Lindungi diri anda daripada pencemaran
Sekiranya anda mendapati indeks IPU berada dalam julat berbahaya (300 ke atas), elakkan keluar daripada rumah. Berada di luar boleh meningkatkan risiko penyakit paru-paru, serangan jantung, asma dan masalah kesihatan lain.
Semasa berada di luar rumah, pakai topeng muka untuk mengurangkan penyerapan bahan tercemar dalam udara. Kurangkan aktiviti luar dan gunakan laluan yang jauh daripada kawasan padat kerana kualiti udara lebih rendah di jalan raya yang sesak berbanding kawasan kediaman yang tenang. Anda juga patut elakkan merokok atau pergi ke kawasan merokok.
Semasa berada di dalam rumah, pasang penapis udara, tutup pintu dan tingkap serta bersihkan rumah menggunakan vakum dan kain basah untuk mengelakkan sebarang habuk dan bawaan jerebu yang membahayakan kesihatan. Anda juga digalakkan untuk membasuh tangan dan mandi dengan kerap. Selain itu, anda boleh meletakkan tumbuhan dalam rumah untuk membantu pengudaraan.
Diet sihat untuk melindungi diri
Ubah gaya pemakanan anda untuk membantu paru-paru bertahan daripada kesan-kesan pencemaran udara. Beberapa kajian mendapati sesetengah makanan kaya vitamin boleh membantu badan anda menjadi lebih berdaya tahan. Tingkatkan pengambilan makanan yang kaya dengan Vitamin A dan beta-karoten. Nutrisi ini membantu pembentukan dan penyelenggaraan membran mukus yang melapisi saluran pernafasan dan pencernaan, menjadikannya lebih tahan terhadap jangkitan. Sumber yang baik termasuklah marjerin, mentega, ubi keledek, lobak merah dan hati.
Makan makanan kaya Vitamin C. Vitamin ini membantu membentuk bahan penyambung dan menguatkan saluran darah, membantu anda sembuh lebih cepat. Sumber yang baik termasuklah oren, mangga, brokoli dan betik.
Banyakkan Vitamin E dalam diet anda. Nutrisi ini melindungi daripada kerosakan sel, meningkatkan bekalan oksigen ke sel dan dengan itu, menguatkan sistem imun. Selenium daripada telur, bawang, dan ikan pula dikatakan dapat melindungi paru-paru dan hati anda daripada radikal bebas.
Oleh itu, untuk mendapatkan nutrisi yang diperlukan untuk membantu tubuh menghadapi jerebu yang melanda, perbanyakkan buah-buahan dan sayuran dalam diet dan minum air dengan banyak untuk membantu badan menyingkirkan bahan tercemar yang diserap tubuh anda.
Baca juga:
Komen
Kongsi komen anda
Ayuh jadi yang pertama untuk memberi komen!
Sertai Kami atau Log Masuk untuk menghantar komen