Obesiti atau kegemukan adalah salah satu daripada pelbagai masalah kesihatan yang sangat biasa berlaku dalam kalangan rakyat negara kita.
Menurut statistik yang dikeluarkan oleh hasil Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) pada tahun 2019, kira-kira 19.7 peratus individu dewasa di Malaysia adalah obes.
Budaya bekerja dari rumah dan kurang melakukan aktiviti fizikal dikatakan menjadi punca masalah ini meruncing.
Jadi, solusinya, ramai yang mengalami masalah berat ini makan pil diet untuk rawat masalah obesiti! Benarkah ia berkesan?
Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Pemakanan, sila dapatkannya di sini.
Apa itu obesiti?
Sebelum itu, adalah wajar untuk kita berkenalan dengan masalah yang sangat biasa berlaku dan berbahaya ini terlebih dahulu.
Untuk pengetahuan anda, obesiti atau dalam bahasa mudahnya, kegemukan adalah satu keadaan yang melibatkan kewujudan lemak yang berlebihan dalam tubuh badan.
Apa yang lebih membimbangkan, ia bukan sahaja akan menjejaskan imej malahan juga menjadi faktor risiko pelbagai penyakit lain yang juga berbahaya kepada kita.
Antara penyakit yang dimaksudkan tersebut adalah penyakit jantung, tekanan darah tinggi, diabetes dan kanser.
Ramai yang mengaitkan masalah ini dengan diet yang tidak menentu dan seimbang.
Ya, ia adalah salah satu daripada punca obesiti selain pengamalan gaya hidup yang tidak sihat dan sedentari seperti jarang bersenam dan gemar bermalas di dalam rumah sahaja.
Berita baiknya, kini sudah terdapat pelbagai kaedah yang ditawarkan untuk penderita cuba mengawal dan merawat masalah obesiti.
Salah satunya adalah dengan makan pil diet. Berkesankah ia?
Apa itu pil diet?
Selepas itu, adalah wajar pula untuk kita berkenalan dengan seperkara lagi yang juga penting dalam merungkai persoalan artikel ini iaitu apa itu pil diet.
Buat anda yang mungkin belum tahu, pil ini adalah sejenis ubatan yang digunakan untuk membantu mengurangkan berat badan individu.
Jangan terkeliru dengan pil langsing atau pil kurus yang dijual di pasaran dan media sosial di luar sana kerana ia mungkin tidak mendapat kelulusan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Sebaliknya, penderita mungkin boleh fokus kepada pil yang dipreskripsi oleh doktor pakar di klinik, hospital, farmasi atau pusat kesihatan berdekatan anda.
Sebagai panduan anda, berikut merupakan beberapa nama jenis ubat yang mungkin boleh cuba digunakan dengan izin doktor terlebih dahulu:
- Liraglutide (Saxenda)
- Naltrexone-bupropion (Contrave)
- Orlistat (Alli, Xenical)
- Phentermine (Adipex-P, Ionamin, Pro-Fast)
- Phentermine-topiramate (Qsymia)
Pun begitu, anda perlu disaring terlebih dahulu; hanya jika BMI anda adalah 30 ke atas atau sekurangnya-kurangnya 27 (jika ada penyakit berkaitan obesiti) sebelum mengambil ubatan ini.
Selain itu, sejarah kesihatan anda juga akan diteliti terlebih dahulu sama ada kalian mempunyai alahan, mengandung, bercadang untuk hamil atau menyusukan anak.
Ini adalah penting kerana pil diet mungkin akan mendatangkan kesan sampingan lain jika kalian tidak berwaspada.
Benarkah makan pil diet boleh rawat masalah obesiti?
Jawapan mudahnya adalah ya, pil diet mungkin akan dapat membantu anda mengurangkan berat badan yang berlebihan atau obes.
Pun begitu, ia bukanlah satu kaedah yang perlu difokuskan kerana ia bersifat jangka masa panjang serta memerlukan anda untuk menjalani kehidupan yang sihat juga.
Menurut kajian, pengambilan pil ini mungkin akan membantu anda mengurangkan 3 hingga 7 peratus berat badan anda dalam tempoh 12 bulan atau setahun.
Selain itu, ada satu perkara lain yang kalian perlu tahu selepas berjaya mengurangkan berat badan sekitar 5 hingga 10 peratus.
Ia adalah anda mampu mengurangkan kadar tekanan darah, kadar gula dalam darah serta kadar triglyceride dalam tubuh badan.
Ini menunjukkan bahawa menguruskan berat badan adalah satu perbuatan yang ternyata sihat lantas membina kembali keyakinan anda untuk tampil langsing, cantik dan bergaya!
Baca juga: