Miositis

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh hellodoktor

Definisi

Apa itu Miositis?

Miositis bermaksud radang pada otot yang anda guna untuk menggerakkan anggota badan anda. Cedera, jangkitan, atau penyakit autoimun boleh menjadi punca penyakit ini. Terdapat dua jenis miositis iaitu polimiositis dan dermatomiositis. Polimiositis menyebabkan kelemahan otot, sering berlaku pada otot yang dekat dengan bahagian trunkus badan anda. Dermatomiositis pula mengakibatkan kelemahan otot serta ruam pada kulit.

Apakah kebarangkalian Miositis?

Miositis sangat biasa berlaku dan biasanya terjadi pada wanita berbanding lelaki. Ia juga boleh terjadi pada semua peringkat umur. Ini dapat dielakkan dengan mengurangkan faktor risiko anda. Sila berunding dengan doktor anda untuk maklumat lanjut.

Simptom-simptom

Apakah simptom-simptom Miositis?

Simptom yang biasa dialami oleh miositis ialah kelemahan otot. Kelemahan ini mungkin disedari atau hanya dijumpai melalui ujian. Sakit otot (mialgia) boleh atau tidak boleh berlaku.

Kelemahan yang berpunca daripada miositis akan menyebabkan pesakit terjatuh dan sukar untuk bangun semula dari kerusi atau selepas jatuh. Simptom lain yang mungkin dialami bersama keadaan radang ini termasuklah:

  • Ruam;
  • Lesu;
  • Kulit pada tangan menjadi tebal;
  • Sukar menelan;
  • Sukar bernafas;

Pesakit miositis yang disebabkan oleh virus selalunya akan mempunyai simptom jangkitan virus seperti selesema, demam, batuk dan sakit tekak atau mual dan cirit-birit. Walau bagaimanapun, simptom jangkitan virus mungkin hilang selepas beberapa hari atau minggu sebelum simptom miositis bermula.

Mungkin terdapat beberapa simptom yang tidak disenaraikan di atas. Jika anda mempunyai sebarang kebimbangan tentang simptom-simptom tersebut, sila berjumpa dengan doktor anda.

Bila saya harus berjumpa doktor?

Jika anda mempunyai sebarang tanda atau simptom yang tidak di senaraikan di atas atau ada sebarang soalan, sila berunding dengan doktor anda. Tubuh setiap orang bertindak dengan cara berbeza. Berbincang dengan doktor mengenai apa yang terbaik untuk situasi anda.

Punca

Apakah Punca Miositis?

Miositis disebabkan oleh sebarang keadaan yang mengakibatkan keradangan pada otot. Punca miositis boleh dibahagikan kepada beberapa kategori:

Keadaan radang: Keadaan yang menyebabkan keradangan pada keseluruhan badan yang mengganggu otot, boleh mengakibatkan miositis. Kebanyakannya disebabkan oleh keadaan autoimun di mana badan menyerang tisunya sendiri. Keadaan radang yang berpotensi menyebabkan miositis yang parah termasuklah:

  • Dermatomiositis;
  • Polimiositis;
  • Jasad inklusi miositis

Keadaan radang lain yang menyebabkan miositis yang lebih sederhana, termasuklah:

  • Lupus;
  • Skleroderma;
  • Artritis reumatoid;

Keadaan radang sering mengakibatkan miositis yang paling serius, ia memerlukan rawatan jangka panjang.


Jangkitan: Jangkitan virus adalah punca biasa miositis. Bakteria, fungus, atau organisma lain juga boleh menyebabkan miositis tetapi ia jarang berlaku. Virus atau bakteria boleh menyerang otot secara langsung, atau mengeluarkan bahan yang boleh merosakkan serat otot. Virus selsema, serta HIV adalah antara beberapa virus yang boleh menyebabkan miositis.


Ubat: Banyak jenis ubat dan dadah yang boleh menyebabkan kerosakan sementara pada otot. Oleh sebab radang pada otot tidak dapat dikenal pasti, masalah otot sebegini lebih dikenali sebagai miopati. Ubat yang menyebabkan miositis atau miopati termasuklah;

  • Statin;
  • Kolcisina;
  • Plaquenil (hydroxychloroquine);
  • Interferon alfa;
  • Kokaina;
  • Alkohol.

Miopati boleh berlaku sejurus selepas pengambilan ubat, atau mungkin berlaku selepas beberapa bulan atau tahun. Kadang kala ia disebabkan oleh interaksi antara dua ubat yang berbeza. Miositis yang parah jarang sekali berlaku akibat ubat-ubatan.


Kecederaan: Senaman yang keterlaluan boleh mengakibatkan otot sakit, bengkak, dan lemah untuk beberapa jam atau hari selepas bersenam. Keradangan menjadi punca kepada simptom-simptom ini, mengakibatkan terjadinya miositis jenis ini. Simptom miositis selepas bersenam atau cedera kebiasaannya akan hilang sepenuhnya dengan rehat dan pemulihan.

Rhabdomiolisis: Rhabdomiolisis berlaku apabila otot pecah dengan cepat. Sakit otot, lemah, dan bengkak ialah simptom bagi rhabdomiolisis. Air kencing juga boleh bertukar warna coklat gelap atau merah.

Faktor-faktor Risiko

Apakah yang meningkatkan risiko saya kepada Miositis?

Terdapat banyak faktor risiko untuk miositis, seperti:

  • Faktor genetik
  • Faktor persekitaran: terdedah kepada cahaya UV.

Diagnosis dan Rawatan

Maklumat yang diberikan bukan pengganti untuk sebarang nasihat perubatan. SILA berunding dengan doktor anda untuk maklumat lanjut./strong>

Bagaimana pesakit Miositis didiagnosis?

Doktor akan mengesyaki miositis berdasarkan simptom-simptom seperti kelemahan otot atau bukti-bukti miositis yang lain. Ujian yang boleh dibuat untuk miositis termasuklah:

  • Ujian darah: Paras enzim otot yang tinggi, seperti kreatina kinase, bermakna ada keradangan otot. Ujian darah lain dibuat untuk memeriksa antibodi tidak normal bagi mengesan keadaan autoimun.
  • Pengimbas MRI: Pengimbas menggunakan magnet berkuasa tinggi dan komputer untuk mendapatkan gambar otot. Pengimbas MRI membantu mengesan kawasan miositis dan perubahan otot dari masa ke semasa.
  • EMG: Dengan memasukkan jarum elektrod ke dalam otot, doktor akan menguji tindak balas otot terhadap isyarat saraf elektrik. EMG dapat mengesan otot yang lemah atau rosak disebabkan oleh miositis.
  • Biopsi otot: Ini merupakan ujian yang paling tepat dalam mendiagnosis miositis. Doktor akan mengenal pasti otot yang lemah, membuat satu bukaan kecil, dan mengeluarkan sampel tisu otot yang kecil untuk diuji. Biopsi otot adalah diagnosis akhir miositis bagi kebanyakan individu yang menghidapinya.

Terdapat banyak punca kelemahan dan sakit otot yang lebih biasa terjadi berbanding miositis, dan ujian bagi miositis bukanlah mudah. Oleh hal yang sedemikian, proses untuk mendiagnosis miositis mengambil masa yang lama.

Bagaimana pesakit Miositis dirawat?

Rawatan miositis berbeza mengikut puncanya.

Keadaan keradangan yang menyebabkan miositis, memerlukan rawatan penggunaan ubat yang mengganggu sistem imun, termasuklah:

  • Prednisone;
  • Azathioprine (Imuran);
  • Methotrexate;

Miositis yang berpunca daripada jangkitan, biasanya disebabkan oleh virus dan tidak memerlukan rawatan yang spesifik. Miositis yang disebabkan oleh bakteria jarang berlaku dan selalunya memerlukan antibiotik bagi mengelakkan jangkitan yang boleh membawa maut merebak.


Walaupun rhabdomiolisis jarang berlaku disebabkan oleh miositis, ia boleh menyebabkan kerosakan kekal buah pinggang. Individu yang mempunyai rhabdomiolisis akan di masukkan ke hospital untuk menerima cecair intravena secara berterusan dalam kuantiti yang banyak.

Miositis yang disebabkan oleh ubat, akan diminta untuk menghentikan pengambilan ubat tersebut. Dalam kes di mana miositis berpunca daripada ubat statin, keradangan otot selalunya berkurang dalam masa beberapa minggu selepas berhenti mengambilnya.

Perubahan gaya hidup & rawatan sampingan

Apakah perubahan gaya hidup dan rawatan sampingan yang boleh saya ambil untuk menangani Miositis?

Gaya hidup dan kaedah rawatan sampingan berikut mungkin membantu anda mengatasi  miositis:

Bersenam adalah penting sebagai salah satu kaedah rawatan miositis. Hal ini penting bagi memastikan otot kuat dan fleksibel. Terapi fizikal boleh membantu mengelakkan otot daripada atrofi dan ia boleh mengembalikan kekuatan otot dan pengerakan. Doktor juga akan menyarankan makanan tambahan yang dapat membantu menambah kekuatan otot.  

Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan, sila berunding dengan doktor bagi memahami rawatan terbaik untuk anda.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Rujukan