backup og meta

Kesan Buruk Jika Selalu Berbuka Puasa dengan Makanan Bergoreng

Disemak secara perubatan oleh Dr. Aisyah Syahira Abdul Hamid · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Muhamad Firdaus Rahim · Disemak pada 13/05/2022

    Kesan Buruk Jika Selalu Berbuka Puasa dengan Makanan Bergoreng

    Salah satu kebiasaan orang Malaysia ketika berbuka puasa adalah memakan makanan bergoreng, sama ada popia goreng, pisang goreng, tempe goreng, tauhu goreng, dan lain-lain. Makanan bergoreng menjadi menu wajib orang Malaysia ketika berbuka puasa. Jika tiada makanan bergoreng dalam hidangan berbuka puasa, rasanya agak pelik. Namun, di sebalik kelazatan rasanya, terselit kesan buruk untuk kesihatan jika anda berbuka puasa dengan makanan bergoreng.

    Kesan buruk berbuka puasa dengan makanan bergoreng

    Kandungan lemak dalam minyak yang ada pada makanan bergoreng membuatkan ia sukar dicerna, terutamanya ketika ia menjadi makanan pertama yang dimakan selepas seharian berpuasa. Bayangkan ketika perut kosong selepas berpuasa seharian, perut harus mencerna lemak yang ada pada makanan bergoreng tersebut. Tentunya saluran pencernaan perlu bekerja lebih keras untuk dapat mencerna lemak tersebut. Kerana sukar untuk dicerna, proses untuk mencerna akan memakan masa yang lama serta boleh mengganggu dan menghalang saluran pencernaan untuk mencerna zat nutrisi yang lain.

    Kerana makanan bergoreng lebih lama dicerna, perut tidak cepat berasa kenyang. Akibatnya, anda akan menambah makan makanan bergoreng lagi dan lagi, sehingga menyebabkan anda terlebih makan. Kadangkala, anda mungkin tidak sedar sudah makan terlalu banyak makanan bergoreng. Setelah berhenti makan, baru anda akan berasa perut sudah penuh dan kenyang.

    Berbuka puasa dengan makanan bergoreng boleh menyebabkan simptom yang berbeza-beza bagi setiap orang. Jika anda mempunyai saluran pencernaan yang sensitif, makanan bergoreng boleh merangsang asid dan kandungan dalam perut naik semula ke esofagus, yang boleh menyebabkan heartburn (pedih ulu hati). Kandungan lemak tepu yang ada pada makanan bergoreng juga boleh menyebabkan asid perut naik semula ke esofagus.

    Selain itu, kesukaran mencerna lemak dan kandungan serat yang sangat sedikit pada makanan bergoreng boleh menyebabkan sembelit. Sebahagian orang mungkin juga merasakan tekak gatal selepas makan makanan bergoreng. Hal ini kerana terdapat kandungan akrolein pada makanan tersebut yang menyebabkan rasa gatal. Akrolein ini terbentuk pada minyak yang sudah dipakai berkali-kali.

    Faktor utama yang membuatkan makanan bergoreng tidak sihat sebenarnya terletak pada minyak yang dipakai untuk menggorengnya. Kesannya pada kesihatan bergantung kepada jenis minyak atau lemak yang digunakan untuk menggoreng, cara menggoreng (sama ada dengan cara deep fried atau pan fried), kekerapan minyak yang dipakai untuk menggoreng (semakin sedikit dipakai semakin baik), dan berapa banyak garam yang ditambah pada makanan bergoreng tersebut.

    Kesan jangka panjang pengambilan makanan bergoreng dengan kerap

    Makanan bergoreng dikenali mengandungi lemak jahat bagi badan. Lemak trans dalam makanan bergoreng dapat meningkatkan kadar low-density lipoprotein (LDL) atau biasa dikenali dengan lemak jahat, dan menurunkan kadar high-density lipoprotein (HDL) atau lemak baik di dalam tubuh. Lemak tepu dan lemak trans yang ada pada makanan bergoreng boleh terkumpul dan menyebabkan pembentukan plak pada arteri di dalam badan. Plak ini boleh menghalang aliran darah dan boleh berkembang menyebabkan penyakit jantung dan strok.

    Selain penyakit jantung dan strok, pengambilan makanan bergoreng dengan kerap juga boleh menyebabkan kanser. Perubahan struktur kimia pada minyak yang digoreng terjadi disebabkan pengoksidaan, yang juga mengubah struktur zat nutrisi dalam makanan. Makanan kehilangan vitamin dan mineral ketika digoreng, dan berubah menjadi coklat kerana mineral karbon terbakar ketika digoreng.

    Menggoreng makanan dalam suhu yang tinggi boleh mencetuskan pembentukan sejumlah karsinogen (bahan yang berkaitan dengan kanser), seperti akrilamida (dijumpai pada makanan tinggi karbohidrat yang digoreng, seperti kentang goreng), amina heterosiklik, dan hidrokarbon aromatik polisiklik (zat kimia yang terbentuk apabila daging dimasak dalam suhu tinggi). Pengambilannya dengan kerap boleh merangsang perkembangan sel kanser di dalam badan, terutamanya kanser prostat pada lelaki.

    Alternatif makanan bergoreng yang lebih sihat

    Untuk mencegah hal tersebut daripada terjadi, sebaiknya kawal penggunaan makanan bergoreng anda mulai dari sekarang. Jika ingin berbuka puasa dengan makanan bergoreng, sebaiknya anda memasaknya sendiri. Makanan bergoreng yang dibeli di luar kebiasaannya menggunakan minyak yang sudah dipakai berulang kali sehingga boleh mencetuskan pembentukan zat-zat yang berbahaya bagi tubuh dan kesihatan.

    Ada baiknya anda cuba alternatif makanan yang lain. Beberapa contoh makanan berbuka yang lebih sihat selain makanan bergoreng adalah kolak, kuih manis atau kuih basah, berbagai macam buah-buahan, puding, siomay atau dim sum.

    Anda mungkin berminat untuk membaca artikel:

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Aisyah Syahira Abdul Hamid

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Muhamad Firdaus Rahim · Disemak pada 13/05/2022

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan