backup og meta

Bunga Cengkih Ada Kesan Buruk Kalau Tersalah Guna! Ini 7 Bahaya Cengkih Ramai Tak Tahu!

Disemak secara perubatan oleh Panel Perubatan Hello Doktor


Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 03/07/2023

    Bunga Cengkih Ada Kesan Buruk Kalau Tersalah Guna! Ini 7 Bahaya Cengkih Ramai Tak Tahu!

    Bunga cengkih biasa digunakan sebagai rempah dalam masakan. Ini disebabkan baunya yang harum yang memberikan aroma wangi pada lauk yang dimasak. Namun tahukah anda, terdapat juga beberapa keburukan bunga cengkih? Apakah bahaya bunga cengkih ini? Lihat penerangan kami di bawah ini. 

    Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Pemakanan Sihat, sila dapatkannya di sini.

    Nutrisi bunga cengkih

    Dalam satu sudu teh (2 gram) cengkih yang ditumbuk, ia mengandungi 6 kalori sahaja.

    Walaupun saiznya kecil, cengkih adalah sumber yang sangat baik untuk serat dan mengandungi sedikit vitamin K.

    Vitamin K merupakan vitamin larut dalam lemak yang diperlukan untuk pembekuan darah.

    Ia juga sumber yang kaya dengan mangan, iaitu mineral penting untuk menjaga fungsi otak dan membina tulang yang kuat.

    7 keburukan bunga cengkih

    Walaupun ia lebih sinonim sebagai bahan masakan, namun bunga cengkih turut digunakan dengan meluas dalam dunia perubatan moden dan tradisional.

    Akan tetapi, seperti kebanyakan bahan semula jadi lain, penggunaan cengkih atau minyak cengkih juga boleh menyebabkan beberapa kesan sampingan.

    Kesan sampingan ini boleh berlaku apabila ia tidak digunakan dengan betul atau secara berlebihan.

    Berikut adalah 7 bahaya bunga cengkih jika kita tersalah guna.

    #1. Iritasi pada bahagian seksual

    Penggunaan cengkih atau minyak cengkih pada bahagian sensitif seperti organ seksual boleh menyebabkan iritasi.

    Ini kerana, cengkih mengandungi sebatian dikenali sebagai eugenol yang boleh menyebabkan kerengsaan kulit.

    Oleh itu, adalah disarankan untuk tidak menggunakannya pada bahagian sensitif tubuh anda tanpa nasihat perubatan.

    Beberapa kajian ada menunjukkan bahawa, eugenol boleh menyebabkan kerengsaan pada kulit dan mukosa dan ia memerlukan lebih banyak penjagaan jika digunakan pada anggota badan yang sensitif. 

    #2. Keburukan bunga cengkih: Reaksi alergi

    keburukan bunga cengkih

    Sesetengah orang juga mungkin akan mengalami reaksi alergi terhadap cengkih atau minyak cengkih.

    Tanda-tanda reaksi alergi boleh merangkumi gatal-gatal, kemerahan dan bengkak.

    Malah, dalam kes yang jarang berlaku, ia juga boleh menyebabkan kesukaran bernafas.

    Jika anda mengalami tanda-tanda ini selepas penggunaan cengkih, hentikan penggunaannya dan dapatkan rawatan perubatan dengan segera.

    Alergi terhadap cengkih mungkin jarang berlaku, namun ianya boleh menjadi serius jika tidak ditangani dengan betul.

    #3. Penurunan drastik tahap gula darah

    Cengkih juga telah digunakan dalam perubatan tradisional untuk membantu mengawal tahap gula darah.

    Namun, jika digunakan bersama dengan ubat-ubatan antidiabetik, ia boleh menyebabkan penurunan yang drastik dalam paras gula darah lalu mengakibatkan hipoglisemia.

    Oleh itu, mereka yang mengambil ubat-ubatan diabetes perlu berhati-hati semasa menggunakan cengkih.

    Sebaiknya, berbincanglah dengan doktor sebelum menggunakan cengkih dalam diet anda.

    #4. Keburukan bunga cengkih: Meningkatkan pendarahan

    Bunga cengkih mengandungi sebatian eugenol yang boleh bertindak sebagai agen pencair darah.

    Ini boleh meningkatkan risiko pendarahan, terutamanya bagi individu yang mengambil ubat antikoagulan atau yang akan menjalani pembedahan.

    Pastikan anda memaklumkan kepada doktor jika anda sedang menggunakan cengkih sebelum sebarang prosedur pembedahan.

    #5. Keracunan

    keburukan bunga cengkih

    Pengambilan cengkih atau minyak cengkih dalam jumlah besar juga berpotensi menyebabkan keracunan.

    Antara gejala keracunan cengkih adalah seperti sakit perut, muntah, cirit-birit, lemah badan, denyutan jantung yang cepat, kejang dan juga koma.

    Jika anda atau seseorang yang anda kenali mengalami gejala-gejala ini selepas penggunaan cengkih, dapatkan rawatan perubatan dengan kadar segera.

    #6. Bahaya bunga cengkih: Masalah jantung

    Beberapa kajian telah menunjukkan bahawa, penggunaan cengkih dalam jumlah besar boleh menyebabkan peningkatan denyutan jantung.

    Ini kemudiannya menyebabkan aritmia atau gangguan pada irama jantung.

    keburukan bunga cengkih

    Walaupun lebih banyak penyelidikan masih diperlukan untuk mengesahkan perkaitan dan keburukan bunga cengkih ini, namun adalah penting untuk menggunakan cengkih dengan berhati-hati, terutamanya jika anda mempunyai sebarang masalah jantung sedia ada.

    #7. Keburukan bunga cengkih: Gangguan fungsi hati

    Penggunaan cengkih dalam jangka panjang dan dalam jumlah yang tinggi boleh menyebabkan gangguan pada fungsi hati.

    Cengkih boleh mempengaruhi enzim hati yang kemudiannya boleh mengakibatkan kerosakan pada hati.

    Kajian ada menunjukkan, penggunaan cengkih dalam dos yang tinggi boleh mengganggu fungsi hati, walaupun mekanismenya secara tepat masih belum jelas.

    Kesimpulan 

    Walaupun bunga cengkih memiliki banyak manfaat kesihatan, tetapi penggunaan secara berlebihan atau tidak tepat boleh membawa kepada kesan sampingan yang tidak anda jangkakan.

    Oleh itu, gunakan cengkih dan produk-produk hasilan cengkih dengan berhati-hati dan dapatkan nasihat perubatan jika perlu.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Panel Perubatan Hello Doktor


    Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 03/07/2023

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan