Jika anda sering alami masalah pedih ulu hati disebabkan oleh makanan pedas, cuba elakkan daripada mengambilnya pada masa hadapan.
Kalau boleh, sediakan makanan sendiri di rumah menggunakan cili dan herba yang tidak terlalu pedas.
2. Makanan berlemak dan berminyak
Makanan berlemak dan berminyak mengambil masa yang lebih lama untuk dicerna. Oleh sebab itu, ia akan duduk di dalam perut untuk satu tempoh masa yang panjang dan meningkatkan tekanan di dalam perut.
Cuba elakkan makan makanan seperti kentang goreng, burger, makanan segera, ayam goreng, sosej, donat dan apa-apa makanan yang berminyak dan berlemak.
Selepas itu, cuba lihat sama ada heartburn yang anda alami beransur pulih ataupun tidak.
3. Makanan berasid
Sama seperti makanan yang pedas, makanan berasid juga boleh menyebabkan lapisan dalam perut mengalami iritasi.
Sebagai contoh, makanan seperti tomato dan lemon boleh menyebabkan anda mengalami pedih ulu hati.
Jika anda sukakan buah lemon, cuba tukarkannya dengan buah lain yang kurang masam seperti oren, anggur dan tembikai. Untuk tomato pula, gantikan dengan tomato dalam tin untuk pasta atau spaghetti yang kurang berasid.
4. Minuman berkarbonat punca pedih ulu hati

Minuman berkarbonat merupakan antara punca utama pedih ulu hati. Malah, ia akan menyebabkan anda sendawa dengan lebih kerap dan menyebabkan ketidakselesaan.
Jika boleh, elakkan minum minuman berkarbonat jika anda kerap mengalami heartburn. Selain itu, elakkan juga minuman yang mempunyai kandungan gula yang tinggi.
5. Coklat dan kopi penyebab sakit ulu hati
Jika coklat membuatkan anda mengalami pedih ulu hati, anda haruslah mengelakkan pengambilan bar coklat, gula-gula coklat dan minuman yang berasaskan coklat seperti mocha dan cocoa.
Untuk penggemar kopi pula, kajian telah menunjukkan keputusan yang bercanggah mengenai pengambilannya. Pakar juga tidak pasti sama ada kopi boleh menyebabkan pedih ulu hati ataupun tidak.
Walau bagaimanapun, cuba elakkan minum kopi ketika perut kosong. Selain itu, jika anda mengesyaki kopi membuatkan anda kerap diserang heartburn, mungkin sudah tiba masanya untuk anda mengurangkan pengambilan kopi setiap hari.
Kesimpulan
Jika anda masih lagi belum pasti makanan apakah yang menjadi punca pedih ulu hati yang anda alami, cuba simpan diari makanan dan tuliskan makanan apakah yang anda ambil setiap hari.
Kemudian, cuba perhatikan makanan apakah yang menjadi penyebab sakit ulu hati dan mendatangkan ketidakselesaan.
Jika pedih ulu hati yang anda alami tidak sembuh-sembuh, pastikan anda berjumpa doktor untuk pemeriksaan lebih lanjut. Ia mungkin merupakan simptom penyakit lain yang lebih serius.