Impak Penderaan Kanak-kanak

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor

Pengabaian dan penderaan kanak-kanak mungkin akan memberikan kesan signifikan ke atas tahan kesihatan kanak-kanak tersebut pada masa lalu, sekarang dan masa depan. Di samping itu, penganiayaan yang dilakukan boleh menyebabkan pelbagai kesan terhadap perkembangan, psikologi dan fizikal kepada kanak-kanak.

Impak proses pembesaran

Kajian mengenai embriologi dan pediatrik menyatakan bahawa perkembangan otak pada tahap luar biasa semasa peringkat pembesaran awal bayi dan zaman kanak-kanak. Oleh itu, pendedahan berulang kepada peristiwa yang memberikan tekanan boleh mendatangkan kesan  kepada tindak balas tekanan otak, menjadikannya tidak aktif dan kurang penyesuaian diri. Penyelidikan juga mendapati terdapat hubung kait antara penderaan pada zaman kanak-kanak dengan masalah kesihatan pada masa depan. Antara masalah tersebut adalah:

  • Perkembangan otak yang tidak sesuai
  • Ketidakseimbangan antara kemahiran sosial, emosi dan kognitif
  • Kecacatan bahasa tertentu
  • Kesukaran dalam penglihatan, berkata-kata dan mendengar
  • Berisiko untuk hadapi masalah kesihatan seperti penyakit jantung, kanser, jangkitan paru-paru kronik, penyakit hati, obesiti, tekanan darah tinggi, kolesterol tinggi dan tahap protein C-reaktif yang tinggi
  • Merokok, penyalahgunaan alkohol dan dadah

Impak psikologi

Kanak-kanak yang menderita akibat penganiayaan cenderung untuk menjadi kurang berkeyakinan dan tidak percaya kepada individu dewasa. Mereka mungkin sukar dan tidak mampu meluahkan perasaan sebenar mereka, menyebabkan wujudnya gangguan dalam mengawal emosi. Semakin lama penderaan berlaku, semakin serius impak yang akan berlaku. Dalam sesetengah situasi, penderitaan berterusan sehingga zaman remaja, dan alam dewasa. Ia juga boleh membawa kepada kegelisahan kronik dan kemurungan.

Beberapa kesan yang mungkin berlaku terhadap tahap kesihatan mental kanak-kanak akibat penderaan yang dihadapi termasuk:

  • Kegelisahan – kemurungan
  • Gemar menyendiri
  • Kesukaran untuk fokus
  • Kesukaran untuk tidur
  • Gangguan pemakanan
  • Tidak selesa dengan sentuhan fizikal
  • Gemar mencederakan diri sendiri
  • Percubaan untuk membunuh diri

Impak fizikal

Mengenal pasti kesan fizikal penderaan adalah penting untuk mengetahui tentang penganiayaan yang berlaku. Oleh itu, kita boleh melaksanakan langkah selanjutnya untuk melindungi kanak-kanak daripada penderaan dan pengabaian.

Tanda penderaan fizikal kanak-kanak adalah lebih mudah untuk dilihat berbanding penderaan yang lain, seperti pengabaian atau penderaan emosi. Kewujudan satu tanda penderaan fizikal tidak semestinya bermaksud kanak-kanak tersebut menderita akibat penderaan. Tetapi, mengetahui tentang tanda penderaan itu mungkin boleh menjadi petunjuk untuk melihatnya dengan lebih teliti.

Beberapa tanda penderaan fizikal dapat dilihat dalam senarai di bawah:

  • Lebam, bengkak
  • Terseliuh atau keretakan
  • Terbakar
  • Kesukaran untuk duduk atau berjalan
  • Kesakitan, lebam atau pendarahan pada bahagian sulit
  • Penyakit kelamin
  • Masalah kebersihan diri

Tanda penderaan kanak-kanak tidak selalu jelas kelihatan, dan kanak-kanak mungkin tidak memberitahu sesiapa tentang apa yang berlaku kepada mereka. Ini mungkin disebabkan rasa takut seandainya pendera mengetahui tentang itu dan takut penderaan akan menjadi semakin teruk.

Mereka mungkin merasakan tiada sesiapa yang boleh mereka luahkan atau mereka mungkin dianggap menipu. Ada masanya kanak-kanak tidak menyedari apa yang berlaku itu adalah penderaan. Oleh kerana itu, kesan daripada penderaan dan pengabaian boleh mendatangkan mudarat kepada mangsa dan masyarakat di sekeliling mereka.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat, diagnosis atau rawatan perubatan.

Tarikh Reviu: Februari 20, 2019 | Kali terakhir kemaskini: November 27, 2019

Rujukan
Anda mungkin berminat dengan artikel berikut