backup og meta

Selain Untuk Buang Angin, Ada 5 Lagi Kegunaan Minyak Panas Yang Boleh Anda Amalkan!

Selain Untuk Buang Angin, Ada 5 Lagi Kegunaan Minyak Panas Yang Boleh Anda Amalkan!

Kita biasa menggunakan minyak angin atau panas untuk pelbagai tujuan. Antaranya minyak panas urut, untuk melegakan sakit otot dan pelbagai lagi. Apakah kegunaan dan fungsi sebenar minyak angin ini?

Bolehkah ia juga digunakan untuk melegakan kembung perut atau buang angin? Ikuti penerangan lanjut berkenaan minyak ini di sini.

Untuk mendapatkan lebih banyak info berkenaan Sistem Penghadaman, anda boleh klik di sini.

Apa itu minyak panas urut?

minyak panas

Minyak angin merupakan antara jenis ubat-ubatan yang sangat popular di Asia.

Warga emas amat mempercayai minyak angin ini sebagai penawar untuk segala penyakit, dan berpendapat semua individu patut memilikinya.

Ia biasa digunakan bagi merawat sakit-sakit ringan seperti batuk, selesema, sakit kepala dan lain-lain lagi.

Minyak angin mengandungi kandungan menthol dan methyl salicylate yang menyebabkan ia memberikan sensasi panas atau sejuk apabila disapu.

Selain itu, minyak angin juga turut mengandungi bahan aktif lain seperti minyak eucalyptus, minyak pudina (peppermint oil) dan bahan pewangi.

Minyak ini biasa digunakan pada bahagian luar tubuh sahaja dengan cara disapu pada kulit.

Rasa sensasi sejuk atau panas yang disebabkan oleh sifat kandungan menthol ini juga bertindak sebagai ubat tahan sakit topikal. 

Kebaikan menggunakan minyak panas

minyak panas

Sebenarnya, terdapat beberapa manfaat atau kebaikan penggunaan minyak angin ini. Antaranya ialah:

#1. Mengurangkan sakit kepala dan juga migrain

Minyak angin biasanya mengandungi kandungan minyak eucalyptus. Minyak eucalyptus ini mengandungi sifat analgesik atau sifat meredakan rasa sakit.

Oleh itu, ia sangat berkesan dalam melegakan sakit kepala yang anda alami.

Selain itu, minyak angin juga boleh membantu mengurangkan rasa sakit disebabkan oleh serangan migrain dan ketegangan kepala.

#2. Minyak panas untuk sakit otot dan sendi

Minyak angin juga boleh digunakan untuk melegakan sakit otot dan sendi yang ringan.

Bahan aktif seperti methyl salicylate yang terdapat dalam minyak ini berfungsi sebagai analgesik yang membantu mengurangkan keradangan dan menggalakkan peredaran darah.

Hal ini boleh membantu mempercepatkan proses penyembuhan, selain memberikan kelegaan terhadap kesakitan otot dan sendi yang anda alami. 

#3. Melegakan rasa mabuk dan pening

Minyak angin biasanya telah dirumus dengan bahan semula jadi seperti pudina yang membuatkan ia mempunyai wangian yang menenangkan.

Ini boleh membantu melegakan rasa pening dan mabuk ketika dalam kenderaan. Apabila dihidu, minyak ini boleh membantu merangsang otak dan menghidupkan semula deria anda.

Ini sekali gus boleh memperbaiki simptom-simptom loya atau mabuk yang sedang anda alami. 

#4. Melancarkan hidung yang tersumbat

Percaya atau tidak, minyak panas urut juga boleh digunakan untuk merawat hidung yang tersumbat.

Kandungan menthol dalam minyak ini juga boleh memberikan sensasi penyejukan yang membantu membuka saluran hidung.

Selain itu, ia juga berperanan melegakan sebarang ketegangan sinus yang mengakibatkan sakit kepala dan gejala seperti selesema yang lain.

#5. Menggalakkan proses penyembuhan

Minyak angin dengan kandungan minyak pudina dan bunga cengkih mempunyai sifat terapeutik yang membantu menyegarkan deria dan menggalakkan kesejahteraan.

Minyak pudina khususnya, didapati boleh meningkatkan kepekatan oksigen dalam otak yang boleh meningkatkan prestasi harian anda selain mengurangkan keletihan.

Bolehkah minyak panas urut melegakan kembung perut atau buang angin badan?

Jika minyak angin anda mengandungi kandungan minyak pudina (peppermint oil), maka ia mungkin boleh membantu melegakan sakit kembung perut yang dialami.

Ini kerana, minyak pudina boleh membantu merawat kekejangan perut, kembung perut dan juga masalah angin.

Minyak pudina membantu otot dinding usus untuk relaks atau berehat dan mengeluarkan angin daripada usus. 

Jangan sapu minyak angin pada bayi!

minyak panas

Tahukah anda, minyak angin tidak boleh disapu pada bayi walaupun untuk tujuan mengeluarkan angin dalam perut!

Ini kerana minyak ini mengandungi kandungan methyl salicylate yang boleh menyebabkan keracunan pada bayi.

Jika bayi mengalami keracunan methyl salicylate, bayi akan menjadi loya dan muntah-muntah. Selain itu, telinga bayi juga akan menjadi berdengung.

Lebih teruk lagi, ia boleh menyebabkan kejadian sawan dan koma pada bayi anda.

Oleh itu, jika anda mempunyai botol minyak angin atau plaster berubat di rumah, pastikan ia disimpan di tempat yang selamat.

Elakkan menyimpannya di tempat yang boleh dicapai oleh kanak-kanak mahupun bayi demi keselamatan mereka. 

Kesimpulan 

Minyak angin sememangnya sesuai digunakan oleh semua peringkat umur kecuali bayi.

Minyak ini membantu melegakan kesakitan ringan seperti sakit kepala, sakit otot dan sendi, serta masalah hidung tersumbat.

Ia juga boleh digunakan sebagai minyak urut bagi membuang angin dalam badan dan melegakan masalah kembung perut.

Anda boleh membeli dan menyimpannya dalam beg sebagai persediaan untuk merawat ketidakselesaan harian anda. 

[embed-health-tool-bmr]

Penafian

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Miles, S. (2007). Methyl salicylate. XPharm: The Comprehensive Pharmacology Reference, 1–6. https://doi.org/10.1016/b978-008055232-3.62158-0. Accessed on June 16, 2022.

Meamarbashi, A., & Rajabi, A. (2013). The effects of peppermint on exercise performance. Journal of the International Society of Sports Nutrition, 10(1). https://doi.org/10.1186/1550-2783-10-15. Accessed on June 16, 2022.

Sites, D. S., Johnson, N. T., Miller, J. A., Torbush, P. H., Hardin, J. S., Knowles, S. S., Nance, J., Fox, T. H., & Tart, R. C. (2014). Controlled breathing with or without peppermint aromatherapy for postoperative nausea and/or vomiting symptom relief: a randomized controlled trial. Journal of perianesthesia nursing : official journal of the American Society of PeriAnesthesia Nurses, 29(1), 12–19. https://doi.org/10.1016/j.jopan.2013.09.008. Accessed on June 16, 2022.

Peppermint oil. https://www.nhs.uk/medicines/peppermint-oil/#:~:text=Peppermint%20oil%20is%20a%20type,irritable%20bowel%20syndrome%20(IBS). Accessed on June 16, 2022.

Medicated oils and balms. https://www.hsa.gov.sg/medicated-oils-and-balms. Accessed on June 16, 2022.

Versi Terbaru

03/08/2022

Ditulis oleh Muhammad Wa'iz

Disemak secara perubatan oleh Dr. Ahmad Wazir Aiman

Diperbaharui oleh: Ahmad Farid


Artikel Berkaitan

Selain Sapu Minyak Angin, Ibu Hamil Cuba 13 Tip Ini Legakan Sakit Perut Sembelit!

Pudina Jepun


Disemak secara perubatan oleh

Dr. Ahmad Wazir Aiman

Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 03/08/2022

ad iconIklan

Adakah artikel ini bermanfaat?

ad iconIklan
ad iconIklan