Cili kisar boleh dikatakan antara bahan wajib yang mesti ada di dapur setiap rumah rakyat Malaysia. Namun, ada kalanya cili blend yang dibuat itu tidak tahan lama dan mudah rosak atau berkulat, walaupun disimpan di dalam peti sejuk. Bagi anda yang sering mengalami masalah ini, kami kongsikan di sini beberapa petua cili kisar tahan lama.
Untuk mendapatkan lebih banyak info berkenaan Pemakanan Sihat, anda boleh klik di sini.
Cili kisar, bahan utama masakan Asia
Cili kisar atau juga disebut cili boh banyak digunakan dalam masakan orang Melayu.
Namun, ia sebenarnya merupakan antara bahan penting bagi hampir kesemua jenis masakan dari Asia.
Biasanya, jika cili boh dibeli di kedai, ia mungkin hanya mengandungi kandungan cili kering semata-mata tanpa campuran bahan lain.
Ada sesetengahnya dicampur dengan sedikit garam, dan ada juga ditambah dengan bawang putih.
Secara tradisionalnya, cili boh dihasilkan dengan cara menggiling cili kering sehingga lumat menggunakan batu giling.
Namun kini, alat atau mesin pengisar digunakan kerana ia lebih mudah, pantas dan boleh menghasilkan kuantiti cili boh yang lebih banyak.
Mengapa cili kering boleh bertukar warna ketika dikisar?
Ramai yang mungkin sedikit hairan mengapa cili boh boleh bertukar warna ketika dikisar.
Untuk pengetahuan anda, minyak semula jadi cili akan keluar sewaktu direbus sebelum ia dikisar.
Bilah dalam mesin pengisar kemudiannya akan memecahkan lemak minyak menjadi titisan kecil lalu menyebabkan proses emulsi berlaku.
Oleh sebab itu, warna pes cili boh yang dibuat di rumah berwarna lebih cerah berbanding daripada pes cili yang dibeli di kedai.
Namun jika anda membiarkannya selama beberapa jam, pes tersebut akan bertukar warna menjadi lebih gelap.
Petua cili kisar tahan lama
Setiap individu pasti mempunyai tip atau petua cili boh tahan lama masing-masing yang telah diamalkan sejak sekian lama.
Namun, bagi anda yang masih tidak tahu petua cili boh tahan lama, anda boleh cuba langkah-langkah di bawah ini.
Bahan-bahan yang diperlukan:
- Cili kering (mengikut sukatan yang anda mahu)
- Air bertapis
- Bawang putih
- Bawang besar
Cara-cara menyediakan pes cili kisar yang tahan lama:
- Potong cili kering kecil-kecil dengan menggunakan gunting untuk mengeluarkan bijinya.
- Kupas bawang putih dan juga bawang besar. Potong kecil bawang besar dan juga bawang putih agar ia lebih mudah untuk dikisar.
- Basuh kesemua bawang dan cili kering dengan bersih.
- Rebus cili kering bersama air. Seeloknya, gunakan air bertapis untuk hasil yang lebih baik.
- Anda juga boleh merebus bawang putih bersama cili kering. Jika tidak mahu, tidak mengapa.
- Toskan cili kering dan bawang putih yang telah direbus. Jangan sesekali membilasnya dengan air paip setelah ditoskan kerana dikhuatiri cili akan mudah rosak selepas dikisar.
- Selepas ditoskan, masukkan cili kering, bawang putih dan bawang besar ke dalam mesin pengisar. Tambahkan air bertapis dengan sukatan sekitar separuh atau ¾ mesin tersebut.
- Kisar sehingga lumat dan pastikan tiada bawang atau cili yang masih tidak hancur. Jika agak sukar untuk mengisar, tambahkan lebih banyak air untuk memudahkan proses mengisar.
- Setelah dikisar, masukkan cili kering yang telah dikisar ke dalam bekas yang kedap udara. Kemudian, masukkan ke dalam peti sejuk untuk jangka hayat cili boh yang lebih lama.
Tip lain agar cili tahan lebih lama dalam peti sejuk
Cara penyediaaan cili boh sememangnya memainkan peranan yang penting untuk menjadikan cili tersebut lebih tahan lama.
Namun, ada juga beberapa tip lain yang perlu diambil berat sewaktu menyediakan dan menggunakan cili boh yang telah disimpan.
Antaranya ialah:
- Anda boleh menggunakan minyak masak untuk menggantikan air ketika mengisar cili. Penggunaan minyak membuatkan cili boh lebih tahan lama. Namun, untuk cili boh yang lebih sihat, adalah lebih baik jika anda menggunakan air yang bertapis.
- Pastikan cili benar-benar telah sejuk sebelum disimpan di dalam peti sejuk. Ini kerana, cili yang masih panas akan menghasilkan wap air yang kemudiannya akan menyebabkan cili mudah berkulat dan rosak.
- Pek stok cili boh anda ke dalam beberapa bekas kecil. Bekas yang kecil memudahkan anda memasak dan ia tidak mendedahkan cili kepada udara luar beberapa kali sehingga boleh menyebabkan cili mudah rosak.
- Jika anda menghasilkan stok cili boh yang banyak, simpan cili boh anda di bahagian sejuk beku peti ais anda. Ini akan memanjangkan lagi jangka hayat cili tersebut.
- Gunakan sudu yang bersih sewaktu mencedok cili kisar daripada bekas. Jangan sesekali menggunakan sudu yang telah digunakan untuk mencedok bahan-bahan lain ketika memasak.
Kesimpulan
Cili boh yang tahan lama akan memudahkan proses memasak setiap hari, lebih-lebih lagi bagi wanita yang berkerjaya.
Cili boh yang tahan lama juga perlulah disediakan dengan kaedah dan bahan yang lebih sihat.
Antaranya dengan tidak menambahkan gula, mengurangkan kuantiti garam dan minyak, serta menggunakan air yang bertapis.
Dengan ini, cili boh bukan hanya tahan lebih lama, tetapi juga lebih menyihatkan.
Selamat mencuba!
[embed-health-tool-bmr]