backup og meta
Info Kesihatan
Alat Kesihatan

2

Tanya Doktor
Simpan

HSV-1 VS HSV-2, Apa Beza Di Antara 2 Jenis Penyakit Jangkitan Kelamin Ini?

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan · Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Ahmad Farid · Disemak pada 15/09/2021

    HSV-1 VS HSV-2, Apa Beza Di Antara 2 Jenis Penyakit Jangkitan Kelamin Ini?

    HSV-1 dan HSV-2 mungkin hampir sama dalam aspek ciri ciri penyakit herpes simplex virus ini, namun ketahuilah masih ada perbezaan antara kedua-duanya.

    Persoalannya, apakah yang dimaksudkan dengan penyakit HSV ini? Adakah ia ada kaitan dengan penyakit HPV atau HIV?

    Untuk mengetahui tentang penyebab penyakit herpes dan beza antara kedua-duanya dengan lebih mendalam lagi, jadi mari sama-sama kita semua ikuti artikel ini!

    Ciri ciri penyakit Herpes Simplex Virus (HSV)

    Buat anda yang mungkin belum tahu, Herpes Simplex Virus adalah sejenis penyakit jangkitan kelamin (STD) yang disebabkan oleh virus dengan nama yang sama.

    Penyakit ini boleh terjadi kepada kedua-dua jantina namun adalah lebih tinggi risiko menjangkiti wanita berbanding lelaki.

    Ia juga boleh merebak melalui hubungan kelamin ataupun daripada seorang ibu kepada bayi ketika proses melahirkan anak.

    Untuk pengetahuan anda, terdapat 2 jenis HSV yang utama iaitu:

    HSV-1

    Turut dikenali sebagai herpes mulut, ia boleh menyebabkan luka atau lepuh pada kawasan sekitar oral termasuklah mulut, bibir, gusi dan lidah.

    HSV-2

    Lebih dikenali sebagai herpes kelamin, ia boleh menyebabkan luka atau lepuh pada kawasan sekitar alat sulit ataupun pada kawasan dubur.

    Selain menyebabkan luka dan lepuh pada kawasan terbabit, antara ciri ciri penyakit herpes simplex virus yang lain adalah seperti berikut:

    • Sakit pada kawasan yang dijangkiti
    • Gatal pada kawasan berjangkit
    • Ulser terbentuk apabila lecur pecah
    • Kuping terbentuk apabila ulser sembuh
    • Pedih ketika membuang air kecil
    • Demam
    • Selesema
    • Sakit kepala
    • Sakit otot
    • Kelenjar limfa bengkak

    Penyebab penyakit Herpes Simplex Virus (HSV)

    Sepertimana yang kami telah nyatakan di atas tadi, penyebab penyakit herpes simplex virus ini adalah sejenis virus dengan nama yang sama.

    Ia juga boleh merebak melalui kontak rapat, seks; sama ada seks penetrasi, seks oral dan seks anal serta daripada seorang ibu kepada bayi ketika bersalin.

    Virus ini kebiasaannya akan mati dengan cepat apabila berada di luar tubuh badan jadi adalah mustahil untuk ia merebak melalui perkongsian barangan.

    Dalam pada itu, wujud juga beberapa faktor risiko yang meningkatkan keberangkalian anda terkena penyakit ini termasuklah:

  • Jantina: Kajian kes lepas menunjukkan bahawa wanita adalah lebih tinggi risiko dijangkiti virus berbanding lelaki
  • Gejala seks bebas: Risiko akan lebih tinggi jika anda mengamalkan seks bebas yakni bersama ramai pasangan
  • Sistem imun lemah: Imunisasi tubuh badan yang lemah akan membuat anda lebih mudah terdedah kepada virus
  • Demi mengelakkan ia terjadi, maka faktor risiko yang kedua dan ketiga itu perlu dipertimbangkan dan jalan penyelesaian haruslah dicari.

    Apa beza di antara kedua-duanya?

    Secara umumnya, kita sudah tahu bahawa perbezaan paling ketara di antara kedua-dua penyakit Herpes Simplex Virus ini adalah kawasan yang terkesan akibatnya.

    Dalam erti kata lebih mudah, penderita HSV-1 akan menemui ada luka dan lepuh pada kawasan oral manakala pesakit HSV-2 pula menemui ada luka dan lepuh pada kawasan kelamin.

    Namun ada satu lagi perbezaan di antara kedua-duanya iaitu jenis virus yang menyebabkan penyakit ini berlaku.

    Untuk pengetahuan anda, virus HSV-1 dan HSV-2 adalah virus yang berbeza meskipun di dalam rumpun yang sama.

    “Virus HSV-1 dan HSV-2 adalah dua jenis virus yang tidak sama meskipun ia saling berkaitan, namun ia tidak boleh berubah di antara satu sama lain.”, jelas Pengamal Perubatan, Anna Wald.

    Ini bermakna virus HSV-1 tidak berupaya untuk berubah bentuk kepada HSV-2 dan sebaliknya.

    Oleh itu, kalian yang dijangkiti tidak akan mendapat jangkitan kedua-duanya secara serentak.

    Bagaimana untuk merawat penyakit ini?

    penyebab penyakit herpes

    Disebabkan ciri ciri penyakit herpes simplex virus ini yang hampir serupa, ramai yang akan terkeliru dengan cara untuk merawatnya.

    Sebenarnya, perkara pertama yang kalian perlu lakukan jika terkena sama ada HSV-1 atau HSV-2 adalah berjumpa doktor untuk diagnosis.

    Antara jenis ujian yang akan dilakukan ketika diagnosis adalah:

    • Ujian kultur virus – Sampel akan diambil daripada luka atau lepuh untuk mengesahkan kehadiran virus herpes
    • Ujian tindak balas rantai polimerase – DNA akan diambil melalui sampel darah untuk menentukan jenis HSV
    • Ujian darah – Ia bertujuan untuk memeriksa antibodi HSV bagi mengesan jangkitan virus herpes pada masa lalu

    Jika sedang hamil, doktor mungkin akan mempreskripsikan ubat anti virus menjelang trimester terakhir kehamilan untuk mencegah ia merebak pada bayi.

    Selain ubat anti virus, anda perlu mengurus dan merawat gejala HSV itu secara sendiri bagi mengelakkan ia berjangkit kepada orang lain pula.

    Paling penting, cuba untuk elak melakukan kontak rapat dengan individu lain sehinggalah gejala penyakit ini benar-benar sudah sembuh.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Joseph Tan

    Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


    Ditulis oleh Ahmad Farid · Disemak pada 15/09/2021

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan