backup og meta

Tanda-tanda Penderaan Fizikal

Disemak secara perubatan oleh Dr. Muhamad Firdaus Rahim · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 17/07/2023

    Tanda-tanda Penderaan Fizikal

    Penderaan fizikal adalah dengan sengaja menyakiti individu untuk menyebabkan kecederaan, lebam, patah tulang, luka atau terbakar. Jika berlaku berulang kali, ia bukanlah satu kemalangan. Mangsa penderaan mungkin tidak mahu memberitahu anda bahawa mereka didera, mungkin disebabkan rasa malu atau takut. Adalah amat penting untuk mengenal pasti tanda-tanda penderaan fizikal untuk membantu individu yang anda sayangi.

    Siapa boleh menjadi mangsa penderaan?

    Sesiapa sahaja, pada sebarang peringkat usia boleh menjadi mangsa penderaan fizikal. Kebanyakan mangsa adalah kanak-kanak, tetapi, individu dewasa dan lebih berusia juga boleh menderita akibat penderaan.

    Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) menganggarkan 25% hingga 50% kanak-kanak dilaporkan menjadi mangsa penderaan fizikal. Mereka terdedah kepada penderaan kerana kebiasaannya pendera tersebut adalah individu seperti ibu bapa, guru atau ahli keluarga.

    Mangsa penderaan domestik selalu berisiko menjadi mangsa penderaan fizikal. Mereka biasanya wanita yang mempunyai tahap keyakinan diri dan harga diri yang rendah. Ini disebabkan oleh bagaimana pendera, biasanya suami, membuat mereka merasakan sebegitu.

    Ia biasanya kurang disedari, tetapi individu lebih berusia juga cenderung menjadi mangsa penderaan fizikal. Mereka termasuk nenek, datuk, makcik dan pakcik.

    Tanda penderaan fizikal

    Untuk membantu mangsa penderaan, anda harus mengenal pasti tanda-tandanya. Berikut adalah beberapa tanda dan simptom yang boleh anda lihat:

  • Luka
  • Lebam
  • Terbakar
  • Tanda cengkaman
  • Mata lebam
  • Pola kecederaan luar biasa, kerap berulang alik ke bilik kecemasan
  • Keadaan fizikal: sakit kepala, sakit perut dan sakit belakang
  • Walaupun tanda kecederaan fizikal adalah jelas kelihatan, kebanyakan mangsa akan cuba menutup kecederaan tersebut untuk melindungi pendera dan tidak mahu memberitahu sesiapa mengenai penderitaan yang dihadapi.

    Selalunya ia disebabkan rasa takut kepada penderita dan berasa malu tentang penderaan yang berlaku. Adalah penting untuk mengetahui bahawa penderaan fizikal bukanlah satu perkara yang baik untuk sesiapa, penderaan yang berlaku tidak pernah menjadi kesalahan mangsa, ini kerana ramai mangsa merasa bahawa penderaan yang berlaku disebabkan kesalahan yang dilakukan mereka.

    Bukan semua simptom melibatkan fizikal, tetapi pola perubahan tingkah laku juga boleh dianggap sebagai penderaan fizikal. Antara simptomnya adalah seperti:

    • Kemarahan, ancaman, cubaan untuk menakut-nakutkan oleh pendera
    • Pengerakan mangsa terbatas. Pendera mungkin menghalang mangsa dari pergi kerja atau sekolah
    • Ada had akses kewangan kepada mangsa. Mangsa biasanya tidak memiliki duit
    • Cemburu dan sifat mengongkong yang melampau terhadap mangsa
    • Terdapat jarak waktu antara masa kecederaan dengan masa mendapatkan rawatan. Ini mungkin disebabkan mangsa tidak dapat keluar rumah untuk mendapatkan rawatan atau merasa malu disebabkan penderaan
    • Mangsa tidak dapat menghadiri rawatan perubatan seperti tidak hadir temu janji hospital atau tidak dapat mengambil ubatan berikutan masalah kewangan
    • Mangsa takut untuk tidak bersetuju dengan penderanya
    • Pendera menyakiti individu lain atau binatang yang wujud dalam kehidupan mangsa

    Selain simptom fizikal yang boleh dilihat oleh individu luar, terdapat tanda penderaan fizikal lain, mungkin tidak terlalu berat, tetapi boleh memberikan masalah yang teruk. Antara tanda pendera yang tidak dapat anda lihat adalah seperti:

    • Mengasingkan diri dari kehidupan sosial dan komuniti
    • Kemurungan
    • Ketakutan
    • Rungutan masalah kesihatan seperti sakit kepala kronik, keletihan atau sakit perut
    • Kesakitan pada bahagian pinggul, faraj atau saluran air kencing
    • Kehamilan yang tidak diingini, kekurangan penjagaan pra-kehamilan, dan kebersihan
    • Masalah seksual
    • Gangguan bipolar
    • Kegelisahan, termasuk serangan panik, gangguan tekanan selepas trauma (PTSD)
    • Gangguan tidur
    • Gangguan pemakanan
    • Penyalahgunaan alkohol atau ubatan

    Kesan penderaan fizikal

    Kesan penderaan fizikal adalah lebih dari kesan fizikal semata. Ia boleh mendatangkan kerosakan kepada emosi dan menyakitkan. Kesan jangka masa panjang adalah melibatkan faktor fizikal dan psikologi.

    Kesan fizikal jangka masa panjang

    Jika seseorang individu mengalami kecederaan yang berulang untuk satu tempoh yang lama, ia berisiko untuk menyebabkan masalah kesihatan yang serius, seperti arthritis, sindrom kesakitan kronik atau kerosakan otak. Terdapat juga risiko penyakit jantung, tekanan darah tinggi yang disebabkan persekitaran yang mendatangkan tekanan

    Jika mangsa merupakan seorang wanita hamil, penderaan fizikal boleh menyebabkan kelahiran pra-matang, bayi akan lahir dengan berat yang rendah atau mungkin menyebabkan keguguran. Kanak-kanak yang menjadi mangsa penderaan fizikal boleh menghadapi masalah kerosakan otak atau mata.

    Kesan psikologi jangka masa panjang

    Impak dari kesan ini boleh bertahan lama. Mangsa mungkin menderita akibat gangguan mental seperti kemurungan, kegelisahan, atau gangguan tekanan selepas trauma (PTSD). Penderaan fizikal juga boleh menyebabkan masalah tingkah laku dan kemahiran sosial yang lemah. Kesan lain yang mungkin dihadapi adalah perasaan rendah diri dan risiko untuk menghadapi masalah gangguan pemakanan. Ada masanya, kesan mental ini boleh menyebabkan kecederaan diri atau penyalahgunaan alkohol dan ubatan.

    Bagaimana anda boleh membantu?

    Selalunya, mangsa penderaan fizikal tidak mahu anda mengetahui bahawa wujudnya masalah. Mereka mungkin malu, takut atau merasakan mereka layak didera. Jika anda mengesyaki individu yang rapat dengan anda mungkin didera secara fizikal, anda perlu mengambil tindakan.

    Cara terbaik adalah mula untuk memulakan perbualan secara peribadi dengan individu yang anda sayangi apabila ketiadaan penderanya. Katakan kepada mereka mengenai kebimbangan anda dan biarkan mereka sedar bahawa anda sentiasa menyokong mereka. Ada masanya mereka mengambil masa untuk bersedia menerima campur tangan anda.

    Jika anda merasakan individu yang anda sayangi berada dalam keadaan bahaya, anda harus menghubungi pihak berkuasa yang boleh memberikan lebih banyak bantuan. Ada masanya, keadaan seperti ini dapat mengeluarkan mangsa dari situasi bahaya. Dapatkan bantuan dan pandangan doktor jika mereka mungkin boleh merujuk anda kepada kumpulan sokongan untuk berbincang mengenai penderaan fizikal.

    Penderaan fizikal boleh menyebabkan kerosakan sama ada secara fizikal atau mental. Anda boleh membantu dengan mengenal pasti tanda dan mengambil tindakan. Mengabaikannya hanya mendatangkan lebih banyak mudarat daripada kebaikan.

    Hello Health Group tidak menyediakan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Muhamad Firdaus Rahim

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 17/07/2023

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan