Setiap kali berbicara tentang hal hubungan seks yang sihat, segala tabiat pasangan suami isteri itu sudah pasti akan diungkit bukan?
Manakan tidak, segala tabiat buruk seperti menghisap rokok atau mengambil alkohol diketahui ramai akan mendatangkan kesan kepada keintiman kalian!
Jadi, sangatlah wajar untuk anda dan pasangan mengelakkan tabiat buruk dan mula mengamalkan tabiat sihat untuk mendapatkan seks yang sejahtera.
Persoalannya, apakah tabiat yang dikaitkan dengan seks yang sihat ini? Ayuh sama-sama kita ikuti artikel ini dengan lebih lanjut!
Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kesihatan Seksual, sila dapatkannya di sini.
Tabiat untuk menggalakkan hubungan seks yang sihat
#1. Berhenti merokok segera
Buat anda yang belum tahu, nikotin yang terdapat dalam tembakau rokok berisiko menyempitkan saluran darah khususnya yang terdapat pada zakar.
Kesannya, hubungan seks kalian pasti akan terjejas. Makanya, jangan berdegil dan sila berhenti merokok segera.
Ia bukan sahaja akan meminimumkan risiko ini malahan juga mampu meningkatkan libido anda dan pasangan.
#2. Hadkan pengambilan alkohol
Ya, tidak dinafikan bahawa pengambilan alkohol secara berkala mungkin boleh mendatangkan manfaat.
Ini kerana kebanyakannya mengandungi flavonoid yang boleh membantu melawan penyakit jantung dan kanser.
Pun begitu, ia juga boleh menyebabkan kegelisahan dan kemurungan jika diambil secara berlebihan.
Jadi, sila hadkan pengambilan alkohol demi hubungan seks yang lebih terjamin.
#3. Fleksibel terhadap hubungan seks
Tidak terdapat sebarang garis panduan yang mengatakan berapa kali atau berapa kerap seks perlu dilakukan.
Ini bermakna ia sudah pasti adalah berbeza mengikut individu masing-masing.
Tahap libido seseorang itu juga sangat bergantung kepada faktor kesihatan, pekerjaan, usia atau tekanan kehidupan seharian.
Jadi, usahlah kalian bersifat terlalu tertutup mengenai kehidupan seks anda.
Sebaliknya, anda dan pasangan disarankan untuk lebih bersikap fleksibel.
Dengan ini, kalian mampu bersikap lebih bertolak ansur, bertoleransi dan berkompromi agar hubungan seks yang sihat dapat dikecapi.
#4. Lebih banyak lakukan eksperimen
Pasangan mana yang tidak akan bosan jika asyik melakukan hubungan intim dengan cara dan pada waktu yang sama sahaja bukan?
Oleh itu, cuba untuk lebih banyak lakukan eksperimen!
Lakukan posisi seks yang tidak pernah dicuba pada lokasi yang unik seperti di dapur atau tandas.
Untuk lebih unsur kejutan, mungkin kalian boleh memperkenalkan alatan seks semasa aksi di ranjang.
Dalam erti kata yang lebih mudah, jangan terperangkap dengan hubungan kelamin yang biasa sahaja.
Cuba bawa kelainan dan keunikan terhadapnya agar hubungan seks yang sihat dapat dicapai.
#5. Buang tabiat menonton pornografi
Menonton video lucah selepas berkahwin mungkin boleh membantu pasangan untuk mempelajari pelbagai teknik berasmara yang baharu untuk dicuba bersama pasangan.
Pun begitu, ia juga sebenarnya boleh mendatangkan mudarat kerana ia mungkin menjejaskan kemampuan lelaki untuk mengekalkan ereksi atau wanita untuk mendapatkan orgasma.