Hipertensi merujuk kepada keadaan di mana tekanan darah menjadi sangat tinggi, melebihi 140/90 mmHg. Bagi mengatasi hipertensi, perubahan gaya hidup adalah keperluan dan penyelesaian utama.
Walau bagaimanapun, dalam kebanyakan kes, ubat-ubatan diperlukan untuk membantu menurunkan tekanan darah. Artikel ini akan membincangkan mengenai beberapa ubatan asas bagi rawatan hipertensi.
Diuretik
Juga dikenali sebagai pil air, ubatan ini bertindak ke atas buah pinggang untuk mengeluarkan lebih banyak natrium dan air, seterusnya mengurangkan jumlah cecair pada seluruh badan.
Diuretik yang digunakan untuk rawatan hipertensi adalah thiazide (termasuk chlorthalidone, hydrochlorothiazide, dan indapamide).
Pil air juga boleh menyebabkan jumlah kencing semakin meningkat, yang mungkin menimbulkan kesan sampingan seperti kelemahan, kekejangan otot dan simptom lain, akibat daripada penurunan paras natrium, kalium dan paras air.
Perencat aktiviti enzim penukar angiotensin (ACE inhibitors – ACEi)
Ubatan ini menghalang pembentukan hormon angiotensin – yang menyempitkan pembuluh darah. Ini menyebabkan pembuluh darah melebar, menurunkan tekanan darah dan meningkatkan pengeluaran dari jantung.
Ubat-ubatan yang ada termasuk benazepril, captopril, enalapril, fosinopril, lisinopril, moexipril, perindopril, quinapril, ramipril, dan trandolapril. Ubat-ubatan ini memberi manfaat kepada pesakit diabetes, jantung atau pesakit kronik buah pinggang.
Perencat reseptor angiotensin II (Angiotensin II receptor blockers – ARB)
Ubatan ini menyekat tindakan hormon angiotensin – sejenis bahan kimia yang menyempitkan pembuluh darah. Oleh itu, serupa dengan ACEi, ia dapat membantu meluaskan saluran darah, menurunkan tekanan darah dan meningkatkan output jantung.
ARB yang ada termasuklah azilsartan, candesartan, irbesartan, losartan, olmesartan, telmisartan, dan valsartan. Ubat-ubatan ini sangat penting bagi orang-orang yang mempunyai penyakit buah pinggang kronik.
Penghalang saluran kalsium (calcium channel blockers – CCB)
Penghalang saluran kalsium dapat membantu melegakan otot-otot saluran darah dengan mengurangkan jumlah kalsium yang memasuki otot-otot lembut pada dinding saluran darah dan otot jantung.
Terdapat dua kategori utama penghalang saluran kalsium: Dihydropyridines (termasuk amlodipine, felodipine, isradipine, nicardipine, nifedipine, dan nisoldipine) dan Non-dihydropyridines (yang termasuk diltiazem dan verapamil).
Harus diingati bahawa jus limau gedang boleh berinteraksi dengan beberapa penyekat saluran kalsium, yang boleh meningkatkan paras darah dan membuat anda terdedah kepada risiko kesan sampingan yang lebih tinggi.
Penyekat beta (beta blockers)
Penyekat beta membantu mengurangkan beban jantung dan membuka saluran darah, yang membolehkan jantung berdegup dengan lebih perlahan dan kurang daya. Penyekat beta yang ada termasuklah acebutolol, atenolol, betaxolol, bisoprolol, metoprolol, nadolol, nebivolol, pindolol, propranolol, dan timolol.
Walau bagaimanapun, kesan sampingan penyekat beta termasuklah simptom-simptom asma yang semakin teruk, penyakit paru-paru lain, atau penyakit saluran darah di luar jantung. Oleh itu, ubatan ini tidaklah ditetapkan untuk pesakit yang mempunyai keadaan sedemikian.
Dapatkan nasihat doktor tentang penggunaan ubat-ubatan selepas mendapat preskripsi. Patuhi jadual ubat-ubatan dengan ketat dan berjumpa doktor anda sekiranya anda menghadapi sebarang masalah atau sebarang pertanyaan.
Anda mungkin berminat untuk membaca artikel:
- Komplikasi Asma, Apa yang Anda Perlu Tahu
- Kekal Bermotivasi Walaupun Menghidap Diabetes
- Tanda Anda Mungkin Menghadapi Masalah Buah Pinggang
[embed-health-tool-heart-rate]