Uban: Apa Yang Perlu Anda Ketahui?

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor

Pigmentasi rambut adalah salah satu daripada pelbagai sifat unik manusia – ada yang berambut hitam, ada yang berambut perang dan ada juga yang berambut merah. Pigmentasi atau penghasilan warna rambut manusia ini dipengaruhi oleh pigmen melanin yang dihasilkan oleh sel-sel melanocyte. Folikel rambut manusia boleh mengandungi dua jenis kompaun melanin iaitu eumelanin dan juga pheomelanin. Perbezaan dan keunikan warna rambut manusia ini ditentukan oleh kuantiti dan kadar kewujudan kedua-dua kompaun melanin ini. Eumelanin mengekspresikan warna hitam keperangan dan pheomelanin pula mengekspresikan warna merah dan perang muda. Kekurangan kompaun melanin juga akan menyebabkan terhasil juga warna yang unik pada rambut anda iaitu warna putih yang turut disebut sebagai uban. 

Peraturan 50/50/50 untuk uban?

Terdapat satu peraturan atau rule of thumb yang menyatakan bahawa apabila mencecah usia 50 tahun, 50% daripada keseluruhan jumlah populasi berumur tersebut akan mempunyai 50% daripada keseluruhan warna rambut mereka menjadi putih kelabu (uban). Peraturan untuk keterjadian uban ini disebut sebagai peraturan 50/50/50. Walau bagaimanapun, terdapat satu kajian pada tahun 2012 yang telah diterbitkan dalam Jurnal Dermatalogi Britain yang telahpun menunjukkan bahawa peraturan ini sangatlah tidak tepat. Menurut kajian mereka, peratusan manusia yang menunjukkan 50% daripada rambut mereka bertukar menjadi warna putih setelah berusia 50 tahun hanyalah dalam lingkungan 6 hingga 23% sahaja. 

Bagi kaum lelaki, perubahan warna rambut ini dikatakan mula berlaku di bahagian tepi kepala (temples) dan juga bahagian sideburn. Dalam kaum wanita pula, perubahan warna rambut ini dikatakan mula berlaku pada bahagian hujung atau tepi-tepi kulit kepala. Kadar perubahan warna ini dipengaruhi oleh beberapa perkara seperti kecenderungan genetik, dan persekitaran. Tambahan lagi, kadar perubahan warna ini juga berbeza-beza mengikut kawasan rambut dan kulit kepala. Menurut kajian dalam populasi Korea Selatan, mereka mendapati bahagian tepi kepala dan juga bahagian belakang kepala kaum lelaki adalah lebih terjejas dengan perubahan warna rambut berbanding kaum wanita. Tambahan lagi, kewujudan uban secara beransur-ansur ini lebih banyak melibatkan bahagian rambut depan (kawasan frontal) dalam kaum wanita.

Mula mempunyai uban pada usia yang muda?

Pembentukan uban pramatang (PGH) adalah keadaan di mana seseorang itu telah pun mempunyai uban pada usia bawah 20 tahun. Bergantung kepada populasi dan geografi, had umur definisi PGH ini berubah. Sebagai contoh, definisi PGH untuk populasi berketurunan Afro-Amerika meletakkan had umur bawah 30 tahun sebagai kumpulan pramatang. Berapa sekalipun had umur yang digunakan, apa yang pasti adalah perubahan warna rambut kepada putih kelabu ini adalah satu masalah kosmetik yang boleh mengganggu keyakinan diri seseorang. Seseorang remaja atau mereka yang baru mencecah usia 20-an mungkin akan berdepan dengan masalah untuk bersosial atau sindiran di tempat kerja akibat daripada PGH. Punca terjadinya PGH ini masih belum difahami sepenuhnya. Ia dikatakan berkait rapat dengan keadaan penuaan pramatang yang lain, sindrom-sindrom tertentu, penyakit metabolisma dan juga penyakit autoimun. 

Bagaimana uban boleh terjadi?

Perubahan warna rambut menjadi kepada warna putih kelabu ini berlaku apabila penghasilan melanin dalam akar rambut itu tidak lagi berlaku, menyebabkan rambut yang baru akan tumbuh dengan kekurangan warna hitam. Sel stem pada dasar folikel rambut menghasilkan melanocyte, sel yang bertanggungjawab untuk menghasilkan dan menyimpan pigmen dalam rambut dan juga kulit. Kematian atau hilangnya sel stem ini mencetuskan permulaan kepada proses penghasilan uban. 

Peranan Spesies Reaktif Oksigen

Peranan Spesies Reaktif Oksigen (ROS) dalam penghasilan uban dalah punca yang paling kuat dikaji. Peranan ROS ini mengambil tempat dalam fasa tertentu dalam kitaran pertumbuhan rambut. Pertumbuhan rambut berlaku dalam bentuk kitaran yang tidak selari (unsynchronised). Ini bermaksud dalam waktu yang sama, setiap helaian rambut itu memasuki fasa-fasa yang berbeza dalam kitaran pertumbuhan. Antara permulaan pertumbuhan rambut dan juga keguguran rambut selepas beberapa tahun, terdapat empat fasa dalam kitaran tersebut. Kitaran pertumbuhan ini terdiri daripada fasa anagen, katagen, telogen dan juga fasa eksogen.

  1. Fasa anagen – Fasa anagen merujuk kepada fasa aktif pertumbuhan rambut yang boleh berlangsung selama dua hingga tujuh tahun. Fasa ini menentukan panjang rambut yang boleh dicapai seseorang. 
  2. Fasa katagen – Fasa katagen pula adalah fasa peralihan yang berlangsung sekitar tempoh 10 hari. Dalam fasa ini, folikel rambut mengecil dan tertanggal daripada papila dermis. 
  3. Fasa telogen – Fasa ini juga disebut sebagai fasa berehat. Ini kerana rambut lama akan kekal pada kulit kepala dalam tempoh tiga bulan. Sekitar 10 hingga 15% daripada kesemua rambut akan memasuki fasa ini dalam satu masa. Ketika rambut lama berada dalam keadaan rehat, rambut baru akan mula tumbuh. 
  4. Fasa eksogen – Ini merupakan fasa pengguguran rambut lama dan penggantian oleh pertumbuhan rambut baru.

Ketika fasa anagen, terdapat juga pembentukan melanin (melanogesesis) yang aktif sedang berlaku dalam folikel rambut. Proses ini membabitkan hidroksilasi tyrosine dan juga oksidasi dihydroxyphenylalanine kepada melanin. Kedua-dua proses ini menyebabkan stres oksidatif yang besar dan kegagalan mekanisma antioksidan dalam melawan stres oksidatif ini mendorong kepada kerosakan dan kematian sel melanocyte. Kajian telahpun menunjukkan bahawa terjadinya pengumpulan oksidan seperti hidrogen peroksida dalam folikel rambut dan ketiadaan ekspresi antioksidan seperti catalase dan juga methionine sulfoxide reductase dalam folikel uban tersebut. Kajian ini mendorong kepada hipotesis peranan kompaun kimia yang bersifat pro-oksidan mendorong kepada keterjadian uban. Stres oksidatif ini juga boleh disebabkan oleh sinaran UV, faktor emosi dan juga keradangan. 

Teori pH melanocyte

Satu hipotesis yang turut dicadangkan adalah peranan nilai pH melanocyte dan juga paras cysteine. Menurut hipotesis ini, nilai pH dan juga paras cysteine dikatakan mempengaruhi warna rambut seseorang. Apabila nilai pH menjadi kurang (menjadi lebih bersifat asid) terdapat pengurangan beransur – ansur dalam aktiviti enzim tyrosinase yang akhirnya membawa kepada peningkatan paras kompaun pheomelanin, menjadikan warna rambut lebih ke arah warna merah atau perang muda (blonde).

Faktor genetik

Mutasi pada gen MC1R menyebabkan warna seseorang itu boleh menjadi warna coklat kemerah-merahan atau merah sepenuhnya. Mutasi genetik ini kerap dilihat pada individu-individu berketurunan Eropah Timur di mana pendedahan kepada cahaya matahari sangatlah sedikit. Terdapat juga kajian pada tahun 2012 yang menunjukkan berlakunya mutasi resesif pada protein TYRP1 dalam kalangan mereka yang berambut perang muda (blonde). Selain mutasi genetik, terdapat kewujudan beberapa gen yang berupaya untuk mengahasilkan kesan pemutihan warna rambut juga. Antara gen yang dimaksudkan adalah gen Bcl2 dan juga gen Bcl-w. Kedua-dua peranan gen ini dikenal pasti pada tahun 2016. Terdapat juga satu gen yang turut dikaitkan dengan proses pemutihan warna rambut ini iaitu gen IRF4.

Kekurangan vitamin B12

Kekurangan vitamin B12 berupaya untuk menyebabkan penukaran warna rambut menjadi putih. Dikatakan sekitar 55% daripada pesakit yang menghidap pernicious anemia menghidap masalah perubahan warna rambut menjadi warna putih sebelum mencapai usia 50-an. 

Kekurangan hormon tiroid 

Kekurangan hormon tiroid T3 dan T4 juga salah satu daripada punca yang dikenal pasti berupaya untuk menyebabkan perubahan warna rambut pramatang (PGH), selain masalah keguguran rambut. Hormon tiroid T3 dan T4 bertindak secara langsung terhadap folikel rambut dalam merangsang proses penghasilan melanin (melanongenesis)

Peranan ubat

Sesetengah ubat kemoterapi dan juga ubat antimalaria dikenalpasti berupaya untuk menyebabkan PGH. Ubat-ubat ini dikatakan menghalang reseptor tyrosine kinase c-kit yang terdapat dalam sel-sel melanocyte sekaligus mengganggu proses melanogenesis. 

Merokok

Merokok adalah aktiviti yang cukup terkenal sebagai faktor risiko dan punca pelbagai jenis penyakit berbahaya. Maka tidak hairanlah merokok termasuk dalam salah perkara yang menyumbang kepada pemutihan warna rambut. Kajian mendapati merokok mempunyai kaitan yang signifikan dengan PGH. Antara penjelasan yang diberikan untuk mengaitkan kesan rokok kepada pemutihan rambut ini adalah sifar prooksidan rokok yang meningkatkan kerosakan Spesies Reaktif Oksigen (ROS) kepada sel-sel melanocyte pada bahagian folikel rambut. 

Penuaan (Acrhomotrichia) 

Perubahan warna rambut akibat penuaan atau lebih dikenali sebagai achromotrichia, adalah proses semula jadi yang berlaku dalam semua orang. Proses ini lazimnya bermula pada awal dan pertengahan 20-an dalam lelaki dan hujung 20-an dalam kalangan wanita. 

Stres

Peranan stres, baik akut atau kronik dikaitkan dengan cetusan proses achromotrichia pramatang. Walaupun tiada kaitan yang kukuh dapat dihasilkan antara stres dan penghasilan uban, mekanisma yang dicadangkan adalah stres menyebabkan pengumpulan hormon kortisol dalam folikel rambut yang beransur-ansur meningkat. 

Keadaan kesihatan tertentu

Albinisma adalah sejenis penyakit keabnormalan genetik di mana sedikit atau tiada langsung pigmen dalam tubuh badan seseorang itu. Ini menyebabkan rambut, mata, bulu kening dan juga kulit mereka menjadi sangat pucat dan putih. 

Vitiligo pula adalah sejenis keadaan kesihatan di mana terdapatnya tompok-tompok pelbagai saiz pada permukaan tubuh badan yang menyebabkan keguguran rambut dan/atau perubahan warna kulit dan/atau rambut. Vitiligo ini mempunyai kaitan yang kuat dengan penyakit autoimun.

Adakah terdapat sebarang rawatan untuk PGH?

Sesetengah pengkaji mencadangkan agar ujian paras vitamin B12, asid folik dan juga paras hormon tiroid dilakukan dalam kalangan mereka yang menghidap PGH tetapi tidak mempunyai sejarah keluarga PGH. Ini dilakukan untuk melihat sebarang punca PGH yang disebabkan masalah kesihatan. PGH yang disebabkan oleh masalah kesihatan mempunyai potensi rawatan yang lebih baik. Walaupun ramai pesakit yang berjumpa dengan pakar kulit untuk mendapatkan rawatan, sangat sedikit sahaja daripada mereka yang berjaya untuk mendapatkan rawatan yang memuaskan. Kekurangan vitamin B12 dan juga penyakit hipotiroid dapat dirawat dengan pemberian vitamin yang mencukupi dan pemberian hormon tiroid. Mencabut uban adalah pilihan yang mudah dan jimat kos untuk dilakukan namun langkah ini hanyalah praktikal jika ia membabitkan sedikit sahaja uban. 

Pewarna rambut

Kebanyakan mereka yang menghidap PGH bergantung kepada pewarna rambut untuk mengembalikan semula keseragaman warna rambut mereka. Bahan pewarna rambut yang digunakan ini boleh disediakan menggunakan produk semula jadi atau produk sintetik. Selain itu, bahan pewarna ini juga boleh bertindak secara sementara ataupun kekal. Lazimnya, pewarna semula jadi dihasilkan menggunakan pokok teratai (Zizyphus spina-christi), pokok henna (Lawsonia alba), pokok Indian gooseberry (Emblica officinalis) dan juga pokok spesies Eclipta alba. Kelebihan menggunakan pewarna berteraskan bahan semula jadi ini adalah ia bersifat hipoalergenik dan juga tidak toksik. Bahan pewarna sementara tidak menembusi kutikel dan boleh hilang jika dibasuh dengan penggunaan syampu. Selain memberikan warna rambut yang seragam dan menyorokkan uban di kepala, bahan pewarna juga melindungi uban daripada kerosakan akibat cahaya. Pewarna rambut kekal adalah pewarna rambut yang paling popular dia pasaran komersial. Walau bagaimanapun, terdapat risiko kerosakan rambut akibat daripada proses oksidasi daripada bahan pewarna kekal. Sesetengah individu, mengalami masalah keradangan kulit dan juga keguguran rambut akibat daripada penggunaan bahan pewarna rambut seperti ini. 

Tambahan vitamin dan mineral 

Walaupun pelbagai vitamin dan mineral seperti biotin, kalsium asid pantotenik, zink, tembaga (copper) dan juga selenium, diberikan kepada pesakit, keputusan rawatan berteraskan makanan tambahan sahaja tidak memuaskan. Kalsium asid pantotenik khususnya, merupakan ejen rawatan yang kerap diberikan untuk merawat PGH. Berdasarkan kajian, dos tinggi sebanyak 200mg/sehari adalah dos yang memberikan kesan yang terbaik dalam rawatan PGH.

Rawatan baru yang lain

  • Penggunaan PABA sebagai rawatan pemulihan kepada uban hanyalah disandarkan kepada pembuktian anekdot di mana 30 pesakit yang menerima 200mg PABA selama 2 bulan berjaya menghasilkan pigmentasi semula pada dalam kesemua pesakit. Dapatan ini turut disokong oleh  laporan di mana pesakit yang telah diberikan PABA untuk indikasi yang berbeza, menunjukkan kesan pigmentasi semula pada uban mereka.
  • Terdapat juga pengenalan rawatan baru yang menambahkan antioksidan seperti vitamin C dan juga Vitamin E ke dalam syampu. Walau bagaimanapun, ramai yang mempersoalkan keberkesanan penambahan antioksidan ini kerana tempoh temu yang singkat (short contact period) daripada penggunaan syampu.
  • Sejenis kompaun baru yang diberi nama SkQ, terdiri daripada plastoquinon SkQ dan antioksidan, kini sedang dikaji sebagai rawatan terbaru dalam mengatasi masalah uban dan PGH. Kompaun SkQ ini telahpun didapati mampu untuk menghalang perubahan-perubahan berkaitan umur seperti keguguran rambut, retinopati dan katarak.
  • Ubat antikanser imatinib didapati berjaya untuk menterbalikkan proses pemutihan rambut. Namun begitu, ubat ini bukanlah sesuatu yang dapat digunakan sebagai rawatan kepada PGH ataupun untuk uban biasa. Ini kerana imatinib mempunyai pelbagai kesan sampingan yang tidak diingini. Walau bagaimanapun, pemahaman ke atas bagaimana imatinib mampu untuk mempengaruhi sel stem melanocyte dapat membuka lembaran baru dalam dunia rawatan untuk masalah rambut ini. 

Satu konsep penyampaian ubat baru kini sedang dibangunkan. Kaedah penyampaian ubat itu adalah pemberian ubat melalui folikel rambut. Pemberian melanin melalui liposom adalah salah satu kegunaan kaedah penyampaian ini. Kajian terkini berfokuskan kepada applikasi topikal liposom melanin yang tertumpu kepada folikel rambut kerana ia telah didapati berjaya untuk menghasilkan pigmentasi semula rambut melalui folikel rambut.

Mempunyai uban pada usia yang muda mungkin menyebabkan anda berasa tidak selesa dengan penampilan diri anda. Sungguhpun begitu, perlu anda ingat bahawa berambut putih juga mempunyai peminatnya yang tersendiri. Sekiranya tidak pasti apakah punca perubahan warna rambut anda atau ingin mendapatkan penjelasan yang lebih rapi dan nasihat tentang pilihan rawatan yang terbaik untuk anda, berjumpalah dengan doktor pakar segera.

Rujukan
Anda mungkin berminat dengan artikel berikut