backup og meta

Ibu Baru: Peranan, Tekanan dan Cara Mengatasinya

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan · Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 17/06/2020

    Ibu Baru: Peranan, Tekanan dan Cara Mengatasinya

    Bagi wanita yang pertama kali bergelar ibu, tempoh untuk beberapa minggu pertama selepas melahirkan bayi pastinya merupakan satu tempoh yang agak sukar untuk dikendalikan, malahan ia mungkin merupakan antara waktu yang membingungkan diri dan fikiran anda. Namun mengapakah timbulnya perasaan atau pemikiran sebegini?

    Tekanan sebagai ibu baru

    Untuk ramai individu wanita yang pertama kali bergelar ibu, malah tekanan ini mungkin tetap dirasai oleh individu wanita yang telah mempunyai anak, berada di dalam rumah dengan seorang bayi yang baru lahir adalah satu perjalanan yang melibatkan naik turun emosi. Ada ketikanya anda mungkin berasa bahagia apabila melihat si comel anda tidur di dalam dakapan anda, dan mungkin ada ketikanya anda berasa sedih malah menangis apabila menyedari bahawa kehidupan sosial anda telah berubah, anda tidak lagi bebas untuk bersosial bersama rakan baik anda pada malam minggu.

    Menurut Pembantu Profesor Obstetrik dan Ginekologi di University College of Physicians and Surgeons di New York, Dr. Hilda Hutcherson, situasi itu adalah sesuatu yang normal dan perubahan emosi itu merupakan perkara yang tidak mendatangkan kebimbangan. Ini kerana selepas melahirkan bayi, wanita akan mengalami perubahan dramatik dalam tahap hormon, ini sekali gus secara drastik sudah tentu mempengaruhi emosi.

    Kebanyakan wanita sebenarnya tidak bersedia dengan perubahan emosi yang bakal mereka hadapi selepas melahirkan anak. Ini kerana kita sering membayangkan bahawa keadaan selepas melahirkan anak adalah sentiasa gembira dan bahagia sepanjang masa. Ini sekali gus menyebabkan timbulnya rasa bersalah jika terdetik atau mempunyai sebarang keraguan atau perasaan negatif dalam diri.

    Bebanan tanggungjawab ibu baru

    Perasaan gementar ketika berdepan dengan saat untuk melahirkan anak, semestinya tidak dapat dibandingkan dengan rasa cemas dan gelisah yang dihadapi oleh kebanyakan individu wanita saat mereka bersedia untuk pulang ke rumah bersama bayi yang baru dilahirkan. Dari saat anda keluar dari hospital dan pulang ke rumah dengan bayi anda, sehinggalah untuk beberapa minggu pertama, anda mungkin akan diselubungi atau dihantui rasa tidak selamat, keraguan dan gelisah. Ini sekali gus pastinya mendatangkan kesan kepada tanggungjawab tuntutan fizikal keibuan untuk menyusukan, menukar lampin dan berdepan masalah kekurangan waktu tidur. Jadi anda mungkin harus menerima segala bantuan yang ditawarkan, atau anda perlu mendapatkan bantuan daripada ahli keluarga atau rakan baik anda. Pastinya ahli keluarga dan rakan akan memahami betapa anda memerlukan bantuan dan membantu anda dengan sebaiknya.  

    Terdapat pakar yang mengatakan ibu-ibu baru ini memerlukan rangkaian individu yang boleh mereka kongsikan luahan dan kebimbangan mereka. Ia adalah sangat penting untuk seorang ibu baru berkongsi dan berbual dengan individu wanita lain yang turut mempunyai anak, walaupun anak mereka mungkin sudah besar dan dewasa. Ia bukan sahaja dapat membantu memberikan panduan dan nasihat tentang perihal penjagaan bayi anda, tetapi ia juga dapat memberikan lebih jaminan dan keyakinan kepada anda untuk lebih meyakini kemahiran keibubapaan dalam diri anda terutama bagi ibu dan bapa baru.

    Ibu baru tidak cukup tidur

    Ibu Baru Peranan, Tekanan dan Cara Mengatasinya - bebanan

    Antara masalah biasa yang dialami oleh ibu-ibu baru adalah tidak mempunyai masa tidur yang mencukupi. Ia adalah sesuatu yang normal untuk ibu baru bangun pada tengah malam dan menyusukan bayi yang terjaga, atau mungkin perlu menukar lampin si manja.

    Menurut kajian yang dilakukan oleh Pusat Penyelidikan Keselamatan Lebuhraya Universiti North Carolina, individu yang mendapat tidur kurang daripada lima jam sehari setiap hari berisiko lebih empat hingga lima kali untuk berkemungkinan terlibat dalam kemalangan jalan raya disebabkan kekurangan tidur.

    Namun, tidak dinafikan, teori ‘apabila si manja tidur, anda boleh tidur’ adalah lebih sukar untuk dipraktikkan kerana bukan semua ibu mudah untuk tidur. Namun, terdapat beberapa beberapa perkara yang boleh membantu untuk mengatasi masalah ini, antaranya:

    • Berbaring

    Anda mungkin sukar untuk tidur terutama pada waktu tengah hari atau petang. Jika itu masalah yang anda hadapi, anda mungkin boleh untuk berbaring dan merehatkan diri anda di atas sofa dan menjauhkan diri daripada telefon pintar anda. Jangan tertekan jika anda tidak boleh tidur. Berikan peluang untuk diri dan minda anda berehat.

    • Dapatkan bantuan

    Cara terbaik untuk mendapatkan tidur yang lebih berkualiti adalah dengan meminta bantuan daripada suami atau ahli keluarga pada waktu malam, terutamanya jika bayi anda menyusu botol. Tetapi bagi ibu yang menyusukan badan, anda boleh cuba untuk memperkenalkan botol susu pada si manja jadi akan ada individu lain yang boleh membantu menyusukan si manja pada waktu tengah malam. Anda boleh mengepam susu badan dan menyimpannya untuk kegunaan pada tengah malam, ia cukup membantu untuk memberikan anda lebih masa tidur.

    Jika anda merasakan bayi yang menyusu botol itu akan memberikan ibunya lebih banyak rehat, ia mungkin tidak benar sepenuhnya. Menurut satu kajian yang dilakukan pada tahun 2002 yang diterbitkan oleh Journal of Sleep Research, menunjukkan ibu yang menyusu badan kepada anaknya akan mendapat tidur yang lebih nyenyak – iaitu satu jenis tidur yang menyembuhkan otot dan memperbaiki badan. Ini disebabkan oleh pertumbuhan hormon prolaktin yang meningkat semasa proses penyusuan.

    • Memilih tetamu

    Terdapat tetamu yang boleh memudahkan kerja anda seperti jika ahli keluarga anda datang untuk membantu menjaga si comel atau tetamu yang tidak membantu seperti rakan yang datang hanya untuk bergosip dan berbual. Kajian pada 2003 oleh Wolfson berkaitan perubahan pola tidur bagi ibu baru menunjukkan, ibu yang kurang terlibat dengan interaksi sosial mendapat lebih tidur berbanding ibu yang terlibat lebih banyak dengan interaksi sosial.

    • Kopi

    Kopi mungkin dapat membantu menyegarkan diri anda pada waktu pagi. Tetapi mengambil kopi secara berlebihan mungkin akan menyebabkan anda sukar untuk tidur dan sekali gus mencegah anda untuk berasa mengantuk apabila anda berpeluang untuk berehat dan berbaring. Tambahan pula, terdapat kajian daripada  American Academy of Pediatrics (AAP)  yang mencadangkan untuk ibu yang menyusu badan untuk hanya mengambil secawan kopi sehari.

    • Bukan untuk selamanya

    Percayalah situasi kurang tidur ini bukanlah satu perkara yang akan berlanjutan untuk satu tempoh yang panjang. Akan tiba masanya, masalah atau isu tidak cukup tidur ini akan berakhir dan anda akan dapat kembali menikmati tidur yang lebih berkualiti. Menurut AAP, seorang bayi yang sihat kebiasaannya akan dapat membiasakan diri dengan rutin tidur lebih lama pada waktu malam, iaitu antara lima jam atau lebih apabila mencapai usia lebih 2 atau 3 bulan. Manakala, kebanyakan bayi sudah boleh untuk tidur sepanjang malam apabila usia mencecah 6 bulan ke atas.

    Rasa serba salah yang dirasai seorang ibu

    Ibu Baru Peranan, Tekanan dan Cara Mengatasinya - serba salah

    Seperti yang dikatakan pada awal tadi, kebanyakan wanita tidak bersedia dengan perubahan emosi selepas melahirkan anak dan akhirnya menyebabkan timbulnya rasa bersalah apabila terdetik keraguan atau perasaan negatif.

    Berikut adalah antara rasa serba salah yang dirasai seorang ibu; sama ada individu yang pertama kali bergelar ibu, atau sudah mempunyai anak lebih dari seorang dan cara untuk mengatasinya:

    1. Perlukah saya menyukai setiap minit bergelar ibu?

    Imej seorang ibu yang sering dibayangi oleh ramai individu wanita adalah; seorang yang tidak mementingkan diri sendiri, sentiasa menyayangi dan ada pada setiap saat – adalah satu bayangan yang sukar untuk dipenuhi. Walau sebanyak mana anda menyayangi bayi yang baru anda lahirkan, anda tidak mungkin dapat menyukai setiap perkara yang perlu dilakukan dalam menjaganya. Akan ada waktunya anda memerlukan masa untuk diri anda sendiri, mungkin masa untuk berehat, minum minuman kegemaran anda dan selepas itu anda pasti akan mendapat kembali kesegaran diri dan lebih gembira untuk kembali melaksanakan tugasan dan tanggungjawab anda sebagai seorang ibu

    1. Adakah saya melakukannya dengan betul?

    Lambakan tip, nasihat dan petua yang boleh didapati secara dalam talian, yang anda dengari dari mulut ke mulut, ia mungkin dapat membantu menjadikan pekerjaan anda lebih mudah atau ada masanya ia mungkin menambahkan lagi kecelaruan dan menjadikan tugasan anda sebagai seorang ibu lebih sukar. Sememangnya satu perkara yang baik untuk mendapat pelbagai maklumat namun adakalanya ia mungkin memberikan lebih banyak tekanan kepada ibu, yang akhirnya menyebabkan anda merasa segala apa yang anda lakukan sebagai seorang ibu adalah tidak betul dan tidak sempurna untuk bayi comel anda.

    Hakikatnya, apa yang anda dengar dan apa yang anda baca mungkin adalah bertentangan, dan pada akhirnya menjadi satu teka-teki kepada anda. Apa yang penting adalah untuk menanam dalam fikiran anda bahawa tidak ada cara yang sempurna dan yang betul untuk menjadi seorang ibu. Anda hanya perlu mempercayai diri anda bahawa apa yang anda lakukan adalah yang terbaik untuk si manja anda. Jadi usah bebankan diri anda dengan tekanan, senyum dan bergembiralah menjadi seorang ibu.

    1. Perlukah saya bekerja kembali?

    Merupakan antara isu yang sering mendatangkan tekanan kepada individu wanita terutama yang pertama kali bergelar ibu. Kembali bekerja atau tidak adalah sering menyebabkan seorang ibu berada dalam keadaan serba salah. Anda akan rasa bersalah apabila anda memutuskan untuk kembali bekerja, anda rasa bersalah apabila anda tidak mahu kembali bekerja tetapi anda perlu bekerja dan anda terpaksa meninggalkan si manja anda ke rumah pengasuh apabila anda perlu bekerja.

    Bagi individu yang berdepan dengan masalah kewangan yang tidak begitu stabil, mungkin kembali bekerja adalah merupakan satu-satunya pilihan yang ada demi kelangsungan hidup. Tetapi bagi individu yang mungkin tidak berdepan dengan masalah kewangan, mungkin isu ini lebih memberikan tekanan; antara rasa bersalah kepada anak atau keinginan untuk bekerja. Jalan penyelesaian yang terbaik yang boleh anda lakukan adalah dengan mengambil pendekatan tunggu dan lihat. Sebarang keputusan yang anda ambil pada masa ini, sama ada bekerja atau tidak, tidak semestinya menjadi satu keputusan tetap dan kekal. Anda mungkin tidak bekerja sekarang dan apabila anda merasakan anda ingin bekerja, anda boleh memutuskan untuk bekerja. Jadi bertenang.

    1. Masa berkualiti

    Ada ketikanya, sama ada anda bekerja atau suri rumah sepenuh masa, akan wujud rasa bahawa setiap saat anda bersama si comel harus menjadi masa yang berkualiti dan dipenuhi dengan sesuatu perkara yang berfaedah. Adakalanya idea tentang masa yang berkualiti dan apa yang diharapkan dari ibu bapa kepada anak melebihi batasan yang sewajarnya. Terdapat juga sesetengah ibu bapa yang bimbang membiarkan si kecil untuk bersendirian kerana khuatir akan keselamatannya.

    Budaya pada masa kini telah menjadikan setiap perkara yang ingin dilakukan yang melibatkan anak adalah perlu bersifat pendidikan. Sedangkan hakikatnya, sesuatu yang bersifat menghiburkan tidak semestinya tidak berkualiti atau berharga, waima kita yang sudah dewasa ini juga ada masanya memerlukan hiburan, apatah lagi si kecil yang baru ingin mengenali dunia. Dan anda sebagai ibu bapa tidak perlu untuk sentiasa mengawal dan mengehadkan pergerakan anak kecil anda daripada meneroka dunia di sekeliling mereka, apa yang penting aspek keselamatan sentiasa menjadi keutamaan. Percayalah, si manja anda turut dapat belajar dan meneroka perkara baru secara sendiri.

    1. Bukan ibu sempurna

    Ibu Baru Peranan, Tekanan dan Cara Mengatasinya - ibu sempurna

    Sebagai seorang ibu, pasti akan timbul rasa bersalah dalam diri apabila anda tidak dapat menyediakan segala keperluan harian seperti makan tengah hari atau malam disebabkan tuntutan kerja dan lebih banyak makan di luar atau membeli makanan bungkus. Menjadi seorang ibu, secara tidak langsung anda sendiri meletakkan bebanan pada diri anda dengan membayangkan pelbagai perkara yang perlu anda selesaikan dengan sebaiknya dan adakalanya melebihi kemampuan anda – anda perlu menyediakan makan malam, rumah perlu sentiasa kemas, baju harus siap dicuci, meluangkan masa bersama suami dan anak dan lain-lain lagi –  tetapi percayalah, apabila anda semakin berpengalaman dalam aspek keibubapaan, anda akan mampu untuk melakukan segalanya dengan lebih teratur.

    Rasa bersalah itu hadir pada waktu tertentu, namun tidak semuanya bersifat sesuatu yang buruk. Anda mungkin perlu menegur atau mengalihkan tumpuan si manja anda yang lebih banyak menonton televisyen dengan memberikannya peluang melakukan perkara yang lebih berfaedah seperti mewarna, bermain basikal dan sebagainya. Anda tidak perlu menjadi sempurna, tetapi anda boleh mencuba untuk memberikan yang terbaik dari aspek kesihatan, pemakanan, cukup makan dan pakaian untuk anak anda. Realistik, itu yang penting.

    Perkara yang ibu baru tidak perlu bimbangkan

    Bimbang dalam mengendali dan menguruskan seorang bayi pastinya merupakan perkara biasa untuk seorang ibu terutamanya ibu baru. Namun, terdapat beberapa perkara yang mungkin sering terjadi tetapi ia merupakan perkara yang tidak perlu dibimbangkan. Antaranya adalah seperti:

    1. Menangis

    Si comel anda mungkin akan kerap menangis pada waktu malam, dan adalah penting untuk sentiasa ingat bahawa adalah normal untuk bayi yang baru lahir menangis. Menurut pakar kanak-kanak dari Children’s Mercy Hospitals & Clinics di Kansas City, Missouri, Dr Michelle Haley, anak di bawah usia setahun akan menangis untuk pelbagai perkara seperti lapar, mengantuk, lampin kotor dan kurang atau terlebih rangsangan. Dan menangis tidak mendatangkan kesakitan kepada mereka. Bayi yang mudah nangis bukanlah petanda bahawa teknik keibubapaan yang diberikan lemah. Ini kerana sesetengah bayi memang lebih mudah untuk menangis berbanding yang lain. Jika anda segera bertindak balas dan tangisan si manja anda berhenti, maka tiada apa yang perlu dirisaukan. Tetapi jika bayi anda masih menangis dan meragam, ia juga mungkin disebabkan oleh masalah perut kembung.

    1. Bersin

    Jika si manja anda mula bersin apabila sampai di rumah pada kali pertama selepas pulang dari hospital, tanamkan dalam minda bahawa bayi anda mungkin sedang membersihkan hidung dan saluran pernafasan. Bersin membantu membuka lubang hidung yang mungkin tertutup sementara apabila bayi menekan ketika menyusu. Anda hanya perlu bimbang jika bayi anda bersin dan diikuti dengan demam, hidung berair, hidung tersumbat dan mengalami kesukaran untuk bernafas, pastikan anda mengambil langkah segera dengan membawa bayi anda untuk berjumpa doktor.

    1. Ikatan

    Anda mungkin membayangkan untuk berjumpa dengan si comel anda selepas sembilan bulan menantikan kelahirannya, tetapi selepas berjuang di dalam bilik bersalin, anda mungkin lebih berasa letih daripada ghairah dengan kelahiran bayi anda. Itu adalah normal. Tidak ada apa yang perlu anda bimbangkan. Ikatan antara anda dan bayi anda pasti akan terjalin melalui penyusuan, dakapan dan sebarang perkara yang melibatkan bayi anda.

    Anda mungkin berminat untuk membaca artikel:

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Joseph Tan

    Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


    Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 17/06/2020

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan