backup og meta

Ingin Mendaki Bukit Tapi Ada Sakit Sendi? Tiada Masalah Jika Buat Persiapan Penting Ini

Ingin Mendaki Bukit Tapi Ada Sakit Sendi? Tiada Masalah Jika Buat Persiapan Penting Ini

Osteoartritis merupakan masalah artritis terlazim didiagnosis di seluruh dunia. Ia berlaku apabila tulang rawan yang berperanan penting dalam melindungi hujung tulang (sendi) menjadi haus.

Walaupun masalah kesihatan ini boleh mempengaruhi mana-mana sendi, tapi ia kerap berlaku pada tangan, lutut, pinggul dan tulang belakang.

Perubahan patologi yang berlaku terhadap sendi tidak boleh pulih kembali, namun simptomnya masih boleh dikawal dengan rawatan yang betul.

Pun begitu, ada individu yang sering menggunakan artritis sebagai alasan untuk menjalani kehidupan tidak aktif.

Jika anda seorang pendaki yang didiagnosis dengan masalah ini, pasti anda tertanya-tanya jika aktiviti dakian masih boleh dilakukan.

Artikel ini akan membincangkan tentang persiapan yang boleh dilakukan oleh mereka yang ingin melakukan aktiviti hiking walaupun mengalami artritis atau sakit sendi.

Hiking, bagus untuk penghidap osteoartritis

Mungkin ramai pendaki tegar yang kecewa apabila menerima diagnosis osteoartritis.

Namun, jika anda tidak mempunyai masalah kesihatan lain yang boleh merencatkan keupayaan untuk kekal aktif, anda masih boleh melakukan aktiviti dakian dan dalam masa yang sama menikmati kebaikan kesihatan daripadanya.

Aktiviti hiking sebenarnya baik untuk pesakit artritis memandangkan ia boleh melibatkan lebih banyak pergerakan sendi dan berupaya untuk menguatkan otot yang menyokong struktur sendi.

Ia juga boleh meningkatkan tahap kesihatan kardiovaskular seseorang di samping menikmati keindahan alam semula jadi.

Walau bagaimanapun, bagi mereka yang menghidap masalah osteoartritis, persiapan awal perlu dilakukan sebelum boleh kembali aktif dengan aktiviti dakian.

Pengambilan ubat perlu dibuat seperti biasa dan rujukan kepada doktor amat digalakkan.

Anda tidak boleh sewenang-wenangnya membeli ubat daripada farmasi tanpa pengetahuan doktor yang merawat.

Ini berikutan terdapat ubat yang boleh mempengaruhi tahap keterukan bagi masalah kesihatan tertentu.

Perkara ini penting terutamanya bagi mereka yang mengalami masalah alergi.

Buat penghidap asma pula, anda perlu membawa penyedut ubat asma atau ubatan lain yang disarankan oleh doktor.

Persiapan awal pesakit osteoartritis sebelum mendaki bukit

mendaki bukit

Perancangan awal sangat penting bagi mereka yang ingin melakukan sebarang aktiviti dakian.

Anda perlu membuat banyak persiapan sebelum mendaki bukit memandangkan banyak keperluan asas yang perlu dibawa.

Mulakan sesi dakian anda pada awal pagi memandangkan pada waktu tersebut jumlah pendaki lain tidak terlalu ramai.

Pakar kebiasaannya akan menyarankan pendakian dibuat pada permukaan yang tidak terlalu cerun.

Kebanyakan kawasan dakian yang sering mendapat kunjungan pendaki mempunyai laluan yang rata dan mudah dilalui oleh mana-mana pengunjung.

Jika anda baru berjinak-jinak dengan aktiviti ini, jangan terlalu ekstrem dan ambil laluan yang cerun.

Ia bukan sahaja tidak bagus untuk masalah sakit sendi anda, malah tahap kesihatan anda secara menyeluruh.

Sekiranya anda sudah pun aktif untuk beberapa tahun dan simptom artritis anda terkawal, anda mungkin boleh mencuba laluan yang lebih mencabar sedikit berdasarkan kepada nasihat doktor anda.

Penting juga bagi anda untuk melalui kawasan yang anda familiar dan elakkan daripada mencuba sebarang jalan shortcut yang tidak diketahui destinasi keluarnya. 

Lebih baik lagi jika kawasan tersebut menjadi laluan utama para pendaki lain. 

Sekiranya terdapat sebarang masalah, urusan untuk meminta pertolongan (sekiranya perlu) akan menjadi lebih mudah.

Kawasan dakian anda perlu mempunyai tanda yang jelas dengan jumlah halangan (seperti batu besar dan kawasan tidak rata) yang minimum.

Mulakan aktiviti dakian anda secara perlahan-lahan dan ambil masa rehat dengan lebih kerap terutamanya jika anda mula berasa sakit sendi.

Dalam setiap keadaan, anda perlu mengetahui tahap kemampuan anda sendiri dan jangan paksa sekiranya anda mula berasa penat atau kesakitan.

Apa yang anda perlu bawa semasa mendaki bukit jika alami masalah sakit sendi?

mendaki bukit

Aktiviti mendaki bukit tidaklah semudah yang disangka.

Selain daripada persiapan fizikal, anda juga memerlukan daya tahan mental yang kuat.

Tiada siapa yang berlatih sehari dua sebelum mendaki Gunung Kinabalu. Persiapan boleh memakan masa bertahun-tahun sebelum seseorang itu bersedia untuk menawan puncak gunung.

Antara perkara yang perlu diberi perhatian adalah jenis kasut yang anda pakai. 

Kasut yang dilengkapi dengan tapak dengan daya sokongan yang baik boleh memberikan keselesaan sepanjang anda sedang mendaki.

Sebelum mula mendaki, pastikan anda mencuba kasut tersebut terlebih dahulu semasa pergi ke tempat awam bagi mengenal pasti tahap keselesaannya.

Jika sakit, kasut yang anda beli berkemungkinan tidak sesuai dengan aktiviti yang bakal anda lakukan kelak.

Kalau anda merancang untuk membawa beg bagi memuatkan keperluan di dalamnya, pastikan anda memilih beg yang ringan dilengkapi dengan tali pada bahagian pinggang dan pinggul.

Ia bukan sahaja meringankan beban pikulan, malah memberi keseimbangan kepada beg yang dipikul.

Kelengkapan lain seperti tongkat hiking yang direka khas untuk pendaki juga boleh memberikan kestabilan kepada para pendaki terutamanya jika mereka berada di kawasan cerun.

Jika digunakan dengan betul, penggunaan tongkat tersebut boleh merendahkan tekanan pada bahagian belakang badan, lutut dan kaki.

Bagi pendaki yang mengalami artritis pada lutut dan buku lali, anda boleh menggunakan pendakap lutut atau buku lali.

Konklusi

Rumusannya, jika anda mengalami masalah osteoartritis (sakit sendi) dan merancang hendak mendaki bukit, pastikan anda lakukan persiapan di atas.

Rujuk doktor jika ada sebarang persoalan dan kemusykilan. Nasihat yang diberikan boleh berbeza mengikut keadaan klinikal pesakit.

Penafian

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

  1. Will I still be able to go hiking with osteoarthritis? (https://www.versusarthritis.org/about-arthritis/your-experiences/your-questions-answered/your-questions-on-walking-and-running/). Diakses pada 19 November 2020.
  2. Osteoarthritis. (https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/osteoarthritis/symptoms-causes/syc-20351925). Diakses pada 19 November 2020.
  3. Hiking with Arthritis: What to Know Before You Go. (https://www.practicalpainmanagement.com/patient/conditions/rheumatoid-arthritis/hiking-arthritis-what-know-you-go.). Diakses pada 19 November 2020.

Versi Terbaru

17/01/2024

Ditulis oleh Mohammad Nazri Zulkafli

Disemak secara perubatan oleh Dr. Gabriel Tang Pei Yung

Diperbaharui oleh: Nurul Nazrah Nazarudin


Artikel Berkaitan

Selalu Sakit Sendi, Anda Patut Elak Makan 10 Makanan Berangin Ini

Anak Selalu Mengadu Sakit Sendi? Eh, Jangan Pandang Enteng, Ibu! Ada Komplikasinya Tau


Disemak secara perubatan oleh

Dr. Gabriel Tang Pei Yung

Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Mohammad Nazri Zulkafli · Disemak pada 17/01/2024

ad iconIklan

Adakah artikel ini bermanfaat?

ad iconIklan
ad iconIklan