Belviq

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor

Nama AM: Belviq Jenama: Nama Am sahaja. Tiada jenama didapati

Kegunaan

Apa itu Belviq?

Belviq® didapati memberi kesan terhadap isyarat kimia di dalam otak yang mengawal selera makan. Lorcaserin berfungsi dengan membantu anda merasa kenyang dengan jumlah makanan yang lebih kecil.

Belviq® digunakan bersama dengan diet dan senaman untuk merawat obesiti.

Belviq® kadang-kadang digunakan untuk merawat obesiti yang mungkin berkaitan dengan kencing manis, kolesterol tinggi, atau tekanan darah tinggi.

Belviq® tidak akan merawat sebarang punca utama masalah kesihatan (seperti penyakit jantung, kencing manis, tekanan darah tinggi). Teruskan mengambil sebarang ubat lain yang telah ditetapkan oleh doktor anda untuk merawat keadaan ini.

Bagaimanakah kegunaan Belviq?

Ambil Belviq® dengan tepat seperti yang telah ditetapkan oleh doktor anda. Patuhi semua arahan pada label preskripsi anda. Jangan ambil ubat ini dalam jumlah yang lebih besar, lebih kecil atau lebih lama daripada yang disyorkan.

Tablet biasa lazimnya diambil 2 kali sehari. Tablet pelepasan lanjutan pula hanya sekali sehari. Sila patuhi arahan doktor anda.

Jangan hancurkan, mengunyah, atau memecahkan tablet pelepasan lanjutan. Sila telan ia secara keseluruhan.

Anda boleh mengambil Belviq® dengan atau tanpa makanan.

Anda harus hilang sekurang-kurangnya 5% daripada berat badan anda semasa 12 minggu pertama pengambilan Belviq® dan pemakanan yang rendah kalori. Hubungi doktor anda jika anda tidak hilang sekurang-kurangnya 5% daripada berat badan anda selepas mengambil ubat selama 12 minggu.

Belviq® hanyalah sebahagian sahaja daripada program rawatan lengkap yang turut meliputi diet, senaman, kawalan berat badan, dan mungkin ujian gula darah anda. Patuhi diet, ubat, dan rutin senaman anda dengan teliti.

Rekod dengan baik jumlah ubat yang digunakan dari setiap botol baru yang anda dapat. Lorcaserin adalah ubat yang boleh disalahgunakan dan anda perlu sedar jika ada orang yang menggunakan ubat anda dengan tidak betul atau tanpa preskripsi.

Jangan berkongsi Belviq® dengan orang lain. Simpan ubat di tempat di mana orang lain tidak dapat mencapainya.

Bagaimana saya menyimpan Belviq?

Belviq® paling baik disimpan pada suhu bilik dan terlindung dari cahaya matahari dan kelembapan. Bagi mengelakkan kerosakan ubat, anda tidak boleh menyimpan Belviq® di bilik mandi atau peti sejuk. Mungkin ada jenama Belviq® yang berbeza yang mungkin mempunyai keperluan penyimpanan yang berlainan. Adalah penting untuk sentiasa menyemak pakej produk untuk arahan mengenai penyimpanan, atau boleh bertanya kepada ahli farmasi anda. Untuk keselamatan, anda perlu menyimpan semua ubat jauh dari capaian kanak-kanak dan binatang peliharaan.

Anda tidak boleh membuang Belviq® ke tandas atau tuangkannya ke dalam longkang kecuali diarahkan untuk berbuat demikian. Adalah penting untuk membuang produk ini dengan betul apabila ia tamat tempoh atau tidak lagi diperlukan. Rujuk ahli farmasi anda untuk maklumat lanjut tentang cara membuang produk anda dengan selamat.

Langkah berjaga-jaga & amaran

Apakah yang perlu saya tahu sebelum menggunakan Belviq?

Sebelum mengambil ubat ini, sila beritahu doktor anda sekiranya:

  • Anda mengandung atau menyusu badan. Ini kerana, semasa anda mengandung atau menyusukan bayi, anda hanya perlu mengambil ubat-ubatan atas cadangan doktor.
  • Anda mengambil apa-apa ubat lain. Ini termasuk ubatan yang anda ambil yang boleh didapati tanpa preskripsi, seperti ubat-ubatan herba dan suplemen.
  • Anda mempunyai alahan dengan bahan aktif atau tidak aktif Belviq® atau ubatan lain.
  • Anda mempunyai sebarang penyakit, gangguan, atau keadaan perubatan yang lain.

Untuk memastikan lorcaserin adalah selamat untuk anda, beritahu doktor anda jika anda mempunyai:

  • Diabetes
  • Kegagalan jantung kongestif
  • Gangguan injap jantung
  • Keadaan jantung seperti “sekatan jantung AV” (darjah ke-2 atau ke-3)
  • Anemia sel sabit
  • Leukemia atau myeloma
  • Penyakit buah pinggang atau penyakit hati
  • Kecacatan fizikal zakar (seperti penyakit Peyronie)

Adakah selamat untuk mengambil Belviq semasa mengandung atau menyusukan bayi?

Tiada maklumat yang mencukupi tentang keselamatan menggunakan ubat ini semasa hamil dan menyusukan bayi. Sila sentiasa berunding dengan doktor anda untuk melihat potensi manfaat dan risiko sebelum mengambil ubat ini. Belviq® adalah pada kategori risiko kehamilan tahap X, menurut badan Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan Amerika Syarikat (FDA).

Rujukan kategori risiko kehamilan FDA adalah seperti berikut:

  • A=Tiada risiko
  • B=Tiada risiko menurut beberapa kajian
  • C=Mungkin terdapat risiko
  • D=Bukti positif berkenaan risiko
  • X=Kontraindikasi
  • N=Tidak diketahui

Kesan Sampingan

Apakah kesan sampingan ubat ini?

Dapatkan bantuan perubatan kecemasan jika anda mempunyai tanda-tanda tindak balas alergi terhadap Belviq®: bintat urtikaria; kesukaran bernafas; bengkak pada muka, bibir, lidah, atau tekak anda.

Berhenti menggunakan Belviq® dan hubungi doktor anda dengan segera jika anda mempunyai:

  • Perubahan yang luar biasa pada perasaan atau tingkah laku, pemikiran ingin bunuh diri atau mencederakan diri sendiri
  • Perasaan seolah-olah sedang berdiri di sebelah atau berada di luar tubuh badan anda
  • Masalah ingatan, masalah menumpukan perhatian
  • Pembengkakan payu dara (pada wanita atau lelaki), lelehan pada puting
  • Penegakan zakar yang menyakitkan atau bertahan lebih lama daripada 4 jam
  • Masalah jantung – kadar degupan jantung yang cepat, masalah pernafasan, pening, kelemahan yang berterusan, atau bengkak di lengan, tangan, betis, atau kaki anda
  • Kadar serotonin yang tinggi di dalam badan – fikiran yang bergolak, halusinasi, demam, kadar jantung cepat, refleks yang terlalu aktif, loya, muntah, cirit-birit, hilang koordinasi, pengsan
  • Reaksi sistem saraf yang teruk – kekakuan otot, demam panas, berpeluh, kekeliruan, degupan jantung cepat atau tidak selari, terketar-ketar, rasa seperti anda mungkin pengsan.

Kesan sampingan yang biasa termasuklah:

  • Sakit kepala, pening, rasa letih
  • Mulut kering, batuk
  • Mual, sembelit
  • Sakit belakang
  • Kadar gula darah rendah (pada orang yang menghidap diabetes)

Tidak semua orang mengalami kesan sampingan ini. Mungkin terdapat beberapa kesan sampingan yang tidak disenaraikan di atas. Jika anda mempunyai sebarang kebimbangan mengenai apa-apa kesan sampingan, sila berjumpa doktor atau ahli farmasi anda.

Tindakbalas

Apakah ubat yang mempunyai tindak balas Belviq?

Belviq® boleh mempunyai tindak balas dengan ubat lain yang anda ambil, di mana ia boleh mempengaruhi prestasi atau meningkatkan risiko kepada kesan sampingan yang lebih serius. Untuk mengelakkan sebarang tindak balas, anda harus menyimpan senarai nama ubat yang digunakan (termasuk ubat yang mendapat preskripsi, tidak berpreskripsi dan produk-produk herba lain) dan kongsikannya bersama doktor dan ahli farmasi anda. Untuk keselamatan anda, jangan mula menggunakan, berhenti atau mengubah dos ubat anda tanpa sebarang kebenaran daripada doktor.

Ubatan yang boleh bertindak balas terhadap ubat ini adalah:

  • Cabergoline
  • Linezolid
  • Lithium
  • John’s Wort
  • Tramadol
  • Tryptophan
  • Mana-mana jenis antidepresan
  • Ubat selesema atau batuk yang mengandungi dextromethorphan (penahan batuk)
  • Ubat disfungsi erektil (mati pucuk) – avanafil, sildenafil, tadalafil, Cialis, Levitra, Viagra, dan lain-lain
  • Ubat untuk merawat penyakit mental, keresahan, atau gangguan perasaan
  • Jenis ubat sakit kepala migrain “triptan” – seperti almotriptan, frovatriptan, rizatriptan, sumatriptan, zolmitriptan, Imitrex, Maxalt, Zomig, dan lain-lain

Adakah makanan atau alkohol bertindak balas Belviq?

Belviq® mungkin mempunyai tindak balas dengan makanan dan alkohol, dengan mengubah cara ia berfungsi ataupun meningkatkan kesan sampingan yang serius. Sila bertanya kepada doktor atau ahli farmasi tentang makanan dan minuman beralkohol yang berpotensi mengakibatkan tindak balas sebelum menggunakannya.

Apakah masalah kesihatan yang mungkin bertindak balas dengan Belviq?

Belviq® boleh bertindak balas dengan keadaan kesihatan anda. Tindak balas ini akan mengakibatkan keadaan anda semakin teruk atau mengubah cara ubat ini berfungsi. Adalah sangat penting untuk anda memberitahu doktor dan ahli farmasi berkenaan keadaan kesihatan anda.

Penggunaan / Dos

Maklumat yang diberikan tidak menggantikan nasihat perubatan. SILA berunding dengan doktor atau ahli farmasi anda sebelum menggunakan ubat ini.

Apakah dos yang disyorkan untuk dewasa?

Dos yang disyorkan untuk Belviq® adalah 10 mg diberikan melalui mulut dua kali sehari. Jangan melebihi dos yang disyorkan.

Apakah dos yang disyorkan untuk kanak-kanak?

Dos yang sesuai belum pernah ditetapkan bagi pesakit pediatrik. Ia mungkin tidak selamat bagi anak anda. Adalah penting untuk memahami tahap keselamatan ubat ini sebelum menggunakannya. Sila rujuk doktor atau ahli farmasi anda untuk maklumat lanjut.

Apakah bentuk penyediaan ubat ini?

Belviq® boleh didapati dalam bentuk dan kekuatan dos yang berikut:

  • Tablet: lorcaserin hydrochloride hemihydrate 10mg

Apakah yang perlu saya lakukan jika berlakunya kecemasan atau terlebih dos?

Jika terdapat kecemasan atau berlaku terlebih dos, sila hubungi perkhidmatan kecemasan atau pergi terus ke unit kecemasan di hospital yang terdekat.

Apakah yang perlu saya lakukan jika terlepas dos?

Jika anda terlepas atau terlupa mengambil dos Belviq®, sila ambil ubat ini dengan kadar segera. Walau bagaimanapun, jika ia sudah hampir melebihi separuh masa dos sehingga pengambilan dos yang baru, anda boleh abaikan dos yang terlepas dan sila ambil dos yang ditetapkan seperti biasa. Jangan ambil dos dua kali ganda sebagai ganti.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Rujukan

Tarikh Reviu Mei 29, 2018 | Kali terakhir kemaskini: Mei 29, 2018

Anda mungkin berminat dengan artikel berikut