backup og meta

Famili Ada Kolesterol Tinggi? Anda Juga Boleh Alaminya, Waspada Dengan 3 Gejala Ini!

Disemak secara perubatan oleh Panel Perubatan Hello Doktor


Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 13/02/2024

    Famili Ada Kolesterol Tinggi? Anda Juga Boleh Alaminya, Waspada Dengan 3 Gejala Ini!

    Kolesterol tinggi adalah apabila anda mempunyai terlalu banyak kolesterol dalam darah. Jom ketahui tanda-tanda kolesterol tinggi pada wanita dan lelaki yang perlu diberikan perhatian.

    Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kesihatan Jantung, sila dapatkannya di sini.

    Apa itu kolesterol tinggi?

    Kolesterol adalah bahan lemak semula jadi dalam darah. Ia dihasilkan dalam hati dan juga daripada makanan yang dimakan. Kolesterol penting untuk memastikan sel-sel badan kita sihat.

    Pun begitu, tahap kolesterol tinggi bermakna anda mempunyai terlalu banyak kolesterol dalam darah. Banyak keadaan boleh menyebabkan ia berlaku.

    Terdapat bahaya kolesterol tinggi pada wanita dan lelaki jika tiada langkah pencegahan untuk menurunkannya seperti terkena serangan jantung dan strok.

    Diagnosis tanda-tanda kolesterol tinggi pada wanita & lelaki

    Doktor menggunakan ujian darah yang dipanggil panel lipoprotein, atau profil lipid, untuk memeriksa tahap kolesterol. 

    Ia mengukur:

    • Kolesterol LDL: Turut dikenali sebagai kolesterol jahat, ia terkumpul dalam arteri dan boleh menyebabkan serangan jantung atau strok
    • Kolesterol HDL: Disebut sebagai kolesterol baik. Berfungsi memindahkan kolesterol LDL keluar daripada arteri ke hati
    • Trigliserida: Lemak paling biasa dalam badan. Jika berada pada tahap tinggi bersama paras LDL tinggi atau paras HDL rendah, wujud peningkatan risiko serangan jantung atau strok
    tanda-tanda kolesterol tinggi pada wanita
    Tahap kolesterol dalam badan.

    Punca tanda-tanda kolesterol tinggi pada wanita & lelaki

    Sesiapa sahaja boleh mengalami kolesterol tinggi. Ia boleh disebabkan pelbagai perkara berbeza, sesetengahnya boleh dikawal dan ada juga yang tidak.

    Faktor penyumbang kolesterol tinggi boleh dikawal

    Gaya hidup:

  • Makan terlalu banyak lemak tepu. Ini mengurangkan keupayaan hati untuk mengeluarkan kolesterol, jadi ia terkumpul di dalam darah 
  • Tidak aktif secara fizikal. Seseorang yang aktif boleh meningkatkan tahap kolesterol baik dan mengurangkan tahap kolesterol jahat
  • Merokok. Tabiat ini boleh menyebabkan paras kolesterol tinggi dan tar terkumpul dalam arteri, menjadikan lebih mudah untuk kolesterol melekat pada dinding arteri
  • Faktor penyumbang kolesterol tinggi tidak boleh dikawal

    Umur, jantina dan latar belakang etnik:

    • Peningkatan usia. Semakin berusia seseorang itu, semakin meningat risiko untuk mempunyai kolesterol lebih tinggi
    • Jantina lelaki. Lelaki lebih berkemungkinan mempunyai kolesterol tinggi
    • Latar belakang etnik. Individu berasal dari Asia Selatan, lebih berkemungkinan besar mengalami kolesterol tinggi

    Genetik: 

    Genetik membawa maklumat yang menentukan ciri atau karakteristik yang akan diturunkan atau diwarisi daripada ibu bapa.

    Hiperkolesterolemia keluarga (Familial hypercholesterolaemia, FH) adalah keadaan yang diwarisi – bermakna anda dilahirkan dengannya. 

    Ia sering diwarisi daripada keluarga melalui genetik ‘rosak’ dan boleh membawa kepada tahap kolesterol yang sangat tinggi, walaupun anda tidak mempunyai faktor risiko lain.

    Tahap kesihatan am:

    • Penyakit buah pinggang. Apabila buah pinggang tidak berfungsi dengan baik, ia juga boleh mengubah cara badan mengendalikan kolesterol, penyebab kolesterol tinggi
    • Penyakit hati. Tugas penting hati adalah untuk menghasilkan kolesterol dan mengeluarkannya daripada badan. Tetapi jika hati tidak berfungsi dengan baik, ia bergelut untuk melakukannya – meningkatkan risiko kolesterol tinggi
    • Berat badan berlebihan 
    • Menghidap diabetes jenis 2
    • Mempunyai tiroid tidak aktif – hipotiroidisme – apabila badan tidak menghasilkan hormon tiroid mencukupi
    • Kekurangan hormon pertumbuhan – apabila tidak cukup penghasilan hormon

    Baca juga:

    Tanda-tanda kolesterol tinggi pada wanita & lelaki

    Biasanya tiada simptom kolesterol tinggi. Tetapi jika tidak dirawat, ia boleh menyebabkan serangan jantung dan strok.

    Ia selalunya merupakan faktor risiko tersembunyi. Ini bermaksud ia boleh berlaku tanpa disedari hingga keadaan sudah terlambat. Disebabkan itu, amat penting untuk memeriksa tahap kolesterol anda.

    Walau bagaimanapun, bagi mereka dengan FH, anda mungkin mempunyai tanda-tanda kolesterol tinggi yang boleh dilihat, seperti:

    Tendon xanthomata

    bengkak tangan
    Bengkak disebabkan kolesterol tinggi.

    Bengkak yang disebabkan kolesterol pada buku jari tangan, lutut atau tendon Achilles di bahagian belakang buku lali.

    Xanthelasmas, antara tanda-tanda kolesterol tinggi pada wanita & lelaki 

    tanda-tanda kolesterol tinggi pada wanita
    Tanda paling lazim jika mengalami kolesterol tinggi,

    Mendapan kolesterol pada kulit menyebabkan muncul ketulan kecil kolesterol kuning berhampiran sudut dalam mata. 

    Arkus kornea

    mata
    Tanda mata ada kolesterol.

    Muncul cincin putih pucat pada sekeliling bahagian berwarna mata – iris.

    Merawat tanda-tanda kolesterol tinggi pada wanita & lelaki

    Melakukan perubahan gaya hidup biasanya boleh membantu seseorang menurunkan paras kolesterol LDL atau mengekalkan tahap kolesterol HDL.

    Sekiranya perlu, doktor juga boleh memberikan preskripsi ubat untuk membantu mengawal keadaan.

    Perubahan gaya hidup

    Terdapat langkah-langkah tertentu boleh diambil bagi membantu mencegah atau merawat kolesterol tinggi, seperti:

    • Pengambilan diet berkhasiat. Ini termasuklah makanan yang mengandungi lemak tak tepu, rendah lemak tepu dan trans
    • Berhenti merokok. Ia boleh mengurangkan tahap kolesterol LDL dan meningkatkan tahap kolesterol HDL
    • Hadkan pengambilan alkohol. Alkohol boleh meningkatkan tahap trigliserida dan kolesterol
    • Atasi tekanan: Tekanan berlebihan boleh mencetuskan serangan jantung atau strok pada sesetengah individu
    • Senaman. Aktiviti fizikal sederhana – idealnya gabungan senaman kardiovaskular dan latihan rintangan – boleh meningkatkan tahap kolesterol
    tanda-tanda kolesterol tinggi pada wanita
    Cara kurangkan kolesterol dalam badan.

    Ubatan bantu atasi tanda-tanda kolesterol tinggi pada wanita & lelaki

    Bagi individu yang didiagnosis kolesterol tinggi, doktor mungkin menetapkan ubat-ubatan seperti statin. Ia bertujuan mengurangkan risiko strok atau serangan jantung dengan menurunkan paras kolesterol.

    Namun, perubatan diet dan gaya hidup masih perlu dilakukan.

    Kesimpulan 

    Oleh sebab secara amnya tiada simptom atau gejala yang boleh dikesan untuk kolesterol tinggi, maka pemeriksaan darah secara berkala amat penting untuk membantu pengesanan awal.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Panel Perubatan Hello Doktor


    Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 13/02/2024

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan