengan disertai nanah.
Rawatan bagi sakit mata bayi yang berlaku
Doktor boleh merawat konjunktivitis bayi yang disebabkan oleh jangkitan bakteria dengan menggunakan antibiotik.
Ia bergantung kepada keparahan jangkitan dan bakteria yang menyebabkannya.
Beberapa antibiotik digunakan sebagai ubat titisan mata atau ubat sapuan pada mata (topikal).
Antibiotik lain diberikan melalui mulut (ditelan) atau melalui vena (intravena).
Membilas mata bayi yang dijangkiti dengan larutan garam akan menghilangkan nanah yang berkumpul pada mata.
Sekiranya saluran air mata yang tersumbat menyebabkan konjunktivitis, urutan yang lembut dan hangat antara mata dan kawasan hidung dapat membantu masalah ini.
Sekiranya saluran air mata yang tersumbat tidak dirawat pada usia 1 tahun, bayi tersebut mungkin memerlukan pembedahan untuk mengatasinya.
[embed-health-tool-ovulation]