Di sebalik perasaan gembira dan syahdu melahirkan bayi, keadaan tentu akan berubah menjadi hiba apabila ujian ultrabunyi menunjukkan bahawa anak jantung berlubang.
Kesedihan itu bagai tidak mampu disorokkan lebih-lebih lagi apabila ahli keluarga dan kawan tidak henti bertanyakan tentang keadaan bayi anda. Jadi, apa yang ibu bapa perlu buat?
Untuk mendapatkan lebih banyak info berkenaan Kesihatan Jantung, anda boleh klik di sini.
Realiti anak jantung berlubang
Walau apa pun keadaannya, masih ramai pasangan di luar sana yang tidak mampu mendapatkan anak.
Perkara pertama yang perlu ditanamkan di dalam hati dan minda adalah bersyukur atas kurniaan berharga ini.
Tidak perlu membandingkan anak anda dengan anak orang lain. Terima seadanya apa yang ada pada anak anda.
Setiap anak adalah istimewa mengikut cara yang berbeza bergantung masing-masing.
Anda mungkin tidak keseorangan. Penyakit jantung berlubang atau congenital heart disease (CHD) agak kerap berlaku.
Menurut Persatuan Jantung Kebangsaan Malaysia, 1 daripada 100 bayi yang lahir di negara ini mengalami masalah jantung.
Berterus terang tentang keadaan mereka
Tiada apa yang perlu disembunyikan. Anda harus berterus-terang dengan ahli keluarga. Jika rakan anda bertanya, katakan sahaja masalah jantung anak anda itu.
Mereka ini boleh menjadi sistem sokongan dari sudut emosi dan mungkin kewangan jika perlu.
Penularan gambar-gambar bayi di media sosial menjadikan ramai malu apabila anaknya mempunyai sedikit kekurangan.
Oleh sebab itu, budaya berkongsi gambar anak di media sosial harus dikurangkan atau dielakkan sama sekali.
Selain mengelakkan orang lain cemburu, ia juga dapat mengelakkan kes-kes culik dan pedofilia.
Jika perlukan bantuan atau sokongan, jangan berasa segan untuk mendapatkannya daripada orang sekeliling.
Apabila anda membuka hati anda untuk orang lain membantu, ramai orang yang lebih daripada rela untuk sedia menyumbang.
Masa depan anak begini kini lebih terjamin
Ibu bapa yang mempunyai anak jantung berlubang mungkin boleh lebih tenang dan menarik nafas lega dengan perkembangan teknologi perubatan pada hari ini.
Pelbagai jenis rawatan tersedia di Institut Jantung Negara (IJN) dan hospital-hospital kerajaan mahupun swasta.
Sesetengah jenis jantung berlubang tidak memerlukan apa-apa rawatan dan akan tertutup dengan sendiri. Bagi kes yang lebih parah pembedahan mungkin diperlukan.
Malah, kini banyak pembedahan boleh dilakukan tanpa perlu membelah dada bayi tetapi hanya menggunakan alatan khas atau kateter melalui prosedur yang disebut sebagai catheterisation.
Mempunyai anak yang sakit bukanlah penyebab utama untuk membiarkan mereka duduk di dalam rumah dan bergantung selamanya kepada anda.
Berikan mereka peluang dan ruang untuk membina keyakinan diri dan hidup seperti biasa di dalam masyarakat.
Cara anda melayan mereka memberikan impak besar dalam membina keupayaan untuk menghadapi dan melalui pengalaman anak jantung berlubang.
[embed-health-tool-heart-rate]