Pedih ulu hati merupakan salah satu masalah yang sering menghantui orang ramai. Jangan terkejut kerana salah satu punca pedih ulu hati mungkin berasal daripada gaya pemakanan dan diet anda.
Jika ia berlaku sekali-sekala, mungkin tidak menjadi masalah. Namun, apabila pedih ulu hati berlaku terlalu kerap, ia akan menyebabkan ketidakselesaan yang amat sangat.
Malah, rasa sakit yang dialami juga semakin teruk selepas makan, pada waktu petang atau ketika berbaring.
Jika anda mengesyaki ada beberapa jenis makanan yang membuatkan pedih ulu hati jadi semakin teruk, mungkin gerak hati anda itu ada benarnya!
Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Sistem Penghadaman, sila dapatkannya di sini.
Makanan utama punca pedih ulu hati
Pedih ulu hati atau heartburn terjadi apabila asid di dalam perut naik kembali ke dalam esofagus.
Selalunya, sejenis otot yang dikenali dengan nama esophageal sphincter akan tertutup setelah anda menelan.
Otot ini akan menghalang asid dari perut untuk naik semula ke bahagian esofagus.
Namun, jika otot ini menjadi lemah secara abnormal, asid pada kawasan perut boleh mengalir kembali ke dalam esofagus dan menyebabkan pedih ulu hati.
Menurut Dr. Kyle Staller dari Massachusetts General Hospital, makanan yang boleh menyebabkan pedih ulu hati atau heartburn berbeza mengikut individu.
Makanan penyebab pedih ulu hati selalunya boleh menyebabkan iritasi pada bahagian esofagus.
Selain itu, makanan ini juga menyebabkan tekanan pada kawasan perut bertambah. Perkara ini terjadi apabila anda mengambil terlalu banyak makanan berlemak dan berminyak.
Makanan apa punca pedih ulu hati? Cuba semak senarai makanan yang kami sediakan di bawah, mana tahu ia merupakan penyumbang sakit ulu hati yang anda alami:
1. Makanan pedas punca pedih ulu hati
Makanan pedas boleh menyebabkan perut mengalami iritasi dan menyebabkan heartburn. Bahan utama di dalam cili iaitu capsaicin boleh menyebabkan perut anda sakit dan lambat untuk dikosongkan.
Jika anda sering alami masalah pedih ulu hati disebabkan oleh makanan pedas, cuba elakkan daripada mengambilnya pada masa hadapan.
Kalau boleh, sediakan makanan sendiri di rumah menggunakan cili dan herba yang tidak terlalu pedas.
2. Makanan berlemak dan berminyak
Makanan berlemak dan berminyak mengambil masa yang lebih lama untuk dicerna. Oleh sebab itu, ia akan duduk di dalam perut untuk satu tempoh masa yang panjang dan meningkatkan tekanan di dalam perut.
Cuba elakkan makan makanan seperti kentang goreng, burger, makanan segera, ayam goreng, sosej, donat dan apa-apa makanan yang berminyak dan berlemak.
Selepas itu, cuba lihat sama ada heartburn yang anda alami beransur pulih ataupun tidak.
3. Makanan berasid
Sama seperti makanan yang pedas, makanan berasid juga boleh menyebabkan lapisan dalam perut mengalami iritasi.
Sebagai contoh, makanan seperti tomato dan lemon boleh menyebabkan anda mengalami pedih ulu hati.
Jika anda sukakan buah lemon, cuba tukarkannya dengan buah lain yang kurang masam seperti oren, anggur dan tembikai. Untuk tomato pula, gantikan dengan tomato dalam tin untuk pasta atau spaghetti yang kurang berasid.
Walau bagaimanapun, tomato dalam tin mengandungi bahan pengawet yang boleh menyebabkan masalah kesihatan. Oleh sebab itu, berhati-hatilah ya!
4. Minuman berkarbonat punca pedih ulu hati
Minuman berkarbonat merupakan antara punca utama pedih ulu hati. Malah, ia akan menyebabkan anda sendawa dengan lebih kerap dan menyebabkan ketidakselesaan.
Jika boleh, elakkan minum minuman berkarbonat jika anda kerap mengalami heartburn. Selain itu, elakkan juga minuman yang mempunyai kandungan gula yang tinggi.
5. Coklat dan kopi penyebab sakit ulu hati
Jika coklat membuatkan anda mengalami pedih ulu hati, anda haruslah mengelakkan pengambilan bar coklat, gula-gula coklat dan minuman yang berasaskan coklat seperti mocha dan cocoa.
Untuk penggemar kopi pula, kajian telah menunjukkan keputusan yang bercanggah mengenai pengambilannya. Pakar juga tidak pasti sama ada kopi boleh menyebabkan pedih ulu hati ataupun tidak.
Walau bagaimanapun, cuba elakkan minum kopi ketika perut kosong. Selain itu, jika anda mengesyaki kopi membuatkan anda kerap diserang heartburn, mungkin sudah tiba masanya untuk anda mengurangkan pengambilan kopi setiap hari.
Baca juga: