Otot merupakan organ yang sangat penting. Tubuh anda mempunyai lebih 600 otot yang mempunyai pelbagai fungsi berbeza seperti mengepam darah, menggerakkan sendi, menghadam makanan, dan membuang air. Sebahagian dari otot ini boleh dikawal atau disebut sebagai sukarela (voluntary) manakala sebahagian yang lain bukan sukarela (involuntary).
Organ ini diperbuat oleh serat (struktur seperti benang) yang bersifat elastik seperti tali getah. Satu otot mengandungi beribu serat otot.
Mengikut jenis, otot dalam tubuh manusia dibahagikan kepada 3: otot lembut, otot kardiak, dan otot skeletal.
Otot lembut (smooth muscle)
Otot ini tidak boleh dikawal atau disebut sebagai bukan sukarela. Isyarat dari otak yang bertanggungjawab mengawalnya tanpa anda sedar. Antara contoh otot ini ialah pada usus dan pundi kencing. Ia akan mengecut dan mengembang mengikut keperluan.
Otot kardiak (cardiac muscle)
Otot istimewa ini menjadi struktur utama bagi jantung. Sama seperti otot lembut, ia tidak boleh dikawal. Fungsi utamanya ialah mengepam darah. Perentak semula jadi yang terletak di dalam jantung mengawal pergerakannya secara automatik.
Otot skeletal (skeletal muscle)
Bercakap mengenai otot, inilah yang anda terbayang dalam fikiran. Semua pergerakan sendi yang anda lakukan semasa berjalan, berlari, dan melompat adalah menggunakan otot ini. Otot yang dingin dibina melalui senaman rintangan juga melibatkan otot yang sama. Berbeza dengan 2 otot di atas, otot ini dalam kategori sukarela dan boleh dikawal.
Bagaimana otot mengecut dan mengendur?
Setiap otot dihubungkan dengan urat saraf. Sebahagian urat saraf tersebut bersambung sehingga ke otak manakala sebahagian yang lain terhenti di urat saraf tunjang.
Isyarat dalam bentuk elektrik dari otak dan urat saraf tunjang dibawa ke otot di persimpangan neuromuskular atau neuromuscular junction (NMJ). Saluran kalsium di NMJ seterusnya terbuka menyebabkan kalsium masuk ke dalam otot sehingga menyebabkan pengecutan. Jika berlaku gangguan pada mana-mana laluan isyarat ini, fungsi otot akan terjejas.
Myelin pada urat saraf bertindak sebagai konduktor yang mempercepatkan penghantaran isyarat sehingga 119 meter/saat. Sebab itulah anda tidak perlu menunggu untuk menggerakkan tangan.