Apa itu Psoriasis?

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh hellodoktor

Definisi

Apa itu Psoriasis?

Psoriasis ialah penyakit kulit kronik dengan sel kulit yang terhasil terlalu cepat dan terkumpul membentuk tompok kering dan berwarna keputihan di atas permukaan kulit. Simptom psoriasis datang dan pergi sama ada secara sederhana atau teruk serta menyebabkan kegatalan yang teruk. Psoriasis boleh berlaku disebabkan kecederaan ringan, tekanan, jangkitan, pendedahan kepada cuaca sejuk dan kering, obesiti, penyakit autoimun atau tanpa punca yang jelas.

Apakah kebarangkalian Psoriasis?

Psoriasis biasa berlaku terutamanya pada orang dewasa. Ia berlaku kepada lelaki dan wanita dengan nisbah yang sama. Anda boleh mengurangkan risiko menghadapi psoriasis dengan mengurangkan faktor risiko. Sila berbincang dengan doktor anda untuk maklumat lanjut.

Simptom-simptom

Apakah simptom-simptom Psoriasis?

Tanda dan simptom Psoriasis berbeza antara pesakit tetapi antaranya termasuklah:

  • Tompok merah pada kulit yang dilitupi sisik keputih-putihan
  • Tompok sisik yang kecil (kebiasaannya dalam kanak-kanak)
  • Kulit kering dan merekah yang mungkin berdarah
  • Rasa gatal dan pedih
  • Kuku tebal dan beralur
  • Sendi bengkak dan keras

Kulit kepala, muka, siku, tangan, lutut, kaki, dada, bahagian bawah belakang, dan antara punggung selalunya mengalami simptom di samping kuku tangan dan kaki.

Hampir satu perempat pesakit psoriasis mengalami simptom artritis yang semakin teruk apabila psoriasis bertambah mudarat.

Terdapat tanda atau simptom yang tidak tersenarai di atas. Jika anda mempunyai sebarang kemusykilan tentang sebarang simptom, sila hubungi doktor anda.

Bila saya harus berjumpa doktor?

Jika anda mengesyaki anda mengalami psoriasis, temui doktor anda untuk pemeriksaan. Maklumkan doktor anda juga jika psoriasis:

  • Bertambah buruk dan bukan sekadar menyusahkan bahkan menyebabkan rasa tidak selesa dan sakit.
  • Menyebabkan kerisauan terhadap rupa kulit anda.
  • Menyebabkan masalah sendi, seperti sakit, bengkak atau tidak boleh melakukan aktiviti harian.
  • Menyebabkan kesukaran melaksanakan aktiviti rutin.

Jika anda mempunyai sebarang tanda atau simptom yang disenaraikan di atas atau anda mempunyai sebarang soalan, sila hubungi doktor anda. Tubuh badan setiap orang memberi tindak balas secara berbeza. Adalah lebih baik untuk berbincang dengan doktor anda tentang rawatan terbaik mengenai situasi anda.

Punca

Apakah Punca Psoriasis?

Punca utama psoriasis tidak diketahui namun dipercayai disebabkan respon autoimun oleh T limfosit atau sel T, sejenis sel darah putih yang berfungsi untuk menyerang bahan asing seperti virus atau bakteria. Dalam psoriasis, sel T tersilap menyerang sel kulit yang sihat seperti hendak memulihkan luka atau melawan jangkitan. Psoriasis tidak boleh dijangkiti dan tidak menyebabkan kanser.

Faktor-faktor Risiko

Apakah yang meningkatkan risiko saya kepada Psoriasis?

Faktor tertentu boleh meningkatkan risiko mengalami psoriasis:

  • Kecederaan pada kulit seperti terluka, terlelas, gigitan serangga dan selaran matahari
  • Meminum terlalu banyak alkohol
  • Merokok
  • Tekanan
  • Perubahan hormon, terutamanya dalam wanita (sewaktu baligh dan menopaus)
  • Mengambil ubat tertentu seperti lithium, ubat antimalarial, ubat anti keradangan termasuklah ibuprofen, penyekat ACE (untuk merawat tekanan darah tinggi) dan penyekat beta (untuk merawat kegagalan jantung).
  • Sakit tekak
  • Penyakit autoimun lain, seperti HIV, menyebabkan psoriasis mudah bertambah teruk.

Tidak mempunyai faktor risiko tidak bermakna anda tidak akan mendapat psoriasis. Faktor ini untuk rujukan anda sahaja. Hubungi doktor anda untuk maklumat lanjut.

Diagnosis dan Rawatan

Maklumat yang diberikan bukan pengganti untuk sebarang nasihat perubatan. SILA berunding dengan doktor anda untuk maklumat lanjut.

Bagaimana pesakit Psoriasis didiagnosis?

Doktor boleh membuat diagnosis berdasarkan pemeriksaan kulit, kuku dan kulit kepala. Doktor juga mungkin akan melakukan biopsi kulit jika diagnosis tidak jelas.

Bagaimana pesakit Psoriasis dirawat?

Psoriasis tidak boleh disembuhkan tetapi rawatan dapat mengawal simptom.

Anda patut mengelakkan faktor pencetus dan menggunakan ubat untuk mengawal dan mengurangkan simptom. Langkah lain termasuklah menjaga kebersihan kulit, elakkan kekeringan kulit dan luka, dedahkan kulit kepada matahari secara sederhana sahaja, dan mandian oatmeal. Rawatan untuk psoriasis tahap ringan dan sederhana termasuklah krim topikal, losyen, syampu dan salap yang mengandungi tar arang batu. Ini akan mengurangkan keradangan (kemerahan), sisik dan kegatalan. Steroid dan ubat anti keradangan disapukan ke kulit (topikal) adalah untuk psoriasis ringan atau sederhana dan sebagai terapi kombinasi untuk kes yang lebih teruk.

Rawatan lain termasuklah asid salisilik dalam minyak mineral (membuang plak) PUVA (psoralen dan pendedahan kepada cahaya ultraviolet UVA), ubat imunosupresan (methotrexate, isotretinoin), antihistamin (untuk kegatalan) dan antibiotik (untuk jangkitan bakteria sekunder).

Perubahan gaya hidup & rawatan sampingan

Apakah perubahan gaya hidup dan rawatan sampingan yang boleh saya ambil untuk menangani Psoriasis?

Perubahan gaya hidup dan rawatan sampingan berikut mungkin dapat membantu anda menangani psoriasis:

  • Ambil ubat seperti yang diarahkan doktor
  • Maklumkan doktor tentang sebarang ubat yang anda ambil
  • Dedahkan kulit kepada matahari sekadarnya
  • Jaga kebersihan kulit
  • Hadiri temujanji susulan dengan doktor
  • Perhatikan keadaan kulit jika mengalami jangkitan bakteria. Kemerahan sekitar kawasan penyakit, nanah, rasa sakit atau bengkak pada kelenjar limfa dan demam adalah tanda-tandanya
  • Elakkan luka pada kulit dan kulit kering. Ini dapat mencetuskan penyakit

Hubungi doktor jika

  • Tanda jangkitan kelihatan
  • Keadaan kulit bertambah teruk, atau terdapat kesan baru walaupun setelah terapi
  • Terdapat pustul pada kulit terutamanya dengan demam, kepenatan, sakit otot, sakit sendi atau bengkak pada sendi.

Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan, sila berunding dengan doktor bagi memahami rawatan terbaik untuk anda.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

enEnglish

Tarikh Reviu: April 2, 2018 | Kali terakhir kemaskini: September 13, 2019

Rujukan