
Jangan Manjakan Diri Dengan Berbaring, Antara 5 Cara Hilangkan Sakit Perut!
Lemahnya rasa tubuh badan ini ketika sedang mengalami masalah sakit perut mencucuk bukan? Jadi, bagaimana cara hilangkan sakit perut itu yang anda boleh cuba lakukan? Jom baca artikel!

Untuk mendapatkan lebih banyak informasi tentang Sistem Penghadaman, anda boleh klik di sini.
Kena pastikan kenapa perut anda buat hal!
Sebelum pergi dengan lebih lanjut, anda kena tahu ada banyak punca yang boleh menyebabkan ketidakselesaan pada perut. Puncanya juga mungkin tergolong dalam kategori ringan, sederhana atau berat.
Untuk pengetahuan anda semua, berikut adalah antara punca dan faktor risiko utama masalah sakit perut berlaku:
- Cirit-birit
- Sembelit
- Ketidakhadaman
- Pedih ulu hati
- Refluks asid perut
- Gastritis
- Apendiks
- Alergi
- Ulser peptik
- Keracunan makanan dan/atau minuman
- Keradangan pada usus
- Ketumbuhan dalam perut
Khusus bagi wanita, kesakitan di sekitar kawasan perut itu juga mungkin tanda mereka sedang hamil atau datang haid akibat masalah senggugut. Dapatkan maklumat dan nasihat pakar dengan kadar segera.
Sekiranya masalah ini berterusan serta berlanjutan dalam jangka masa panjang, turut wujud risiko penyakit yang lebih berbahaya seperti kewujudan sel-sel kanser di dalam organ perut anda.
Tanpa kira punca ia terjadi, anda sudah pasti perlu lakukan sesuatu sebagai cara kurangkan sakit perut tersebut!
Cara hilangkan sakit perut anda boleh cuba?
Selepas tahu apa punca sakit perut berlaku, barulah anda boleh mula berikhtiar. Kalau masalah ini berpunca daripada punca yang berat seperti kanser, sebaiknya berjumpa dan berbincang dengan doktor.
Namun jika ia didalangi oleh punca ringan atau sederhana, boleh cuba amalkan cara hilangkan sakit perut di bawah:
#1. Cuba elakkan berbaring & banyakkan bergerak
Ketika ketidakselesaan itu datang, anda perlu cuba hindar daripada berbaring selama beberapa jam sehingga ia reda.
Sebagai alternatif, anda boleh cuba posisi membongkok atau merangkak kerana ia mungkin membantu melancarkan sistem pencernaan lantas mengelakkan masalah ketidakhadaman.
Dalam pada itu, pergerakan yang betul seperti senaman yoga juga bagus untuk mengeluarkan tinja yang keras akibat masalah sembelit lalu membuatkan perut anda rasa lebih nyaman.

Cara hilangkan sakit perut #2. Urutan lembut
Kedua, anda juga boleh cuba urutan lembut pada perut setiap kali ia mula memulas atau mencucuk. Caranya, dengan mengurut perut dari atas ke bawah untuk mengeluarkan angin yang terperangkap.
Meskipun tidak mampu menyembuhkan, ia juga boleh melegakan ketegangan otot perut akibat masalah dalaman lain.
Cara hilangkan sakit perut #3. Tuaman hangat
Ketiga, anda juga boleh cuba tuaman hangat di atas perut dengan menggunakan pek atau kompres dengan suhu yang agak panas bagi mengurangkan ketegangan otot perut dan angin di dalam organ ini.
Untuk lebih mudah, anda cuma perlu mandi air panas sama ada dengan air pancuran atau rendaman di kamar mandi.
#4. Pengambilan makanan atau minuman sesuai
Keracunan juga adalah antara punca perut jadi sakit dan tidak selesa. Maka, anda perlu kenal dan tegah diri daripada mengambil makanan dan minuman yang boleh merengsakan organ perut anda.

Contohnya, ada individu yang mungkin ada alahan produk tenusu ekoran ia membuat mereka cirit-birit. Dengan mengurangkan atau menghentikan terus pengambilan kelas makanan ini, ia akan membantu!
#5. Penggunaan ubat, suplemen atau herba yang baik
Ramai orang kata, kesakitan pada perut boleh dihilangkan dengan cara minum teh hijau yang dicampurkan halia atau pudina. Benarkah? Sebenarnya, cara ini memang kaedah alternatif paling efektif.
Ini kerana selain efek untuk menyegarkan, ia juga mengurangkan keradangan gara-gara sifat antiradang yang tinggi di dalam herba-herba ini. Namun, kesan ini mungkin hanya impak plasebo individu.
Adalah lebih baik untuk kalian ambil ubat atau suplemen seperti mana saranan pakar. Sekiranya ia masih berlaku dan berulang dengan kerap, jangan berlengah untuk berjumpa doktor segera ya!
