Lambert-Eaton Myasthenic Syndrome: Lemah Otot yang Sering Didapati pada Pesakit Kanser Paru-paru

Oleh

Sindrom myasthenic Lambert-Eaton (LEMS) adalah keadaan yang sangat jarang berlaku yang menjejaskan isyarat yang dihantar daripada saraf ke otot.

Ini bermakna otot tidak dapat mengecut dengan betul, mengakibatkan kelemahan otot dan pelbagai simptom lain.

Kira-kira separuh daripada kes LEMS berlaku pada pesakit kanser paru-paru yang berusia pertengahan umur atau lebih tua. Kes yang selebihnya tidak dikaitkan dengan kanser dan boleh bermula pada sebarang usia.

LEMS juga dikenali sebagai sindrom myasthenic atau sindrom Eaton-Lambert.

Simptom LEMS

Simptom LEMS berkembang secara beransur-ansur selama beberapa minggu atau bulan.

Simotom utama adalah kelemahan pada kaki, lengan, leher dan muka, serta masalah dengan fungsi automatik tubuh, seperti mengawal tekanan darah.

Simptom yang biasa berlaku termasuklah:

  • sakit otot
  • kesukaran berjalan dan naik tangga
  • kesukaran mengangkat objek atau mengangkat tangan
  • kelopak mata jatuh, mata kering dan penglihatan kabur
  • masalah menelan
  • pening apabila berdiri
  • mulut kering
  • sembelit
  • disfungsi erektil (mati pucuk) pada lelaki
  • daya otot yang bertambah baik sewaktu bersenam, tetapi merosot apabila senaman berlanjutan

Jumpa doktor anda jika anda mempunyai gabungan simptom-simptom ini.

Punca LEMS

LEMS berlaku disebabkan oleh pertahanan semula jadi badan (sistem imun) yang tersilap menyerang dan merosakkan saraf.

Biasanya, isyarat saraf bergerak ke bawah saraf dan merangsang hujung saraf untuk melepaskan bahan kimia yang dipanggil acetylcholine. Bahan kimia ini kemudiannya membantu mengaktifkan otot.

Jika hujung saraf rosak, jumlah acetylcholine yang dihasilkannya berkurangan, yang bermaksud isyarat saraf tidak sampai kepada otot dengan betul.

Punca sistem imun menyerang saraf tidak diketahui. Walaupun sering dikaitkan dengan kanser paru-paru, ia boleh berlaku pada orang tanpa kanser.

LEMS tidak diwarisi.

Ujian untuk LEMS

Doktor anda akan mula memeriksa sejarah perubatan anda, bertanya tentang simptom anda, menjalankan pemeriksaan fizikal, dan menguji refleks anda.

Jika mereka fikir anda mempunyai masalah dengan saraf anda, mereka mungkin merujuk anda kepada pakar yang dipanggil pakar neurologi untuk ujian lanjut bagi menentukan sebabnya.

Ujian yang mungkin anda jalani termasuklah:

  • Ujian darah – ujian darah dapat mengesan bahan-bahan dalam darah (antibodi) yang disebabkan oleh sistem imun yang menyerang saraf
  • Ujian saraf – jarum mungkin dimasukkan ke dalam kulit anda untuk memeriksa sejauh mana isyarat sampai daripada saraf ke otot
  • Imbasan – anda mungkin perlu menjalani imbasan tomografi berkomputer (CT) atau tomografi pelepasan positron (PET) untuk memeriksa jika terdapat kanser paru-paru

Sekiranya imbasan awal tidak menemui kanser, anda mungkin dinasihatkan untuk menjalani imbasan setiap beberapa bulan selama beberapa tahun untuk memastikan ia tidak berkembang di kemudian hari.

Rawatan untuk LEMS

Tidak ada ubat untuk LEMS pada masa kini, tetapi beberapa rawatan dapat membantu mengurangkan simptom. Ini termasuklah:

  • rawatan kanser paru-paru: jika anda mempunyai kanser paru-paru, merawatnya boleh meningkatkan simptom LEMS
  • ubat yang membantu isyarat saraf mencapai otot: ubat yang biasa digunakan termasuk 3,4-diaminopyridine dan pyridostigmine
  • ubat untuk mengurangkan aktiviti sistem imun (imunosuppressants): ubat yang biasa digunakan termasuklah tablet steroid (prednisolone), azathioprine dan methotrexate
  • terapi imunoglobulin: suntikan antibodi daripada darah penyumbang yang dapat menghentikan serangan sistem imun pada saraf buat sementara waktu
  • plasmapheresis – prosedur untuk menapis darah anda melalui mesin yang menyaring antibodi yang menyerang saraf anda

Ubat adalah rawatan utama, walaupun terapi imunoglobulin dan plasmapheresis mungkin disyorkan dalam jangka pendek, atau jika kelemahan otot teruk dan rawatan lain tidak membantu.

Masa depan pesakit LEMS

Sesetengah orang bertindak balas dengan baik untuk rawatan dan akhirnya dapat berhenti mengambil ubat, walaupun ini mungkin setelah beberapa tahun.

Orang lain bertindak balas dengan kurang baik dan mendapati keadaan itu mempengaruhi aktiviti harian mereka dan kualiti hidup.

LEMS tidak menjejaskan jangka hayat pesakit jika bukan disebabkan kanser. Tetapi pesakit kanser paru-paru yang mengalami LEMS cenderung mempunyai jangka hayat yang lebih pendek kerana ia sering tidak didiagnosis sehingga kanser telah merebak, dan sangat sukar untuk dirawat pada masa tersebut.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat, diagnosis atau rawatan perubatan.

Rujukan
Ingin menjalani kehidupan yang lebih sihat?
Dapatkan tips dan informasi kesihatan serta gaya hidup sihat terus ke email anda
Anda mungkin berminat dengan artikel berikut