Pernahkah anda dengar mengenai cara diet berkesan dalam masa seminggu – intermittent fasting? Sempena tahun baru, pasti ramai mempunyai semangat yang berkobar-kobar untuk menguruskan badan.
Mungkin ada yang berminat dan ingin mencubanya. Katanya, diet berpuasa ini bukan sahaja dapat menguruskan badan, malah ada banyak lagi kebaikan lain yang dapat dinikmati oleh pengamalnya.
Oleh sebab itu, mungkin ramai yang sudah mencari informasi tambahan mengenai intermittent fasting. Disebabkan ramai yang sudah biasa berpuasa, diet jenis ini mungkin lebih mudah untuk diikuti.
Walau bagaimanapun, bagaimana diet berkesan ini dapat menurunkan berat badan seseorang? Selain itu, sejauh manakah kemujarabannya?
Untuk mendapatkan lebih banyak info berkenaan Pemakanan Sihat, anda boleh klik di sini.
Apa maksud intermittent fasting?
Intermittent fasting merupakan tempoh berpuasa pada masa yang sama setiap hari ataupun minggu. Ada beberapa pendekatan yang popular untuk diet jenis ini, antaranya adalah:
- Berpuasa selang sehari. Makan secara normal pada satu hari dan berpuasa sepenuhnya pada hari seterusnya.
- Puasa 5:2. Makan secara normal 5 kali seminggu dan berpuasa 2 hari kemudiannya.
- Makan dalam masa terhad. Makan secara normal, namun hanya dalam jangka masa 8 jam setiap hari. Sebagai contoh, tidak mengambil sarapan dan makan tengah hari, tetapi makan malam seperti biasa.
Intermittent fasting bukanlah satu diet yang boleh diikuti oleh semua orang. Ia mungkin sukar pada mulanya.
Tetapi, apabila badan telah menyesuaikan diri, anda akan kurang rasa lapar dan lebih mudah mengawal nafsu makan.
Selain itu, ada juga individu yang tidak digalakkan untuk melakukan intermittent fasting. Amalan mengurangkan makan tidak baik untuk ibu mengandung ataupun mereka yang mempunyai masalah batu karang, gastrik atau diabetes.
Untuk pengetahuan anda, diet ini amat berkesan jika anda berhenti makan pada siang hari dan elakkan mengambil apa-apa makanan pada waktu malam, termasuklah snek.
Kebanyakan mereka yang berjaya menurunkan berat badan selalunya hanya akan makan di antara pukul 10 pagi hinggalah 6 petang.
Bagaimana diet berkesan ini menurunkan berat badan?
Kebanyakan orang faham tentang konsep makan sedikit untuk menurunkan berat badan.
Makan sedikit bermaksud kalori yang diambil juga berjumlah sedikit. Oleh sebab itu, badan akan membakar lebih banyak lemak untuk membekalkan tenaga kepada badan.
Makanan yang kita ambil akan dipecahkan oleh enzim di dalam perut dan berakhir sebagai molekul kecil di dalam saluran darah.
Kemudiannya, semua molekul ini akan dipecahkan menjadi gula dan ditukarkan pula kepada tenaga untuk digunakan sepanjang hari.
Walau bagaimanapun, jika gula ini tidak digunakan, ia akan disimpan di dalam badan sebagai lemak. Tetapi, untuk disimpan sebagai lemak, badan memerlukan hormon insulin untuk membawa molekul gula tersebut untuk disimpan.
Jika kita tidak mengambil sebarang makanan dalam satu jangka masa yang panjang, tahap insulin dalam badan akan menurun. Disebabkan ini, sel lemak akan mula melepaskan gula dalam simpanan untuk digunakan sebagai tenaga.
Apabila tahap insulin kekal rendah, lebih banyaklah lemak yang dapat dibakar oleh badan. Proses ini jika berlaku berulang kali akan menyebabkan penurunan berat badan.
Bolehkah intermittent fasting buatkan kesihatan jadi lebih baik?
Menurunkan berat badan dan aktif bersenam dapat merendahkan risiko anda untuk menghidap sebarang penyakit yang berkaitan dengan obesiti seperti diabetes, apnea tidur, dan beberapa jenis kanser.
Diet ini bukan sahaja dapat menurunkan berat badan, malah, mereka yang melakukan intermittent fasting juga boleh merendahkan kolesterol, mengurangkan lemak pada organ hati dan memperbaiki tekanan darah.
Intermittent fasting berkesan untuk mereka yang ingin berdiet tanpa mengira kalori. Ketika berpuasa, anda masih boleh minum air kosong untuk mengalas perut.
Namun, berbeza dengan diet berkesan yang lain, ketika tempoh 8 jam yang dikhaskan untuk makan, anda boleh makan apa sahaja yang disukai.
Tapi, pastikan anda sentiasa bersederhana dan makan seperti normal dan bukannya ‘balas dendam’ pula, ya!
Cara diet berkesan dengan berpuasa pada waktu tepat!
Sekarang, anda sudah tahu serba sedikit tentang intermittent fasting. Jika dilakukan dengan betul, diet berkesan ini boleh membantu anda untuk menurunkan berat badan dengan lebih sihat dan berkesan.
Selain itu, ada beberapa informasi tambahan yang mungkin dapat membantu jika anda berminat untuk melakukan intermittent fasting:
- Elakkan pengambilan makanan bergula. Sebaiknya, makan lebih banyak buah-buahan dan sayur-sayuran.
- Biarkan badan anda membakar lemak di antara dua masa makan. Jangan sesekali makan snek. Jika anda ingin membakar lemak dengan lebih pantas, lakukan senaman dan kekal aktif sepanjang hari.
- Tidak perlu berpuasa secara ekstrem. Jangan berlebihan jika ingin berpuasa. Sebagai manusia, kita perlu makan untuk kekal bertenaga. Intermittent fasting akan jadi lebih berkesan jika anda mula berpuasa pada awal pagi (7 pagi – 3 petang).
- Elakkan makan snek pada waktu malam.
[embed-health-tool-bmr]