backup og meta

Jaga-Jaga Ibu, Perkembangan Janin Terganggu Punca Bayi Pramatang - Kajian

Disemak secara perubatan oleh Dr. Ahmad Wazir Aiman · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 22/06/2020

    Jaga-Jaga Ibu, Perkembangan Janin Terganggu Punca Bayi Pramatang - Kajian

    Bayi pramatang didefinisikan sebagai bayi yang dilahirkan sebelum mencapai minggu ke-37 kehamilan. Namun, bagaimana berlakunya kelahiran dan apa punca bayi pramatang ini? Adakah ia berpunca daripada gangguan perkembangan janin? Ikuti artikel ini untuk penjelasan lanjut.

    Bayi pramatang boleh dibahagi kepada 4 subkategori berdasarkan usia kehamilan iaitu:

  • pramatang melampau (lahir kurang atau pada minggu ke-28),
  • sangat pramatang (lahir kurang daripada 28-32 minggu kehamilan),
  • pramatang sederhana (lahir antara minggu 32 dan 37kehamilan) 
  • Apakah risiko kelahiran bayi pramatang?

    Risiko kelahiran bayi pramatang berbeza bergantung kepada keadaan. Terdapat pelbagai faktor yang boleh meningkatkan risiko anda untuk bersalin pramatang, seperti:

    • Usia ibu ketika hamil
    • Merokok
    • Berat badan berlebihan atau kurang berat badan sebelum hamil
    • Penjagaan pranatal yang tidak baik
    • Mengambil alkohol semasa hamil
    • Mengalami keadaan kesihatan, seperti tekanan darah tinggi, preeklampsia, diabetes, gangguan pembekuan darah, atau jangkitan
    • Mengandungkan bayi yang mempunyai kecacatan kelahiran tertentu
    • Hamil dari hasil persenyawaan in vitro (IVF)
    • Mengandung kembar dua atau lebih
    • Mempunyai sejarah keluarga yang bersalin pramatang
    • Mengandung terlalu awal selepas kelahiran terdahulu
    • Mempunyai jangkitan saluran kencing
    • Jangkitan penyakit kelamin (STD)
    • Kedudukan plasenta rendah

    Punca bayi pramatang: Tumbesaran tertangguh pada perkembangan janin?

    punca bayi pramatang

    Satu kajian yang diterbitkan Scientific Reports menyatakan, bayi pramatang melampau melalui proses tumbesaran tertangguh. Ia berkaitan mikrobiotik dan mikroorganisma lain yang tinggal di dalam usus.

    Berdasarkan analisis metabolisma yang dilakukan pada bayi pramatang, ia menunjukkan badan mereka bertindak balas seolah-olah mereka sedang berpuasa.

    Penemuan ini juga menunjukkan perkembangan mikrobiotik dalam bayi pramatang memiliki masalah tumbesaran, berkemungkinan menyumbang kepada ketidakupayaan mereka untuk memetabolisma nutrien dengan betul.

    Menurut Ketua Pegawai Bersekutu Penyelidikan Sains Asas di Stanley Manne Children’s Research Institute di Ann & Robert H. Lurie Children’s Hospital of Chicago, yang juga merupakan Profesor Penyelidikan Pediatrik, Mikrobiologi dan Imunologi di Northwestern University Feinberg School of Medicine, Dr Patrick Seed,

    “Melalui penyelidikan yang dilakukan, kami dapat mengenal pasti ciri-ciri dalam mikrobiotik dan metabolisma yang mempunyai hubung kait dengan kegagalan pertumbuhan.

    Ia mungkin dapat memberikan cara serta kaedah baru untuk meramal, mencegah dan merawat masalah yang berlaku dalam kalangan bayi pramatang.’

    Tambah beliau lagi, walaupun kini saintis tidak mempunyai cara untuk mengenal pasti bayi dengan risiko kegagalan tumbesaran, tetapi kewujudan mikrobiotik mungkin dapat membantu memberikan bimbingan intervensi individu dan mengukur tindak balas terhadap terapi.

    Sebab bayi pramatang: Perbezaan komposisi mikrobiotik

    sebab bayi pramatang

    Mikrobiotik setiap individu dianggarkan terdiri daripada satu trilion bakteria, dengan 10 kali jumlah sel microbial bagi setiap manusia.

    Kajian membuktikan ciri-ciri mikrobiologi tertentu memainkan peranan dalam menjadi faktor penentu berkaitan obesiti, alahan, asma, diabetes, penyakit autoimun, kemurungan dan pelbagai jenis kanser. 

    Kajian juga menunjukkan perbezaan yang amat ketara antara bayi yang lahir cukup bulan dengan bayi lahir secara pramatang. 

    Dr Seed – Ketua Bahagian Penyakit Berjangkit di Lurie Children’s memberitahu mereka turut mengkaji hubungan antara mikrobiotik usus, metabolisma dan pertumbuhan pada bayi pramatang.

    Hasil keputusan yang diperolehi masih memerlukan lebih banyak kajian untuk dilakukan. Penyelidik masih lagi dalam usaha mengkaji sama ada kematangan mikrobiotik dan metabolisma tertentu adalah mempunyai hubung kait dengan bayi yang mempunyai masalah tumbesaran atau tidak.

    Gangguan kognitif dan motor punca bayi pramatang

    Kegagalan tumbesaran perkembangan janin pada bayi pramatang dipercayai menjadi faktor risiko kepada masalah gangguan kognitif dan motor, serta cenderung menyebabkan bayi membesar dengan risiko menghidap obesiti, diabetes dan penyakit jantung. 

    Dalam kajian yang dijalankan, 36 bayi mengalami kegagalan tumbesaran, manakala bakinya membesar dengan kadar pertumbuhan yang sesuai.

    Kumpulan 36 bayi ini mempunyai perbezaan konsistensi dalam mikrobiotik dan metabolisma tanpa mengambil kira komplikasi pramatang seperti sepsis (jangkitan darah), necrotizing enterocolitis (keradangan usus) atau intestinal perforation (penembusan usus).

    Bayi dengan masalah tumbesaran dan perkembangan janin juga akan mengalami gangguan kematangan mikrobiotik usus, yang dicirikan dengan tahap kepelbagaian bakteria yang rendah, dominasi bakteria penyebab penyakit tertentu seperti Staphylococcus dan Enterobacteriaceae, serta perkadaran bakteria tidak berbahaya yang rendah seperti Veillonella.

    Mereka juga menampakkan perkembangan metabolik yang lambat dengan ciri-ciri yang menunjukkan kekurangan metabolisma glukosa dan bahan non-lipid (lemak), yang membuatkan kebergantungan yang lebih tinggi kepada asid lemak.

    Bayi yang mengalami masalah kegagalan tumbesaran dan perkembangan janin akan berterusan berada dalam keadaan fisiologi seakan berpuasa. 

    Tambah Dr Seed lagi, melalui analisis yang diperolehi mungkin boleh dianggap sebagai penjelasan kepada penyebab peningkatan bekalan kalori kepada bayi yang mengalami kegagalan pertumbuhan sering kali tidak mendatangkan hasil. 

    Beliau turut mengatakan untuk menghasilkan rawatan yang berkesan, saintis dan penyelidik perlu untuk lebih memahami mengenai masalah tumbesaran dan perkembangan janin serta ketidakupayaan bayi pramatang untuk menggunakan nutrien.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Ahmad Wazir Aiman

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 22/06/2020

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan