Aduh, Alami Kemurungan Ketika Mengandung. Bahaya Tak?

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Dr. Gabriel Tang Pei Yung

Orang kata time pregnant kena sentiasa happy dan jangan stress, barulah baby sihat. Tapi ada masanya emosi tu rasa macam down. Normal ke kemurungan ketika mengandung?

Risiko kemurungan ketika mengandung

Tempoh kehamilan sepatutnya menjadi detik paling bahagia dalam hidup wanita. Walau bagaimanapun, bagi sesetengah individu wanita, kehamilan boleh dianggap sebagai waktu yang penuh kekeliruan, ketakutan, tekanan serta kemurungan. 

Menurut The American Congress of Obstetricians and Gynecologists (ACOG), sejumlah 14-23 peratus individu wanita berjuang melawan beberapa simptom kemurungan semasa tempoh mengandung. 

Kemurungan merupakan satu gangguan emosi yang menjejaskan 1 daripada 4 wanita sepanjang tempoh kehidupan, jadi tidak hairanlah jika keadaan ini boleh berlaku ketika kehamilan. Namun, sering kali keadaan ini tidak didiagnosis dengan betul kerana ia biasanya dianggap sebagai satu keadaan berkaitan ketidakseimbangan hormon.

Tanda kemurungan

Wanita yang kemurungan akan mengalami beberapa simptom di bawah untuk tempoh dua minggu atau lebih:

  • Kesedihan berterusan
  • Sukar untuk fokus
  • Kuantiti tidur yang terlalu sedikit atau terlalu banyak
  • Hilang minat untuk melakukan perkara yang diminati
  • Sering berfikir mengenai kematian, bunuh diri atau putus asa
  • Kegelisahan
  • Rasa tidak dihargai
  • Hilang selera makan

Punca kemurungan ketika kehamilan

Terdapat pelbagai punca yang boleh mencetuskan kemurungan sepanjang tempoh anda hamil, antaranya seperti:

  • Masalah perhubungan
  • Sejarah keluarga atau diri dengan kemurungan
  • Rawatan kesuburan
  • Isu keguguran terdahulu
  • Perkara yang menyebabkan tekanan
  • Komplikasi ketika kehamilan
  • Pengalaman atau trauma

Kesan kepada kandungan?

Masalah kemurungan ketika mengandung yang tidak dirawat boleh menyebabkan risiko bahaya kepada ibu dan juga bayi dalam kandungan. Kemurungan yang tidak menerima rawatan boleh mendorong kepada kekurangan nutrisi, pengambilan minuman beralkohol, tabiat merokok serta keinginan untuk membunuh diri.

Semua perkara yang disebutkan di atas boleh mengakibatkan kelahiran pramatang, bayi lahir dengan berat yang kurang serta menjejaskan perkembangan bayi dalam kandungan. Individu wanita yang mengalami kemurungan sering kali akan mengabaikan penjagaan diri dan bayi dalam kandungan. Oleh sebab itu penting untuk mendapatkan bantuan yang tepat demi ibu dan juga bayi dalam kandungan.

Penjagaan ibu dan kandungan

Apa yang boleh disimpulkan adalah ibu dan bayi dalam kandungan memerlukan penjagaan yang rapi. Pemakanan yang seimbang serta gaya hidup yang sihat perlu diamalkan sepanjang tempoh kehamilan untuk menjamin kesejahteraan kedua-dua ibu dan anak. 

Sebaiknya hindari diri daripada dibelenggu stres dan cuba untuk gembira, kerana kemurungan ketika mengandung adalah sangat tidak bagus untuk kandungan. 

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Tarikh Reviu: November 19, 2019 | Kali terakhir kemaskini: Disember 6, 2019

Anda mungkin berminat dengan artikel berikut