Gastrik: Apa yang Berlaku di dalam Perut Anda?

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor

Gastrik adalah sejenis keadaan kesihatan di mana berlaku keradangan pada dinding perut. Istilah yang lebih tepat bagi keadaan ini adalah gastritis. Gastrik itu sendiri secara bahasanya membawa maksud perut. Namun, ia digunakan secara meluas dalam masyarakat Malaysia untuk merujuk kepada gastritis.

Apakah simptom penyakit ini?

Tanda dan simptom yang mungkin berlaku adalah:

  • Rasa panas atau sakit pada bahagian atas abdomen.
  • Mual.
  • Muntah.
  • Perut kembung selepas makan.
  • Simptom terkait dengan pengambilan makanan – sama ada bertambah teruk sebelum atau selepas makan.

Ia boleh berlaku secara mengejut (akut) atau secara beransur-ansur dalam tempoh yang lama (kronik). Meskipun terdapat simptom yang disenarikan di atas, tidak semua penghidap gastrik mengalami simptom tersebut.

Apakah yang menyebabkan keradangan pada perut?

Dinding perut dilindungi oleh lapisan mukosa. Lapisan ini membuatkan ia terlindung daripada hakisan asid di dalamnya yang berfungsi menghadam makanan. Apabila lapisan ini terganggu, perut boleh mengalami keradangan.

Beberapa keadaann yang boleh meningkatkan risiko gastrik adalah:

  • Jangkitan bakteria. Sejenis bakteria bernama Helicobacter pylori adalah penyebab utama bagi keadaan kesihatan ini. Bakteria ini wujud di dalam perut ramai orang tapi hanya sesetengah orang sahaja yang mengalami keradangan.
  • Penggunaan ubat tahan sakit secara berkala. Ubat-ubatan seperti aspirin, ibuprofen dan naproxen berpotensi menyebabkan gastrik akut atau kronik jika diambil secara berkala atau berlebihan. Ia menyebabkan gastrik dengan menjejaskan faktor utama yang melindungi lapisan dinding perut.
  • Umur meningkat. Semakin berumur, lapisan dinding perut menjadi semakin nipis. Ini meningkatkan risiko keradangan.
  • Alkohol. Minuman ini merengsa dan mengikis lapisan perut menyebabkan ia lebih terdedah kepada asid.
  • Stres. Stres disebabkan pembedahan major, kebakaran atau kecederaan yang teruk merangsang penghasilan asid yang tinggi di dalam perut.
  • Autoimun. Gastik juga mungkin boleh disebabkan oleh sistem imun badan sendiri yang menyerang lapisan perut. Keadaan ini jarang tetapi antara punca yang boleh berlaku.

Bila harus berjumpa doktor?

Simptom bagi keadaan kesihatan ini agak kurang jelas. Perut kembung dan mual adalah perkara yang biasa dialami oleh ramai orang. Dalam banyak keadaan, ia akan hilang sendiri. Namun, jika simptom yang dialami kekal selama seminggu atau lebih, sebaiknya dapatkan nasihat perubatan lebih-lebih lagi jika anda sedang mengambil ubat tahan sakit.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Anda mungkin berminat dengan artikel berikut