backup og meta

Kerap Bersenam Boleh Menyebabkan Fungsi Otak Terganggu? Fakta @ Auta?

Disemak secara perubatan oleh Dr. Gabriel Tang Pei Yung · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Ahmad Wazir Aiman Mohd Abdul Wahab · Disemak pada 27/11/2020

    Kerap Bersenam Boleh Menyebabkan Fungsi Otak Terganggu? Fakta @ Auta?

    Sebuah kajian di Perancis mendapati melakukan aktiviti fizikal pada keamatan tinggi bukan sahaja menyebabkan badan menjadi lesu, ia juga boleh mengganggu fungsi kognitif otak.

    Pengkaji mendapati kawalan impuls dan keupayaan atlet untuk membuat keputusan secara rasional terjejas dengan teruknya apabila berlatih pada aras tinggi terlalu lama.

    Merungkai kaitan fizikal dan mental

    Idea asal untuk kajian ini mula diusulkan oleh Institut Sukan, Kepakaran dan Prestasi Kebangsaan Perancis (INSEP).

    Pusat ini bertanggungjawab untuk melatih atlet negara mereka bagi temasya sukan besar seperti sukan Olimpik.

    Selepas menjalani aktiviti fizikal yang berkeamatan tinggi, para atlet mengalami overtraining syndrome, menyebabkan prestasi mereka merudum.

    Pasukan pengkaji yang diketuai oleh Dr Bastien Blain mahu melihat, sama ada kelesuan yang sama turut dialami oleh otak atlet akibat daripada rejim latihan aras tinggi.

    Bagi tujuan itu, 37 atlet sukan ketahanan (endurance) kompetitif diambil sebagai peserta dengan purata usia 35 tahun.

    Peserta dibahagikan kepada dua kumpulan dan diberikan tugas yang berbeza – sama ada untuk meneruskan latihan biasa mereka atau untuk berlatih 40% lebih tinggi berbanding kadar latihan biasa mereka, selama 3 minggu. 

    Melihat fungsi kognitif otak

    bersenam di bulan puasa

    Penilaian subjektif peserta berkaitan tahap kelesuan mereka direkodkan melalui borang kaji selidik dalam setiap 2 hari.

    Pada hari rehat (tiada latihan), para peserta dikehendaki menjalani siri latihan kognitif untuk menilai keupayaan mereka untuk membuat keputusan.

    Antara soalan yang diajukan adalah sama ada mereka lebih menginginkan hadiah wang tunai yang kecil jumlahnya atau mahukan nilai yang lebih besar tetapi perlu menunggu tempoh yang lebih lama.

    Pada masa yang sama, imbasan MRI dilakukan untuk melihat apa yang berlaku di dalam otak peserta semasa menjalani ujian kognitif. 

    Keputusan kajian tersebut mendapati atlet yang menjalani lebih banyak latihan, bertindak dengan kawalan impuls yang minimum dan cenderung untuk memilih ganjaran jangka pendek berbanding ganjaran yang lebih besar tetapi sedikit lama untuk didapatkan.

    Ini selari dengan imbasan MRI yang dilakukan terhadap otak peserta. Imbasan mendapati terdapat pengurangan dalam rangsangan dan aktiviti kawasan prefrontal otak.

    Kawasan prefrontal otak ini bertanggungjawab untuk menguruskan kawalan impuls seseorang dan dalam membuat keputusan yang rasional.

    Menahan isyarat badan memerlukan kekuatan otak

    berapa-kerap-saya-patut-bersenam

    Kajian yang diterbitkan dalam jurnal Current Biology ini mencadangkan bahawa kedua-dua usaha fizikal dan mental memerlukan kawalan kognitif.

    Kerap bersenam pada tahap yang tinggi akan memerlukan kawalan kognitif yang banyak.

    Desakan kawalan kognitif yang berterusan ini akan menyebabkan kepenatan tubuh dan juga otak.

    Kawalan kognitif yang banyak dan berterusan ini digunakan untuk menekan isyarat fizikal seperti rasa sakit dan keletihan badan. 

    Sebagai rumusan, walaupun sukan ketahanan seperti berbasikal dan berlari itu secara amnya bagus untuk kesihatan, kajian ini menyokong pendapat bahawa berlebihan dalam bersenam boleh mengakibatkan kesan buruk kepada otak.

    Seperti perkara lain dalam kehidupan, lakukannya dalam kadar yang sederhana.

    Jika anda merasakan diri anda terlalu kerap bersenam, pastikan anda mendapatkan rehat yang secukupnya dan menyusun jadual latihan yang lebih longgar.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Gabriel Tang Pei Yung

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Ahmad Wazir Aiman Mohd Abdul Wahab · Disemak pada 27/11/2020

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan