backup og meta

Berlumba-lumba Nak Cuba Makanan Viral, Tapi AWAS Jangan Berlebihan, Ada Bahayanya!

Disemak secara perubatan oleh Dr. Ahmad Wazir Aiman · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 03/11/2022

    Berlumba-lumba Nak Cuba Makanan Viral, Tapi AWAS Jangan Berlebihan, Ada Bahayanya!

    Apabila menyebut mengenai makanan viral, pastinya akan terbayang berbagai-bagai jenis makanan dan juga minuman, betul tak?

    Tidak dinafikan makanan dan minuman tersebut nampak menyelerakan dan sedap untuk dinikmati. Tetapi dari aspek kesihatan, bagaimana? Dalam perkongsian artikel ini ada jawapannya.

    Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Pemakanan Sihat, sila dapatkannya di sini.

    Makanan viral sana sini

    Sebagai rakyat Malaysia, kita sememangnya beruntung kerana negara kita ini kaya dengan variasi jenis makanan daripada pelbagai kaum. 

    Sudah menjadi lumrah sebagai manusia untuk mempunyai keinginan mencuba sesuatu yang baharu. Lebih-lebih lagi jika ia adalah sesuatu yang unik. Disebabkan itu terciptanya pelbagai idea kreatif oleh penjual makanan.

    Apabila sesuatu jenis makanan atau minuman itu menjadi buah mulut serta tarikan ramai, maka secara tidak langsung ia akan menjadi popular. Kesannya, akan berpusu-pusulah orang ramai untuk mencubanya. Daripada situlah lahirnya makanan viral! 

    Tetapi adakah makanan yang diviralkan ini baik untuk kesihatan?

    Makanan viral vs aspek kesihatan

    Berikut dikongsikan beberapa jenis makanan dan minuman yang diviralkan:

    1. Teh tarik dalam tin

    Dahulu pernah viral mengenai minuman ini. Sejujurnya ia cuma air teh tarik yang boleh didapati di mana-mana kedai makan.

    Tetapi apa yang membuatkan minuman dihasilkan di sebuah kedai kopi di Pulau Pinang ini viral adalah kerana ia dihidangkan di dalam bekas tin susu.

    makanan viral

    Kebimbangan tercetus di sini kerana ia menggunakan bekas tin susu (krimer manis) yang dikitar semula.

    Ini kerana penggunaan tin bekas susu dan tin-tin lain yang dikitar semula bagi tujuan penyediaan minuman boleh memberikan risiko kepada pengguna. Ia juga dikhuatiri boleh mencederakan pengguna semasa minum disebabkan permukaan tin yang tajam.

    Selain itu wujud risiko keracunan makanan jika tin yang digunakan kotor, berkarat atau sebagainya.

    2. Bubble tea

    Fenomena minuman bubble tea atau lebih dikenali sebagai air boba mula menjadi viral sejak beberapa tahun lepas. 

    Bahkan sehingga ke hari ini wujud banyak cawangan kafe di seluruh Malaysia yang menyediakan minuman viral boba.

    Namun dari aspek kesihatan, adakah air boba yang berasal dari Taiwan ini baik untuk diminum?

    Dalam kebanyakan kes, bubble tea ini mengandungi paras gula yang tinggi. Ia dikaitkan dengan masalah kesihatan kronik jangka panjang seperti diabetes, obesiti, penyakit kardiovaskular, penyakit hati berlemak bukan alkohol (NAFLD), penurunan kognitif dan beberapa jenis kanser.

    Pengambilan minuman bergula ini juga dikaitkan dengan lemak badan yang lebih tinggi pada anak kecil.

    3. Kunafa, antara makanan viral

    makanan viral

    Bagi mereka yang gemarkan makanan Arab, sudah tentu kalian pernah menikmati hidangan pencuci mulut Kunafa. Ia kini merupakan antara makanan yang sedang popular dan mendapat permintaan tinggi dalam kalangan rakyat Malaysia.

    Umumnya, pencuci mulut tradisional dari Timur Tengah ini dibuat dengan pastri berputar dipanggil kataifi dan direndam dalam sirap manis berasaskan gula disebut sebagai attar. 

    Makanan ini biasanya dilapisi dengan keju atau bahan lain seperti krim beku, pistachio atau kacang lain.

    Dari aspek kesihatan, kunafa merupakan makanan yang tinggi kandungan gulanya. Ia tidak seharusnya diambil secara berlebihan kerana boleh mencetuskan pelbagai risiko kesihatan.

    Malah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengesyorkan pengambilan gula tambahan haruslah dihadkan, tidak lebih daripada 10% penggunaan tenaga harian kita.

    Dengan erti kata lain, jumlah purata pengambilan gula tambahan untuk seorang dewasa sepatutnya tidak boleh melebihi 10 sudu teh sehari atau sebanyak 50 gram sehari.

    Baca juga:

    4. Minuman & makanan viral #Teh tarik madu

    Awal tadi kita bercakap mengenai air teh tarik yang mana isunya adalah bekas air menggunakan tin kitar semula. Namun kali ini memang berkisarkan mengenai air yang dihidangkan.

    Apabila menyebut teh tarik, sudah tentu anda boleh membayangkan betapa manis airnya, bukan? Orang kata, minum hari-hari boleh potong kaki nanti!

    Bezanya teh tarik madu ini bukan seperti minuman yang biasa kita minum di mana-mana restoran atau kedai mamak.

    Minuman ini dikatakan dibancuh bersama madu lebah asli dan susu tepung bagi menghasilkan lebih banyak buih sehingga melimpah.

    Bagi yang menggemari minuman teh tarik ais, anda mempunyai pilihan untuk menambah aiskrim dalam minuman ini.

    makanan viral

    Jika ingin bercakap mengenai aspek kesihatan, mengambil terlalu banyak gula tambahan boleh meningkatkan tekanan darah dan risiko keradangan kronik – yang mana kedua-duanya adalah pintu kepada penyakit jantung.

    Penggunaan gula berlebihan terutamanya dalam minuman manis, akan menyumbang kepada penambahan berat badan

    Ini boleh terjadi apabila fungsi sistem kawalan selera makan ‘dimatikan’ kerana kalori cecair tidak mengenyangkan seperti pengambilan makanan pepejal. Kesannya jumlah kalori dalam diet harian akan bertambah apabila mengambil minuman manis.

    5. Makanan viral #Cheese leleh

    Siapa yang tidak gemar makan keju atau cheese, betul tak? Lebih-lebih lagi jika makanan yang dihidangkan masih panas, dia punya tarik tu, perghhh! 

    cheese leleh

    Makanan yang dihidangkan dengan keju yang meleleh ini pernah dan masih menjadi kegemaran ramai. Antaranya seperti burger cheese leleh, kek cheese leleh dan sebagainya.

    Namun seperti kebanyakan makanan lain, ia haruslah diambil secara sederhana. Walaupun keju merupakan produk tenusu, tetapi ia tinggi kandungan lemak, kalori dan garam.

    Ini bermakna ia bukan sahaja tidak bagus dari aspek kesihatan jangka pendek – kerana boleh menyebabkan perut kembung bagi sesetengah individu – bahkan bagi tempoh jangka panjang, ia meningkatkan risiko untuk menghidap kolesterol tinggi dan penyakit jantung.

    Sentiasa berpada

    Tiada salahnya untuk anda mencuba sebarang makanan viral yang ada di Malaysia ini. Tetapi perkara paling penting adalah untuk memastikan tahap kebersihannya dan haruslah diambil secara bersederhana.

    Anda pernah mencuba sebarang makanan atau minuman yang pernah diviralkan? Ayuh kongsikan bersama kami pendapat anda dalam ruangan komen.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Ahmad Wazir Aiman

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 03/11/2022

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan