backup og meta

Menggigil Antara Simptom Ketagihan Gula, Ini Cara Untuk Elak Ambil Makanan Manis

Menggigil Antara Simptom Ketagihan Gula, Ini Cara Untuk Elak Ambil Makanan Manis

Makanan bergula dapat memberikan kenikmatan yang tidak dapat diungkapkan dengan kata-kata. Malahan, menurut kajian, gula dapat memberikan tahap ketagihan yang lebih tinggi berbanding dengan kokain. Majoriti individu tahu bahawa glukosa merupakan sumber tenaga utama badan. Namun apa kata otak anda? Adakah glukosa merupakan sumber tenaga yang idealnya untuknya. Ikuti artikel ini untuk tahu dengan lebih lanjut.

Peranan dopamin dalam ketagihan makanan bergula

“You are what you eat.”. Ini merupakan ungkapan yang memberikan konsep “Jika anda ingin hidup sihat, makanlah makanan yang sihat”. Diet obsogenik atau diet yang menyebabkan masalah obesiti memberikan ancaman kepada kesihatan manusia sejagat. Ia kebiasaannya berasaskan makanan yang tinggi kandungan gula dan lemak. 

Gula atau lebih tepat lagi, glukosa, merupakan sumber tenaga utama badan. Pada zaman dahulu kala, nenek moyang kita banyak mengambil buah-buahan sebagai makanan ruji kerana ia mudah didapati. Makanan yang berasaskan daging haiwan pula perlu diburu maka pengambilannya tidak sekerap buah-buahan. 

Buah-buahan yang sudah masak mempunyai kandungan gula yang tinggi. Oleh sebab itulah kemanisan menjadi indikator utama yang menentukan sama ada buah tersebut boleh dimakan ataupun tidak. Jika buah itu masam, maka ia tidak sesuai dimakan kerana berkemungkinan ia belum masak atau beracun. 

Bagi meningkatkan tahap kebarangkalian untuk hidup, otak membentuk sistem ganjaran bagi menggalakkan pengambilan gula sebagai sumber tenaga. Sistem ini digelar sebagai sistem dopamin mesolimbik. Ia akan merembeskan hormon dopamin bagi meningkatkan motivasi individu untuk terus mengambil makanan bergula. 

Perubahan otak kesan daripada pemakanan bergula

Jika dilihat pada fungsi otak manusia sekarang, majoriti saintis berpendapat bahawa ia sama dengan fungsi otak manusia dulu kala. Kita masih mempunyai kecenderungan untuk mengambil makanan bergula berbanding dengan yang lain. Cuba anda ubah gaya pemakanan anda kepada diet rendah karbohidrat dan tinggi lemak atau protein. Anda akan mengalami simptom penarikan gula seperti menggigil, sakit kepala, ketidakstabilan emosi dan keinginan yang kuat (craving) terhadap makanan manis.

Pengaktifan sistem dopamin mesolimbik secara kerap akan menyebabkan adaptasi otak terhadap stimulasi. Proses ini dipanggil neuroplasticity dan jika ia melibatkan pemakanan bergula, kita akan mula berasa tidak seronok apabila mengambil jumlah gula pada kadar yang sama. Untuk mengaktifkan sistem tersebut, kita perlu menambah pengambilan gula bagi mendapatkan stimulasi dopamin yang sama dengan sebelum ini. 

Inilah permulaan kepada proses ketagihan. Hari demi hari, jumlah gula yang diperlukan untuk mendapatkan stimulasi yang sama meningkat. Namun penggunaan terma “ketagihan gula” merupakan topik perdebatan di antara ahli akademik kerana pada asasnya kita memerlukan makanan yang mengandungi glukosa untuk hidup.

Kurang keupayaan untuk menepis godaan makanan bergula

Bukan mudah untuk menolak pelawaan untuk makan, terutamanya jika makanan itu manis. Persepsi tersebut akan menyebabkan rembesan awal insulin bagi menyediakan badan untuk memproses gula dan ini akan meningkatkan tahap kelaparan seseorang. Namun, otak anda mempunyai sekumpulan saraf rencatan (inhibitory neurons) yang terletak pada lobus otak depan prefrontal. 

Saraf ini membolehkan anda untuk membuat sesuatu keputusan dan mengawal nafsu. Ia merangsang rembesan hormon GABA (Gamma Aminobutyric Acid) yang bertindak sebagai neurotransmiter perencat. Namun kajian yang dibuat oleh Amy C. Reichelt pada tahun 2015 telah mendapati bahawa pengambilan gula yang tinggi boleh mengubah aktiviti saraf rencatan tersebut. Tikus yang diberikan minuman gula tidak boleh mengawal kelakuan dan membuat keputusan seperti biasa. Ia menurunkan kebolehan seseorang itu untuk melawan impuls yang dianggap tidak elok seperti pengambilan gula berlebihan.

Dapatan kajian tersebut diperkuatkan dengan kajian yang dijalankan pada tahun 2017. Dalam kajian tersebut, subjek yang mengambil makanan tinggi gula dan lemak mengalami tahap ketagihan (craving) yang tinggi walaupun ketika itu mereka tidak lapar. Ini menunjukkan kekerapan mengambil makanan bergula boleh menentukan tahap ketagihan individu tersebut terhadap makanan bergula.

Konklusi

Jika anda berhasrat untuk berhenti mengambil gula, lakukannya secara berperingkat. Anda akan merasai kesan penarikan gula namun ia cuma sementara. Keadaan tersebut sama dengan mereka yang mula mengamalkan diet rendah karbohidrat. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyarankan pengambilan gula pada kadar 5 peratus sehari bersamaan dengan 6 sudu teh. Pengamalan gaya pemakanan seimbang dan senaman secara kerap dapat membetulkan semula kesan neuroplastik otak. Jika anda merasakan kesan daripada penarikan gula terlalu serius, berjumpalah dengan doktor bagi mendapatkan pemeriksaan dan khidmat nasihat.

[embed-health-tool-bmr]

Penafian

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

  1. Intense Sweetness Surpasses Cocaine Reward. (https://journals.plos.org/plosone/article?id=10.1371/journal.pone.0000698). Diakses pada 19 November 2019.
  2. Explicit wanting and liking for palatable snacks are differentially affected by change in physiological state, and differentially related to salivation and hunger. (https://www.sciencedirect.com/science/article/abs/pii/S0031938417303451?via%3Dihub). Diakses pada 19 November 2019.
  3. Impact of adolescent sucrose access on cognitive control, recognition memory, and parvalbumin immunoreactivity. (http://learnmem.cshlp.org/content/22/4/215). Diakses pada 19 November 2019.
  4. What is neuroplasticity? (https://brainworksneurotherapy.com/what-neuroplasticity). Diakses pada 19 November 2019.
  5. Mesolimbic pathway. (https://www.neuroscientificallychallenged.com/glossary/mesolimbic-pathway). Diakses pada 19 November 2019.
  6. WHO Sugar Recommendations. (https://www.ages.at/en/topics/nutrition/who-sugar-recommendations/). Diakses pada 19 November 2019.

Versi Terbaru

11/09/2020

Ditulis oleh Mohammad Nazri Zulkafli

Disemak secara perubatan oleh Dr. Gabriel Tang Pei Yung

Diperbaharui oleh: Nurul Halifah


Artikel Berkaitan

Rahsia Untuk Cepat Tambah Berat Badan, Amalkan 5 Jenis Makanan Sihat Ini!

Mengapa Orang Dewasa Perlu Minum Susu Tepung? Ini 4 Khasiatnya Ramai Orang Tak Tahu


Disemak secara perubatan oleh

Dr. Gabriel Tang Pei Yung

Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Mohammad Nazri Zulkafli · Disemak pada 11/09/2020

ad iconIklan

Adakah artikel ini bermanfaat?

ad iconIklan
ad iconIklan