Apa itu sakit bahagian bawah belakang?
Sakit bahagian bawah belakang adalah pengalaman yang cukup universal – hampir semua orang pernah merasainya dalam kehidupan. Bahagian bawah belakang – bermula daripada tulang rusuk terakhir, dipanggil sebagai bahagian Lumbar. Sakit di bahagian ini boleh menjadi sangat teruk dan merupakan salah satu alasan popular untuk tidak hadir ke kerja. Mujurlah, sakit ini selalunya akan bertambah baik dengan sendirinya. Sekiranya tidak, terdapat beberapa beberapa rawatan yang boleh digunakan.
Simptom sakit bahagian bawah belakang
Simptom boleh jadi pelbagai – daripada rasa sakit tumpul, hinggalah ke rasa tajam. Sakit tersebut boleh menyebabkan seseorang itu tidak mampu berdiri atau berjalan. Sakit bahagian bawah belakang yang akut boleh datang secara tiba-tiba, lazimnya selepas kecederaan daripada sukan atau angkat berat. Sakit yang melebihi 3 bulan dikira sebagai kronik. Sekiranya sakit tersebut tidak bertambah baik dalam masa 72 jam, sila berjumpa dengan doktor anda.
Simptom yang memerlukan rawatan segera
Sakit belakang yang sangat teruk akibat jatuh atau kecederaan perlu dilihat oleh pakar kesihatan. Tanda-tanda amaran yang perlu diberikan perhatian adalah hilang kawalan kencing atau buang air besar, kelemahan dan nyilu di bahagian kaki, demam, dan sakit ketika batuk atau bersin. Sekiranya anda mempunyai simptom atau tanda-tanda ini, sila berjumpa dengan doktor anda.
Ketegangan otot atau Sciatica?
Sakit belakang yang datang selepas angkat berat atau bersukan terlalu kuat lazimnya adalah disebabkan ketegangan otot. Kadang-kadang, sakit belakang boleh disebabkan oleh disk yang terkeluar/membonjol atau punah. Sekiranya disk yang terkeluar ini menekan saraf sciatic, rasa sakit yang menurun ke kaki daripada bontot boleh dirasai. Ini dipanggil sebagai Sciatica.
Punca sakit belakang:
Pekerjaan anda
Sekiranya kerja anda memerlukan anda untuk mengangkat atau menarik benda berat, atau apa-apa pergerakan yang membabitkan tulang belakang untuk berpusing, akan menyumbang kepada sakit bahagian belakang. Bagaimanapun, duduk di depan meja sepanjang hari juga mempunyai risikonya yang tersendiri, khususnya jika kerusi anda tidak sesuai dengan postur badan, mendorong kepada membongkok.
Beg anda
Walaupun anda menggalas beg di bahu anda, bahagian bawah belakang anda yang sebenarnya memberi sokongan kepada bahagian atas badan. Jadi, sekiranya beg anda terlalu banyak barang, ianya boleh membebankan bahagian bawah belakang anda, khususnya jika anda menggalasnya setiap hari.
Senaman anda
Terlalu kuat bersenam di gimnasium atau bermain di padang golf adalah punca paling kerap yang membawa kepada regangan otot yang terlampau sehingga terjadinya sakit belakang. Anda akan lebih terdedah sekiranya anda tidak aktif pada hari minggu, tetapi terlalu menekan diri anda pada hujung minggu.
Postur anda
Sokongan bahgain belakang anda adalah pada tahap terbaik apabila anda duduk tegak dan tidak membongkok. Ini bermakna, duduk tegak, bahu ke belakang dan kaki di atas tanah dengan selesanya memberi sokongan baik pada bahagian lumbar.
Disk membonjol
Vertebra-vertebra di tulang belakang anda di lapik dengan kusyen berunsur gel, berbentuk disk yang senar pudar dan terhakis akibat penuaan. Disk yang lemah akan cenderung untuk membonjol atau pecah, menekan saraf di tulang belakang. Ini yang dikenali sebagai disk membonjol dan ianya boleh membawa kepada sakit yang teruk.
Penyakit-penyakit kronik
Beberapa penyakit-penyakit kronik boleh membawa kepada sakit bahagian bawah belakang.
- Stenosis tulang belakang adalah keadaan di mana berlakunya pengecilan laluan atau ruang di tulang belakang yang diisi oleh saraf tunjang.
- Spondylitis merujuk kepada sakit belakang kronik akibat keradangan teruk bahagian sendi tulang belakang.
- Fibromyalgia mengakibatkan sakit otot dan sendi yang menyeluruh termasuk sakit belakang.
Siapa yang berisiko untuk mendapat sakit bahagian bawah tulang belakang?
Kebanyakkan orang akan merasa sakit belakang pertama mereka sekitar usia 30-an dan kekerapan ini meningkat selepas usia 30 tahun. Sebab dan punca lain yang menyebabkan sakit bahagian bawah belakang adalah:
- Berat badan berlebihan
- Gaya hidup sedentar/tidak aktif
- Pekerjaan yang melibatkan mengangkat benda-benda berat
Diagnosis sakit bahagian bawah belakang
Untuk membantu doktor anda untuk menentukan punca kesakitan anda, anda perlu menceritakan dengan spesifik sifat sakit tersebut, bila ianya bermula dan simptom atau tanda lain yang muncul akibat sakit itu dan juga sejarah penyakit kronik. Doktor anda mungkin akan membuat ujian x-ray, imbasan CT atau MRI.
Penjagaan di rumah untuk sakit bahagian bawah belakang
Sakit belakang akibat ketegangan otot biasanya akan sembuh dengan sendirinya namun terdapat beberapa perkara yang anda boleh lakukan untuk membuat keadaan lebih selesa untuk diri anda. Anda boleh meletakkan tuam panas atau mandi air panas untuk melegakan sakit tersebut buat seketika.
Dilema dalam rehat di atas katil
Sekiranya belakang anda sakit, anda mungkin rasa seperti tidak ingin bangun dan hanya berada di atas katil anda sahaja sepanjang hari. Sekiranya sakit tersebut adalah disebabkan keteangan otot, doktor mungkin akan mencadangkan untuk anda segera melakukan aktiviti-aktiviti normal anda. Kajian menunjukkan rehat dia atas katil selama satu hari atau lebih mungkin akan menyebabkan sakit tersebut menjadi lebih teruk dan mengurangkan tona dan keanjalan belakang anda.
Yoga
Terdapat peranan Yoga dalam membantu melegakan sakit belakang. Dalam satu kajian, mereka yang menjalani yoga selama 12 minggu mempunyai simptom sakit belakang yang lebih sedikit berbanding mereka yang menggunakan cara lain. Manfaat ini berkekalan berbulan lamanya setelah perserta berhenti menjalani yoga. Kajian ini membuktikan bahawa regangan konvensional turut berkesan dalam merawat sakit belakang. Pastikan jurulatih anda berpengalaman dalam menguruskan sakit belakang.
Terapi urutan
Urutan mungkin berupaya untuk mengurangkan sakit belakang yang kronik, lebih-lebih lagi jika digabungkan dengan senaman dan regangan. Kajian mendapati pesakit yang melakukan ketiga-tiga aktiviti tadi mampu untuk bergerak dengan lebih senang dan mengalami sakit jangka masa panjang atau pendek yang lebih sedikit.
Terapi fizikal
Sekiranya sakit belakang menyebabkan anda tidak aktif untuk sekian lama, program rehabilitasi untuk menguatkan bahagian belakang anda mungkin mampu membolehkan anda untuk melakukan semula aktiviti harian anda. Ahli terapi fizikal akan memberi panduan kepada anda untuk melakukan regangan, senaman kekuatan dan kardio berimpak rendah bagi membantu mengembalikan stamina dan kekuatan anda tanpa menyakitkan belakang anda.
Menguatkan bahagian belakang anda
Dua jenis senaman untuk menguatkan belakang anda adalah senaman ekstensi dan senaman fleksi. Dalam senaman fleksi, anda perlu bongkok ke depan untuk meregangkan belakang dan pinggul. Dalam senaman ekstensi, anda membongkok ke belakang untuk menguatkan otot yang menyokong bahagian bawah belakang. Contoh yang baik adalah mengangkat kaki sambil baring meniarap. Bergantung kepada punca sakit belakang anda, terdapat beberapa senaman yang anda tidak patut buat. Sekiranya anda menghidap sakit belakang, pastikan anda mendapat konsultasi doktor anda tentang senaman yang sesuai.
Mencegah sakit belakang
Tiada pencegahan muktamad untuk sakit belakang apabila anda semakin menua, namun terdapat beberapa langkah yang anda boleh lakukan untuk kurangkan risiko anda:
- Kekalkan berat yang sihat
- Kerap bersenam.
- Angkat kaki, bukan belakang
- Pastikan stesen kerja anda optimum
Hello Health Group tidak memberi nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.
Baca juga: