backup og meta

BAHAYA Makan GARAM Untuk Pesakit Lemah Jantung, Ini Penjelasannya!

BAHAYA Makan GARAM Untuk Pesakit Lemah Jantung, Ini Penjelasannya!

Garam merupakan sejenis bahan perasa yang boleh dijumpai di mana-mana sahaja di dunia. Ia bukan sahaja berfungsi menyedapkan makanan, garam juga wujud secara semula jadi di lautan dan juga di dalam air mata kita. Walau bagaimanapun, makan garam secara berlebihan bukanlah sesuatu yang digalakkan, lebih-lebih lagi jika anda menghidap lemah jantung.

Untuk pengetahuan anda, garam berkait rapat dengan penyakit kardiovaskular, antara penyakit yang telah meragut terlalu banyak nyawa di negara kita.

Malah, kerajaan juga telah menjalankan pelbagai kempen untuk memerangi pengambilan garam secara berlebihan.

Makan terlalu banyak garam bukan sahaja boleh menyebabkan lemah jantung, ia juga berkait rapat dengan penyakit seperti kegagalan jantung, sakit jantung, masalah buah pinggang, strok dan osteoporosis.

Tetapi, perlukah kita mengelak daripada terus makan garam? Sebenarnya, tidak. Garam masih lagi sejenis nutrisi yang amat penting untuk badan manusia.

Pesakit lemah jantung atau cardiomyopathy perlu mendapatkan rawatan yang sewajarnya. Pada masa yang sama, mereka juga perlu melakukan perubahan dari segi gaya hidup untuk mengawal simptom yang dialami.

Apakah maksud penyakit lemah jantung?

Penyakit lemah jantung atau kardiomiopati merupakan satu kondisi yang menyebabkan otot jantung sukar untuk mengepam darah ke seluruh badan. Jika tidak dirawat, kardiomiopati boleh menyebabkan kegagalan jantung.

Kardiomiopati terdiri daripada beberapa jenis – dilated, hypertrophic dan restrictive. Rawatan lemah jantung bergantung kepada jenis dan betapa serius penyakit yang dialami.

Bolehkah pesakit lemah jantung makan garam?

lemah jantung

Garam, atau sodium klorida merupakan nutrisi yang penting untuk badan. Ia digunakan untuk mengawal keseimbangan cecair dah tekanan darah dalam badan, serta membantu otot dan sistem saraf untuk berfungsi dengan baik.

Walau bagaimanapun, jumlah garam yang tinggi akan menyebabkan badan mengalami retensi air. Masalah ini akan menyebabkan kaki dan buku lali pesakit menjadi bengkak.

Malah, jantung juga terpaksa bekerja lebih keras untuk mengepam darah ke seluruh badan. Perkara ini akan menyebabkan pesakit mengalami tekanan darah tinggi atau hipertensi.

Semua ini dapat meningkatkan risiko pesakit untuk mengalami penyakit jantung dan strok.

Garam dapat ditemui di dalam pelbagai jenis makanan. Malah, makanan yang manis juga mempunyai garam.

Sebagai langkah berjaga-jaga, pastikan anda sentiasa membaca informasi yang dipaparkan di belakang kotak pembungkusan makanan. Kadangkala, garam akan dilabelkan sebagai sodium atau Na pada makanan tertentu.

Rakyat Malaysia mengambil terlalu banyak garam dalam masa sehari. Malah, jumlahnya juga dalam keadaan yang membimbangkan.

Menurut kajian My Coss pada tahun 2017/2018, rakyat Malaysia secara puratanya mengambil 7.9 g atau 1.6 sudu teh garam setiap hari.

World Health Organization atau WHO menggalakkan kita untuk mengambil kurang daripada 5 g garam setiap hari.

Jika kita berjaya mengurangkan pengambilan garam, kita dapat mengurangkan kadar kematian yang berlaku disebabkan penyakit kardiovaskular dan strok.

Kurangkan makan garam, amalkan diet yang sihat

lemah jantung

Bukan mudah untuk mengurangkan pengambilan garam dalam pemakanan, lebih-lebih lagi jika anda sudah biasa makan makanan yang masin.

Salah satu caranya adalah dengan mengurangkan penggunaan garam dalam masakan. Walau bagaimanapun, kebanyakan garam di dalam diet kita datang daripada makanan yang diproses dan dibungkus.

Jika anda mempunyai penyakit lemah jantung dan ingin mengurangkan garam dalam makanan, kami telah sediakan beberapa tip untuk membantu anda:

  1. Makan lebih banyak sayur dan buah-buahan. Ia bukan sahaja berkhasiat, malah boleh dijadikan snek sihat untuk mengalas perut ketika lapar. Jika anda sukakan buah-buahan dalam tin, pastikan anda pilih produk yang tidak mempunyai garam (salt free atau no salt).
  2. Baca label di belakang pembungkusan makanan. Pilih makanan yang mempunyai kandungan garam yang rendah.
  3. Elakkan menggunakan terlalu banyak garam semasa memasak. Sebaliknya, gunakan kombinasi herba dan rempah untuk meningkatkan rasa semula jadi makanan.
  4. Ada makanan kegemaran? Cuba ubah suai resepi dan letakkan kurang garam. 

Selain itu, pastikan anda bersenam dan aktif secara fizikal.

Walau bagaimanapun, sebelum anda melakukan sebarang senaman, pastikan anda bercakap dengan doktor terlebih dahulu jika anda sedang mengambil ubat-ubatan, mempunyai penyakit tertentu dan mengalami simptom seperti sakit dada, sesak nafas dan pening kepala.

Kesimpulan

lemah jantung

Penyakit lemah jantung yang berlaku disebabkan masalah keturunan tidak boleh dielakkan. Walau bagaimanapun, ada banyak langkah yang boleh anda lakukan untuk mengurangkan risiko kardiomiopati.

Kardiomiopati selalunya berlaku disebabkan penyakit lain. Oleh sebab itu, pengesanan dan rawatan awal amat membantu untuk mengelakkan sebarang komplikasi yang bakal berlaku disebabkan oleh lemah jantung.

Oleh itu, pastikan anda:

  1. Melakukan pemeriksaan kesihatan berkala.
  2. Mengikut nasihat doktor mengenai perubahan gaya hidup.
  3. Mengambil ubat-ubatan mengikut jadual.

Mengurangkan garam di dalam makanan bukan sahaja bermanfaat untuk pesakit kardiomiopati, ia juga bagus untuk diamalkan oleh mereka yang sihat dan tidak mempunyai sebarang penyakit.

[embed-health-tool-heart-rate]

Penafian

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

  1. American Heart Association. 2020. Prevention and Treatment of Cardiomyopathy. November 17. Accessed March 31, 2021. https://www.heart.org/en/health-topics/cardiomyopathy/prevention-and-treatment-of-cardiomyopathy.
  2. American Heart Association. 2016. Shaking the Salt Habit to Lower High Blood Pressure. October 31. Accessed March 31, 2021. https://www.heart.org/en/health-topics/high-blood-pressure/changes-you-can-make-to-manage-high-blood-pressure/shaking-the-salt-habit-to-lower-high-blood-pressure.
  3. Cardiomyopathy UK. 2017. Lifestyle management. August. Accessed March 31, 2021. https://www.cardiomyopathy.org/physical-health/lifestyle-management.
  4. Mayo Clinic. 2021. Cardiomyopathy. March 27. Accessed March 31, 2021. https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/cardiomyopathy/symptoms-causes/syc-20370709.
  5. NHS. 2021. Salt: the facts. March 15. Accessed March 31, 2021. https://www.nhs.uk/live-well/eat-well/salt-nutrition/.
  6. NYU Langone Hospitals. n.d. Lifestyle Changes for Cardiomyopathy & Heart Failure. Accessed March 31, 2021. https://nyulangone.org/conditions/cardiomyopathy-heart-failure-in-adults/treatments/lifestyle-changes-for-cardiomyopathy-heart-failure.
  7. Queensland Government. 2019. 6 things you thought you knew about salt that just aren’t true. November 19. Accessed March 31, 2021. https://www.health.qld.gov.au/news-events/news/6-things-about-salt-that-arent-true.
  8. WHO. n.d. Salt Intake. Accessed March 31, 2021. https://www.who.int/data/gho/indicator-metadata-registry/imr-details/3082.

Versi Terbaru

21/08/2023

Ditulis oleh Fatin Zahra

Disemak secara perubatan oleh Dr. Ahmad Wazir Aiman

Diperbaharui oleh: Asyikin Md Isa


Artikel Berkaitan

Suka Letak Banyak Garam Dalam Masakan? Ini Risiko Yang Boleh Terjadi Terutama Buah Pinggang Anda

Adakah Pengambilan Garam Yang Tinggi Mendorong Kepada Tekanan Darah Tinggi?


Disemak secara perubatan oleh

Dr. Ahmad Wazir Aiman

Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Fatin Zahra · Disemak pada 21/08/2023

ad iconIklan

Adakah artikel ini bermanfaat?

ad iconIklan
ad iconIklan