Apabila kita berhadapan dengan tekanan perasaan, lebih sukar untuk kita makan secara sihat. Kadangkala, kita juga makan lebih banyak disebabkan kesan tekanan emosi. Tabiat ini turut dikenali sebagai binge eating. Tetapi, tahukah anda, tabiat makan yang tidak sihat ini juga boleh menyebabkan perut buncit dan punggung melebar?
Saintis sudah lama mengenal pasti kaitan antara hormon stres, kortisol, dengan peningkatan berat badan. Setiap kali kita stres atau tertekan, kelenjar adrenal akan melepaskan hormon ini ke dalam saluran darah.
Hormon ini akan menyebabkan badan melepaskan glukosa, sejenis gula yang merupakan sumber tenaga utama untuk badan.
Bersama satu lagi hormon, iaitu epinefrin, kedua-duanya akan bertindak meningkatkan kadar degupan jantung dalam darah.
Walau bagaimanapun, jika kita kerap berada dalam keadaan stres, badan akan mengepam lebih banyak kortisol.
Akibatnya, lebih banyaklah gula yang dilepaskan ke dalam salur darah. Sebab itulah, stres mempunyai banyak kesan negatif terhadap badan!
Kesan tekanan emosi dan kaitannya dengan kortisol dalam darah
Sebenarnya, ada banyak kesan tekanan emosi terhadap diri kita. Antaranya ialah:
- Peningkatan tahap gula dalam darah. Disebabkan tahap glukosa dalam darah yang tinggi, tahap gula dalam darah akan turut meningkat.
- Berat badan meningkat. Ada sebabnya mengapa kita sering rasa lapar ketika stres. Puncanya adalah ‘signal’ yang diterima oleh otak ketika tertekan. ‘Signal’ yang sama ini juga akan menyebabkan kita teringin untuk mengambil makanan yang berkalori tinggi.
- Sistem imun semakin lemah. Sebab itulah, kita selalu jatuh sakit ketika stres. Orang yang mengalami tekanan perasaan selalunya lebih mudah demam dan mengalami penyakit berjangkit.
- Masalah pencernaan. Apabila badan berada dalam keadaan tertekan, ia akan menghentikan proses badan yang lain, salah satunya ialah proses pencernaan. Pada masa yang sama, ulser perut juga mudah terbentuk ketika kita sedang stres.
- Sakit jantung. Tekanan darah tinggi boleh menyebabkan kerosakan saluran darah dan pengumpulan plak pada arteri. Ini boleh meningkatkan risiko serangan jantung atau strok!
Kesan tekanan emosi, stres menyebabkan perut buncit!
Menurut sebuah kajian yang dimuatkan di dalam jurnal Psychosomatic Medicine, stres boleh menyebabkan perut buncit, walaupun dalam kalangan wanita yang kurus!
Kajian ini dijalankan ke atas wanita yang belum menopaus dan mempunyai berat badan normal dan juga wanita yang mempunyai berat badan berlebihan, terutamanya pada kawasan pinggang dan punggung.
Mereka mendapati, individu yang terdedah pada hormon kortisol dalam satu jangka masa yang panjang mempunyai lemak pada kawasan perut dan punggung yang lebih banyak.
Malah, wanita yang mempunyai lemak berlebihan pada kawasan perut juga mempunyai masalah mood swing dan selalunya sangat tertekan dalam kehidupan seharian, sama ada disebabkan kerja ataupun masalah peribadi.
Perkara yang sama turut berlaku kepada lelaki. Walau bagaimanapun, hampir kebanyakan lemak ini akan disimpan di kawasan perut. Sebab itulah, lelaki yang stres selalunya buncit!
Kawal stres dengan baik
Tidak mahu berat badan naik dan perut menjadi buncit disebabkan stres? Ada beberapa langkah yang boleh anda ambil untuk kurangkan kesan tekanan emosi terhadap bentuk badan anda.
Antara strategi mengawal stres yang berkesan ialah:
- Kerap bersenam. Senaman boleh menjadi satu aktiviti yang baik untuk mengurangkan tekanan perasaan. Ia akan membuatkan anda rasa gembira dan bertenaga.
- Praktis teknik relaksasi seperti teknik pernafasan yang betul, meditasi, yoga atau tai chi. Anda juga boleh mengurut untuk mengurangkan stres.
- Luangkan masa berkualiti bersama kawan-kawan dan ahli keluarga.
- Cari hobi yang boleh bantu anda melepaskan stres. Dengar lagu pada masa lapang, tonton televisyen atau main permainan video sebagai cara untuk relaks pada hujung minggu.
Cari jalan yang terbaik untuk mengurangkan stres yang anda alami. Mungkin apa yang berkesan untuk orang lain tidak berkesan untuk anda.
Walau bagaimanapun, pastikan anda mempunyai gaya hidup yang sihat. Makan makanan yang berkhasiat dan tidur dengan mencukupi.
Jangan merokok, elakkan kafein dan minuman beralkohol. Elakkan juga penggunaan bahan-bahan yang terlarang sebagai satu cara untuk mengurangkan stres.
Kesan tekanan emosi lebih besar dari apa yang anda jangka
Jangan abaikan masalah stres yang berpanjangan. Kadangkala, masalah ini boleh bertukar menjadi sesuatu yang lebih besar seperti depresi dan masalah kegelisahan.
Malah, ia boleh memberikan kesan buruk terhadap fizikal anda. Jika tidak mahu perut buncit dan punggung yang lebar, pastikan anda kawal stres dan pastikan ia tidak membuatkan anda rasa gelisah sepanjang masa.
Pastikan anda mendapatkan pemeriksaan lanjut jika mengalami simptom seperti:
- Sering rasa resah dan sedih dalam tempoh masa yang panjang.
- Kerap letih dan tidak bertenaga.
- Sukar untuk tidur malam.
- Perut yang semakin membuncit.
- Rasa kembung perut, kerap kentut dan mempunyai masalah pencernaan lain.
Selain itu, jika anda sering sakit dada dan sukar untuk bernafas, pastikan anda berjumpa doktor secepat mungkin. Kadangkala, ia bukanlah simptom stres, tetapi sebenarnya merupakan tanda serangan jantung!
[embed-health-tool-bmi]