Apa itu Golfer's elbow?

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor

enEnglish

Definisi

Apa itu Golfer’s elbow?

Golfer’s elbow (medial epicondylitis) menyebabkan sakit dan keradangan dalam tendon yang menghubungkan lengan bawah ke siku. Kesakitan ini berpusat pada benjolan tulang di dalam siku anda dan boleh memancar ke dalam lengan bawah. Ia biasanya boleh dirawat dengan berkesan melalui rehat.

Golfer’s elbow biasanya berlaku disebabkan oleh terlalu banyak menggunakan otot-otot di lengan bawah yang membolehkan anda menggenggam, memutar lengan, dan melenturkan pergelangan tangan. Pengulangan pengenduran, menggenggam, atau mengayun boleh menyebabkan tarikan atau koyakan di tendon.

Walaupun namanya sebegitu, keadaan ini tidak hanya memberi kesan kepada pemain golf. Mana-mana pergerakan tangan, pergelangan tangan, atau lengan yang berulang boleh membawa kepada siku pemain golf. Antara sukan yang berisiko termasuklah tenis, boling, dan besbol – bahkan ia kadang-kadang disebut sebagai “pitcher’s elbow”. Orang juga boleh mengalaminya akibat menggunakan alat seperti pemutar skru dan tukul, atau kegiatan seperti menyapu atau melukis.

Golfer’s elbow tidak begitu terkenal sebagaimana saudaranya, “tennis elbow”. Kedua-duanya adalah antara bentuk tendinitis siku. Perbezaannya adalah tennis elbow berpunca daripada kerosakan kepada tendon di bahagian luar siku, manakala golfer’s elbow adalah disebabkan oleh tendon di bahagian dalam siku. Jika dibandingkan, Golfer’s elbow juga adalah kurang biasa kekerapannya.

Apakah kebarangkalian Golfer’s elbow?

Sila berbincang dengan doktor anda untuk mendapatkan maklumat lanjut.

Simptom-simptom

Apakah simptom-simptom Golfer’s elbow?

Tanda-tanda umum bagi golfer’s elbow adalah:

  • Sakit dan perit di bahagian dalam siku anda. Kadang-kadang rasa sakit berada di sepanjang sisi lengan bawah. Kesakitan biasanya bertambah buruk dengan pergerakan tertentu.
  • Siku anda mungkin merasa kaku, dan mungkin agak menyakitkan apabila menggenggam tangan.
  • Anda mungkin mengalami kelemahan di tangan dan pergelangan tangan anda.
  • Rasa kebas atau kesemutan. Sensasi ini mungkin memancar ke satu jari atau lebih – biasanya jari manis dan kelengkeng.

Kesakitan golfer’s elbow boleh datang secara tiba-tiba atau beransur-ansur. Kesakitan mungkin bertambah buruk apabila anda:

  • Mengayunkan kayu golf atau raket
  • Memicit atau membaling bola
  • Berjabat tangan
  • Memusingkan tombol pintu
  • Mengangkat berat
  • Mengambil sesuatu dengan tapak tangan anda
  • Membengkokkan pergelangan tangan anda

Mungkin terdapat beberapa simptom yang tidak disenaraikan di atas. Jika anda mempunyai sebarang kebimbangan tentang apa-apa simptom, sila berjumpa dengan doktor anda.

Bila saya harus berjumpa doktor?

Anda perlu menghubungi doktor jika dengan berehat, meletakkan ais dan ubat penahan sakit belian kaunter tidak mengurangkan kesakitan dan keperitan siku anda. Dapatkan rawatan segera sekiranya:

  • Siku anda berasa panas dan meradang, dan anda mengalami demam
  • Anda tidak boleh membengkokkan siku anda
  • Siku anda kelihatan cacat
  • Anda mengesyaki tulang anda patah

Punca

Apakah punca Golfer’s elbow?

Golfer’s elbow, juga dikenali sebagai medial epicondylitis, berlaku disebabkan oleh kerosakan pada otot dan tendon yang mengawal pergelangan tangan serta jari anda. Kerosakan biasanya dikaitkan dengan tekanan yang berlebihan atau berulang – terutamanya pergerakan pergelangan tangan dan jari yang kuat. Kegiatan mengangkat, melempar atau memukul yang tidak betul, serta pemanasan badan yang terlalu sedikit atau tidak sesuai, juga boleh menyumbang kepada golfer’s elbow.

Banyak aktiviti yang boleh membuatkan golfer’s elbow, termasuklah:

  • Cengkaman atau ayunan kayu dengan tidak betul atau terlalu kuat boleh menjejaskan otot dan tendon anda.
  • Sukan beraket. Putar atas (topspin) yang berlebihan boleh menyakiti siku anda. Menggunakan raket yang terlalu kecil atau berat juga boleh mengakibatkan kecederaan.
  • Sukan lontaran. Teknik melontar yang tidak betul pada besbol atau bola lisut boleh menjadi punca lain bagi keadaan ini. Aktiviti seperti bola sepak, memanah dan lontar lembing juga boleh menyebabkan golfer’s elbow.
  • Latihan angkat berat. Mengangkat berat dengan menggunakan teknik yang tidak betul, seperti membengkokkan pergelangan tangan semasa latihan bisep, boleh membebankan otot dan tendon siku.

Di samping itu, sebarang aktiviti yang memerlukan anda membengkok dan meluruskan siku berulang kali boleh menyebabkan golfer’s elbow. Ini termasuklah melukis, menyapu daun, menukul, memotong kayu, menggunakan komputer, melakukan kerja pemasangan dan memasak. Namun begitu, sehari dua pada kerja rumah atau memasak biasanya tidak akan menyebabkan golfer’s elbow. Kegiatan-kegiatan ini secara hariannya perlu berlangsung lebih dari sejam sehari, untuk menyebabkan masalah.

Faktor-faktor Risiko

Apakah yang meningkatkan risiko saya kepada Golfer’s elbow?

Terdapat banyak faktor risiko bagi golfer’s elbow, seperti:

  • Umur 40 ke atas
  • Melakukan aktiviti yang berulang sekurang-kurangnya dua jam sehari
  • Obes
  • Seorang perokok

Diagnosis dan Rawatan

Maklumat yang diberikan bukan pengganti untuk sebarang nasihat perubatan. SILA berunding dengan doktor anda untuk maklumat lanjut.

Bagaimana pesakit Golfer’s elbow didiagnosis?

Golfer’s elbow biasanya didiagnosis berdasarkan riwayat perubatan dan pemeriksaan fizikal anda. Untuk menilai kesakitan dan kekakuan, doktor mungkin akan mengenakan tekanan ke kawasan yang terjejas atau meminta anda untuk menggerakkan siku, pergelangan tangan dan jari dalam pelbagai cara.

X-ray dapat membantu doktor mengetepikan sebab-sebab lain untuk sakit siku, seperti keretakan tulang atau artritis. Kadang-kadang, ujian pengimbasan yang lebih menyeluruh – seperti MRI – akan dilakukan.

Bagaimana pesakit Golfer’s elbow dirawat?

Semakin cepat anda memulakan rawatan, semakin awal anda akan dapat kembali ke aktiviti biasa anda.

  • Hentikan dahulu permainan golf anda atau aktiviti berulang yang lain sehinggalah kesakitan hilang. Sekiranya anda kembali ke aktiviti ini terlalu awal, anda boleh membuat keadaan menjadi lebih buruk.
  • Letakkan ais pada kawasan yang terjejas. Gunakan pek ais ke siku selama 15 hingga 20 minit pada satu masa, tiga hingga empat kali sehari, selama beberapa hari. Untuk melindungi kulit anda, balut pek ais dengan tuala nipis. Mengurut bahagian dalam siku dengan ais selama lima minit pada satu masa, dua hingga tiga kali sehari juga mungkin membantu.
  • Ambil ubat pelega kesakitan belian kaunter. Cuba ibuprofen (Advil, Motrin IB, dan lain-lain), sodium naproxen (Aleve, dan lain-lain) atau acetaminophen (Tylenol, dan lain-lain).
  • Gunakan pendakap. Doktor anda mungkin akan mengesyorkan agar anda memakai pendakap yang kukuh di lengan yang terjejas, yang boleh mengurangkan tekanan pada tendon dan otot.
  • Meregangkan dan menguatkan kawasan yang terjejas. Doktor anda mungkin akan mencadangkan senaman regangan dan pengukuhan. Terapi fizikal atau pekerjaan juga boleh membantu. Sejenis aktiviti pengukuhan (eksentrik) yang memanjangkan tendon otot extensor pergelangan tangan telah terbukti berkesan dalam merawat kerengsaan tendon kronik.
  • Kurangkan beban pada tendon siku anda. Balut siku anda dengan pembalut elastik atau gunakan penganduh.
  • Kembali ke aktiviti biasa anda secara beransur-ansur. Apabila kesakitan anda telah hilang, cuba berlatih pergerakan tangan seperti dalam sukan atau aktiviti anda. Teliti semula kaedah ayunan golf atau tenis dengan jurulatih dan buat penyesuaian jika diperlukan.
  • Sila berbincang dengan doktor anda tentang kesesuaian pembedahan. Pembedahan biasanya jarang diperlukan. Tetapi jika tanda dan simptom anda tidak bertindak balas terhadap rawatan konservatif dalam enam hingga 12 bulan, pembedahan mungkin diperlukan. Prosedur baru melibatkan pembuangan tisu parut berpandukan ultrabunyi di kawasan ini. Namun masih banyak kajian yang diperlukan untuk ini.

Antara rawatan lain yang digunakan termasuklah suntikan kortikosteroid, yang masih belum disahkan sebagai rawatan jangka panjang yang berkesan. (1p7) Rawatan baru lain yang diuji pula adalah penggunaan platelet kaya plasma. Ini melibatkan pengambilan sedikit darah anda, putarkannya dalam peranti dan suntikkan semula ke kawasan yang sakit. Namun masih banyak yang kajian diperlukan untuk ini.

Kebanyakan orang akan menjadi lebih baik dengan berehat, pek ais dan ubat pelega sakit. Namun bergantung pada keparahan keadaan anda, rasa sakit mungkin boleh berlarutan selama berbulan dan bertahun – walaupun anda banyak berehat dan mematuhi arahan mengenai latihan lengan anda. Kadang-kadang rasa sakit juga boleh kembali atau menjadi kronik.

Perubahan gaya hidup & rawatan sampingan

Apakah perubahan gaya hidup dan rawatan sampingan yang boleh saya ambil untuk menangani Golfer’s elbow?

Gaya hidup dan kaedah pengubatan sampingan yang berikut mungkin membantu anda menangani golfer’s elbow:

  • Menguatkan otot lengan bawah. Gunakan beberat yang ringan atau picit bola tenis. Senaman mudah sebenarnya dapat membantu otot anda menyerap tenaga tekanan fizikal secara tiba-tiba.
  • Panaskan badan sebelum aktiviti sukan anda. Berjalan atau berjoging dahulu selama beberapa minit untuk memanaskan otot anda. Kemudian lakukan regangan lembut sebelum anda memulakan permainan anda.
  • Betulkan postur anda. Apa sahaja sukan anda, jangan takut untuk meminta seorang pengajar memeriksa postur anda bagi mengelakkan beban yang berlebihan pada otot.
  • Gunakan peralatan yang betul. Jika anda menggunakan kayu golf besi yang lama, pertimbangkan untuk menaik taraf kepada kayu grafit yang lebih ringan. Jika anda bermain tenis, raket dengan cengkaman kecil atau berkepala berat akan meningkatkan risiko masalah siku.
  • Angkat dengan betul. Apabila mengangkat apa-apa – termasuk beberat – pastikan pergelangan tangan anda teguh dan stabil untuk mengurangkan daya ke siku anda.
  • Ketahui masa untuk berehat. Cuba untuk jangan terlalu menggunakan siku anda. Apabila muncul tanda pertama sakit siku, sila berehat.

Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan, sila berunding dengan doktor bagi memahami rawatan terbaik untuk anda.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Tarikh Reviu: Mei 31, 2018 | Kali terakhir kemaskini: Mei 31, 2018

Ingin menjalani kehidupan yang lebih sihat?
Dapatkan tips dan informasi kesihatan serta gaya hidup sihat terus ke email anda.