Penggunaan Antibiotik untuk Bayi: Apa yang Ibu Bapa Perlu Tahu

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Hello Doktor Medical Panel

Ramai ibu bapa yang mengeluh apabila doktor tidak memberikan antibiotik kepada anak mereka. Namun, tahukah anda realitinya adalah bukan semua pesakit terutama bayi dan kanak-kanak perlu mengambil antibiotik sebagai rawatan untuk mereka kembali sihat. Oleh itu, ibu bapa perlu tahu bahawa penggunaan antibiotik yang tidak perlu tanpa preskripsi doktor boleh memberikan kesan buruk kepada kesihatan bayi dan kanak-kanak.

Apakah itu antibiotik?

Sebelum antibiotik berkembang dan pertama kali digunakan pada tahun 1940-an, kadar kematian dalam kalangan bayi dalam dunia maju adalah kira-kira satu dalam 10 dan kebanyakannya berpunca daripada jangkitan. Walau bagaimanapun, kes ini menurun secara dramatik sejak lebih 70 tahun lalu. Pun begitu, penurunan kes ini bukan semuanya disebabkan oleh pemberian antibiotik kerana faktor kebersihan dan imunisasi juga penting untuk diambil kira.

Antibiotik adalah ubat yang digunakan untuk merawat jangkitan bakteria. Penggunaan antibiotik tidak diberikan jika jangkitan berpunca daripada virus. Lazimnya, sebelum memberikan sebarang preskripsi antibiotik, pediatrik akan mengenal pasti dahulu jika ia adalah ubat yang betul untuk merawat jangkitan yang berlaku pada anak anda.

Bolehkah bayi bawah satu tahun diberikan antibiotik?

Secara amnya, pemberian antibiotik adalah perlu diberikan kepada sesetengah jangkitan yang disebabkan oleh bakteria, dan jangkitan tersebut hanya akan menjadi teruk jika tidak dirawat.

Bayi berusia bawah satu tahun perlu diberikan antibiotik jika mereka dijangkiti penyakit serius seperti meningitis, pneumonia, jangkitan saluran darah dan jangkitan saluran kencing. Walau bagaimanapun, selalunya doktor sukar untuk membezakan jangkitan bakteria dengan jangkitan virus dalam kalangan bayi kecil, terutama yang berusia di bawah usia tiga bulan. Malahan, bayi kecil yang berada dalam risiko jangkitan bakteria yang serius juga adalah sukar ditentukan terutama pada peringkat awal. Lazimnya, doktor akan mula memberikan antibiotik bagi situasi seperti tersebut sebagai langkah keselamatan, dan akan berhenti jika tiada jangkitan bakteria ditemui.

Bila masanya anak saya diberikan antibiotik?

Selalunya, antibiotik digunakan dalam kalangan kanak-kanak untuk mencegah penyebaran bagi sesetengah jangkitan bakteria seperti batuk kokol.

Jangkitan yang disebabkan oleh virus adalah tidak memerlukan antibiotik kerana pemberiannya adalah tidak berkesan untuk rawatan ataupun mencegah penyebaran. Bayi yang berusia bawah setahun selalunya mendapat jangkitan viral biasa termasuklah kebanyakan jangkitan pernafasan seperti jangkitan telinga, tekak dan dada. Oleh itu, merawat jangkitan yang disebabkan viral dengan antibiotik tidak memberikan keputusan yang baik, sebaliknya boleh mendatangkan keburukan kepada kesihatan anak tersebut.

Terdapat beberapa cara untuk mengurangkan pemberian antibiotik dalam kalangan bayi di bawah usia setahun iaitu:

  1. Tidak menggunakan antibiotik untuk jangkitan viral.
  2. Melewatkan pemberian antibiotik bagi sesetengah jangkitan seperti jangkitan telinga untuk melihat sama ada ia boleh baik sendiri ataupun tidak.
  3. Menggunakan antibiotik pendek, di mana ia adalah selamat berbanding tradisinya diberikan antibiotik panjang.

Apakah kesan sampingan jika bayi diberikan antibiotik?

Penggunaan antibiotik khususnya diberikan untuk jangkitan yang disebabkan oleh bakteria. Jika antibiotik digunakan untuk merawat jangkitan viral, ia boleh menjurus kepada jangkitan yang disebabkan oleh ketahanan bakteria. Selain itu, anak anda juga boleh mendapat cirit-birit atau kesan sampingan lain. Sekiranya anak anda mengalami cirit-birit berair, cirit-birit berdarah atau kesan sampingan lain semasa mengambil antibiotik, anda perlu segera bawa anak berjumpa doktor.

Selain itu, kesan sampingan disebabkan penggunaan antibiotik juga boleh berlaku kepada bayi dan kanak-kanak tidak kiralah jika diberikan untuk merawat jangkitan bakteria mahupun virus. Kesan sampingan boleh berlaku dalam 1 daripada setiap 10 kanak-kanak yang mengambil antibiotik. Kesan sampingan yang anak anda boleh alami termasuklah ruam, reaksi alergik, loya, cirit-birit, dan sakit perut. Pastikan anda memaklumkan kepada doktor jika anak anda mengalami reaksi kepada antibiotik.

Penggunaan antibiotik yang selamat

Harus diingat bahawa bukan semua antibiotik sesuai diberikan kepada anak anda. Ikuti panduan di bawah bagi memastikan pemberian antibiotik yang selamat untuk anak anda:

  • Antibiotik bukan selalunya rawatan terbaik apabila anak jatuh sakit. Jadi, tanya doktor anda apakah rawatan terbaik untuk anak anda.
  • Tanya doktor jika antibiotik yang dipreskripsi adalah yang terbaik untuk jenis jangkitan bakteria yang dihadapi anak anda. Contohnya, antibiotik tertentu seperti azithromycin tidak lagi berkesan untuk bakteria yang menyebabkan kebanyakan jangkitan telinga dan sinus.
  • Antibiotik digunakan dalam merawat jangkitan bakteria. Ia tidak berkesan untuk demam dan selesema.
  • Pastikan anda memberikan anak ubat seperti yang diarahkan, Jangan berkongsi antibiotik dengan anak yang lain. Anda perlu mendapatkan antibiotik untuk setiap anak kerana anda mungkin memberikan ubat yang salah kepada anak anda dan seterusnya boleh membahayakannya.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat, diagnosis atau rawatan perubatan.

Tarikh Reviu: Februari 8, 2019 | Kali terakhir kemaskini: September 13, 2019

Rujukan
Anda mungkin berminat dengan artikel berikut